webnovel

Pembunuhan Rakan Pelajar (1)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Waktu cuti Akademi Zephyr berlalu dalam sekelip mata. Jun Wu Xie dan rakan-rakannya bersiap sedia untuk memulakan perjalanan pulang ke akademi.

Kesibukan di bandar Chan Lin semakin berkurangan setelah para pelajar Akademi Zephyr beredar. Jalan-jalannya juga tiba-tiba menjadi lebih tenang dan lengang. Tapi pada waktu yang sama pada bulan hadapan, segala keriuhan dan kesibukan ini akan kembali lagi.

Qiao Chu dan yang lain sudah tiba di kampus cawangan dahulu. Jun Wu Xie pula baru sahaja tiba di kampus utama Akademi Zephyr bersama-sama Fan Zhuo.

Sebaik Jun Wu Xie melangkah masuk ke Akademi Zephyr, dia disambut renungan mata yang penuh cemuhan dan kebencian.

Agak ramai juga para pelajar yang kekal berada di akademi itu sepanjang tempoh cuti tersebut. Mereka nampaknya memberikan pandangan berbeza jika dibandingkan dengan para pelajar yang telah pergi ke Bandar Chan Lin. Sebaik terpandang Jun Wu Xie, mereka yang sebelum ini tidak mempedulikan dan tidak mengendahkannya terus merenungnya dengan kebencian yang tidak diselindungkan.

Renungan kurang mesra ini begitu ketara sehingga Jun Wu Xie yang sentiasa tenang dan bersahaja ini juga dapat merasakan perubahan yang berlaku.

Suasana di akademi itu bertukar menjadi agak menyesakkan setelah kepulangan Jun Wu Xie. Sewaktu Jun Wu Xie berjalan bersama-sama Fan Zhuo, semua pelajar yang bertembung dengan mereka menjeling mereka dengan pandangan penuh penghinaan.

Apa yang telah terjadi?

Jun Wu Xie merasakan sesuatu pasti telah berlaku dalam tempoh beberapa hari dia tidak ada di situ. Kalau tidak, mengapa semua pelajar ini memberikan renungan beracun padanya?

Fan Zhuo juga dapat merasakan suasana aneh di dalam akademi itu. Dia menarik Jun Wu Xie dan cepat-cepat pulang ke hutan buluh kecil itu.

Mereka berdua baru sahaja menjejak kaki ke halaman kecil itu apabila Fan Jin yang telah menerima berita kepulangan mereka, bergegas datang ke situ.

"Abang, ada sesuatu yang berlaku di akademi?" Wajah Fan Zhuo kelihatan bingung dan keliru. Dia juga menyedari segala renungan yang tertumpu pada Jun Wu Xie tadi.

Fan Jin sebenarnya kelihatan lebih gelisah berbanding Fan Zhuo sewaktu dia memandang Jun Wu Xie yang kelihatan tenang. Dahi Fan Jin dibasahi peluh.

"Dalam masa beberapa hari sewaktu kamu berdua tidak ada di sini, seseorang telah membocorkan berita yang kematian Li Zi Mu itu ada kaitan dengan Jun Wu Xie." Penjelasan Fan Jin sangat ringkas tetapi realitinya, khabar angin yang tersebar itu lebih teruk lagi.

Entah bagaimana, seseorang mendapat tahu yang pada pertengahan Perburuan Roh, Li Zi Mu telah bertukar kumpulan dan berpindah ke kumpulan Jun Wu Xie. Selaps itu, nama Li Zi Mu tiba-tiba muncul pada senarai nama yang merekodkan nama pelajar yang kehilangan nyawa sewaktu Perburuan Roh.

Sebenarnya, kematian sewaktu Perburuan Roh dianggap normal. Tidak ada siapa yang akan memberi perhatian pada siapa yang telah terkorban.

Tetapi identiti Li Zi Mu berbeza dengan orang lain. Dia satu-satunya pelajar yang diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh pada tahun ini dan telah mendapat banyak perhatian daripada para pelajar lain. Oleh itu, kematiannya diketahui oleh ramai pelajar. Ada yang mencemuh dan ada juga yang bersimpati.

Akhirnya, sebaik tragedi yang berlaku di Perburuan Roh itu hampir menjadi memori yang pudar, satu berita menggemparkan tiba-tiba tersebar ke seluruh akademi!

Jun Wu Xie dikaitkan terus dengan kematian Li Zi Mu. Pada mulanya, Li Zi Mu memulakan Perburuan Roh dengan kumpulan lain sewaktu mereka masuk ke Hutan Roh Pertempuran. Mereka bertembung dengan Jun Wu Xie dan Fan Jin di tengah-tengah jalan dan katanya Jun Wu Xie tiba-tiba menjemput Li Zi Mu untuk menyertai kumpulan Fan Jin.

Li Zi Mu sukar menolak tindakan Jun Wu Xie yang bermurah hati ini dan memaksa dirinya untuk menerima pelawaan itu. Tidak lama selepas dia bertukar ke kumpulan Jun Wu Xie, dia tiba-tiba mati dalam keadaan yang mencurigakan di Hutan Roh Pertempuran.

Khabar angin itu kebanyakannya berdasarkan hal yang benar, kecuali dalam satu perkara.

Bukannya Jun Wu Xie yang menjemput Li Zi Mu. Sebaliknya, Li Zi Mu yang meminta untuk menyertai kumpulan mereka.

Tetapi hal itulah yang membuatkan kebanyakan pelajar membuat kesimpulan yang salah.

Segala-gala yang berlaku di antara Jun Wu Xie dan Li Zi Mu sudah tersebar luas ke seluruh akademi sebelum ini. Semua pelajar itu tahu yang mereka berdua merupakan musuh ketat.