webnovel

Seksaan yang Tidak Wajar (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Pada malam hari kedua, Qiao Chu menyelinap masuk dan bertemu dengan Jun Wu Xie.

"Seronok betul kamu dalam ni, ya. Keadaan di luar tu huru-hara macam nak meletup dan kamu di sini bersenang-lenang saja tanpa buat apa-apa." Setelah terlihat Jun Wu Xie duduk dengan tenang di dalam bilik penjaranya sambil mengusap-usap Hitam Kecil, Qiao Chu tidak dapat menahan diri daripada tersenyum dengan tidak berdaya.

Jun Wu Xie mendongak sedikit dan memandang Qiao Chu, "Macam mana keadaan di luar?"

"Selepas kamu dan Lei Chen pergi tengok Qu Ling Yue, keadaannya semalam terus bertambah baik. Tapi awal pagi ni, kecederaannya tiba-tiba jadi teruk dan dia koma sambil muntah darah. Kelam-kabut tabib-tabib di situ dibuatnya. Si Tabib Diraja Li tu menggelabah dan mendakwa tindakan Cik Muda bernama Jun tu sebelum ini cuma muslihat untuk menipu orang lain. Lei Chen pun tak terlepas daripada dimarahi. Jiang Ying Long terdiam sebab dah tak berdaya dan ketika Putera Mahkota nak datang melawat sekali lagi, dia dihalang di muka pintu oleh orang-orang dari Akademi Panji Perang. Nampaknya tindakan kamu semalam bukan saja gagal buatkan orang-orang Akademi Panji Perang tu bertenang, sebaliknya buat mereka lebih kuat menentang Lei Chen." Qiao Chu mungkin menyampaikan semua ini dengan nada bersahaja, tetapi Fei Yan sendiri yang telah ke sana untuk mengumpulkan maklumat terperinci tentang situasi tersebut.

Lei Chen telah dihalang di luar pintu dan Tabib Diraja Li menyumpah seranah dari dalam bilik Qu Ling Yue. Kejutan yang dibawa oleh Jun Wu Xie semalam, kini telah menjadi sesuatu yang dibenci dan dikutuk.

"Seperti yang dijangka." Bibir Jun Wu Xie menguntum senyuman dingin.

Qiao Chu merenung reaksi Jun Wu Xie dengan tanda tanya, "Kamu memang dah tahu hal ini akan terjadi?"

Jun Wu Xie menjawab dengan perlahan, "Mulanya, saya tak begitu pasti. Tapi saya dah yakin sekarang."

"Tapi tu pun kamu masih selamba saja? Kamu yakin dapat rawat kecederaan Qu Ling Yue? Ini kali pertama saya tengok pesakit yang kamu dah rawat, diserang penyakitnya semula," tanya Qiao Chu sambil menggaru-garu kepalanya.

Dia amat yakin dengan kemahiran Jun Wu Xie dalam bidang perubatan. Tapi hakikatnya, Fei Yan nampak dengan mata kepalanya sendiri yang kecederaan Qu Ling Yue telah kembali parah.

"Dalam hidup ni sentiasa ada sesuatu yang berlaku buat pertama kali. Hal kecil saja ni." Jun Wu Xie tidak begitu ambil peduli.

Qiao Chu meneruskan laporannya. "Katanya petang esok orang-orang dari Bandar Seribu Binatang akan sampai di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Masa tu nanti, kalau mereka tengok Qu Ling Yue masih terlantar nyawa-nyawa ikan mungkin mereka akan memutuskan untuk meluru masuk ke sini dan menyusahkan kamu. Kamu langsung tak nak buat persediaan?"

Jun Wu Xie menggelengkan kepala.

"Buat masa sekarang ni mereka tak akan ada masa nak menyusahkan saya."

Qiao Chu tergamam. Dia langsung tak tahu apa yang Jun Wu Xie fikirkan.

"Apa-apa pun, saya tahu kamu ni banyak idea. Saya cuma nak beritahu kamu supaya jangan seksa diri. Itu saja yang penting. Kalau tak boleh selesaikan hal ni sekarang, keluar sajalah dan beritahu kami apa yang perlu dibuat. Kamu tak perlu munculkan diri."

"Saya dah buat rancangan," kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

Sedang mereka berdua berbual, tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki memecah kesunyian di dalam penjara itu. Qiao Chu melompat ke atas alang dan bersembunyi di sebalik bayang.

Dua orang pegawai penjara muncul di bilik penjara Jun Wu Xie. Mereka memegang satu set rantai kunci. Pintu bilik penjara itu dibuka dan mereka melangkah masuk.

"Tuanku Maharaja menitahkan set rantai kunci Tuan Muda Jun ditukar. Kami mohon kerjasama Tuan Muda Jun," kata salah seorang pegawai penjara itu meminta sambil tersenyum. Dia bersikap sopan pada Jun Xie.

Kuasa roh hijau Jun Wu Xie bukanlah sesuatu yang boleh dilawan oleh pegawai penjara bawahan ini. Jadi dalam masa beberapa hari Jun Wu Xie berada di dalam penjara, mereka masih agak sopan dan tidak berani menyusahkan dia. Makanan Jun Wu Xie diberikan seperti biasa dan setakat ini, segalanya kelihatan normal.