webnovel

Pembunuhan Rakan Pelajar (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sewaktu Perburuan Roh, komplikasi yang muncul dengan kepercayaan bahawa Jun Xie telah menjemput Li Zi Mu untuk menyertai kumpulannya telah menyebabkan orang lain percaya yang niat Jun Xie tidaklah semudah yang disangka.

Tidak lama setelah Li Zi Mu menyertai mereka, dia telah mati di dalam Hutan Roh Pertempuran. Dalam kalangan ahli-ahli kumpulan Jun Xie, hanya Li Zi Mu yang telah menyertai mereka di separuh jalan yang mati. Sedangkan semua pelajar lain dari kampus cawangan langsung tidak tercedera. Situasi luar biasa ini membuatkan para pelajar lain berasa amat curiga.

Pasti Li Zi Mu telah dibunuh oleh Jun Xie!

Jelas sekali Jun Xie berniat mahu membunuhnya sejak mula lagi!

Fan Jin memandang Jun Wu Xie dengan gelisah. Khabar angin itu tersebar bagai api yang marak, ke seluruh akademi. Kebetulan pula ketika itu Jun Wu Xie tidak berada di akademi itu. Fan Jin telah cuba sehabis baik untuk mendiamkan khabar angin tersebut namun dia gagal berbuat begitu. Sebaliknya, khabar angin itu tersebar semakin pantas dan ganas sehinggakan semua orang begitu yakin yang Jun Xie telah membunuh Li Zi Mu akibat berasa cemburu serta benci.

Kerosakan dan akibat daripada khabar angin yang menuduh seseorang itu telah membunuh rakan pelajar mempunyai kesan yang besar. Sama seperti sebelum Lu Wei Jie beredar dan dia menuduh Ning Xin telah merancang untuk membunuh salah seorang rakan pelajarnya. Walaupun Ning Xin tidak berjaya membunuh, namun reputasinya tetap musnah. Kini Jun Wu Xie pula digelar sebagai pembunuh yang telah mencabut nyawa rakan pelajarnya. Ditambah pula dengan hakikat yang Li Zi Mu sememangnya sudah mati, kesan di sebalik tuduhan ini lebih teruk lagi!

Kalau ada pelajar yang dianggap keji dan tidak bermoral, dia pasti akan mengalami rintangan tertentu. Tetapi jika seseorang didapati telah menyimpan niat untuk membunuh rakan pelajar sendiri dan pelajar tersebut pula benar-benar mati, keseriusan hal ini amat berbeza!

Baru-baru ini, ramai yang mengatakan Jun Wu Xie perlu dihalau keluar dari Akademi Zephyr. Bisikan-bisikan ini juga sudah sampai ke telinga Fan Qi.

Jun Wu Xie mendengar dengan senyap. Tidak ada sedikit pun keresahan pada wajahnya.

"Jun Xie, apa yang kita perlu lakukan?" Fan Jin tahu Jun Wu Xie mempunyai ideanya sendiri. Dia berharap Jun Wu Xie mampu memulihkan keadaan.

Sebaliknya, Jun Wu Xie memandang Fan Jin dan membalas dengan nada bersahaja, "Betul kata mereka tu. Memang saya yang bunuh dia."

Walaupun khabar angin itu membesar-besarkan hal ini, hakikatnya tidak lari jauh daripada apa yang sebenarnya telah berlaku.

Namun hal sebenar telah disembunyikan dan dimanipulasi oleh tangan yang tersembunyi. Hal ini telah menggemparkan seluruh akademi. Cerita itu ditokok-tambah untuk menggambarkan Jun Wu Xie sebagai penjahat keji yang menyimpan kebencian setelah gagal dalam cubaan mencuri kedudukan Li Zi Mu.

Walaupun Jun Wu Xie sememangnya telah membunuh Li Zi Mu, sebab sebenar di sebalik tindakannya ini tidaklah begitu memalukan seperti yang disebarkan oleh khabar angin tersebut.

Fan Jin mendapati dirinya tidak mampu berkata apa-apa setelah mendengar jawapan Jun Wu Xie.

Ya, Li Zi Mu telah dibunuh oleh Jun Wu Xie. Tetapi sebab sebenar bukanlah kerana dia menyimpan kebencian terhadap Li Zi Mu!

"Tetapi hal sebenar bukan seperti yang mereka semua katakan. Kamu tak mahu beri penjelasan pada mereka? Implikasi tuduhan ini terlalu serius. Walaupun ayah saya dapat menghentikan khabar angin ini sedikit, kalau hal ini terus tersebar…." Fan Jin menggaru-garu kepalanya dengan kecewa. Dia tidak faham bagaimana Jun Wu Xie masih begitu tenang.

Tidakkah dia peduli dengan reputasinya?

Semua pelajar di Akademi Zephyr mempunyai latar belakang yang terhormat dan datang dari keluarga yang agak terkenal. Kalau khabar angin ini tersebar semakin jauh ke luar, pasti masa depan Jun Wu Xie akan terjejas.

Fan Jin berasa amat cemas dan bimbang tetapi sebaliknya, mangsa situasi ini pula kelihatan tenang.

"Kalau mereka mahu terus menyebarkan hal ini, biarkan saja. Saya berani buat, pastilah saya tahu bagaimana untuk menguruskannya. Tapi masanya belum tiba lagi. Saya mahu lihat tangan tersembunyi siapa yang berada di sebalik khabar angin ini." Kening Jun Wu Xie diangkat sedikit. Dia tidak pernah membiarkan dirinya terkesan dengan khabar angin.

Selepas dilahirkan semula, sewaktu dia berada di Bandar Diraja Kerajaan Qi, dia sudah pun berhadapan dengan khabar angin kejam yang tersebar tentangnya ketika itu.