Mata pemuda itu terbeliak merenung Jun Wu Xie yang sedang perlahan-lahan berjalan untuk mencabut nombornya. Ekspresi wajah pemuda itu tidak kelihatan gembira. Sebaliknya dia sangat sedih sehingga mahu menangis!
[Lawak jenis apa ni!?]
[Kenapa saya perlu berlawan dengan raksasa syaitan tu!?]
Dia terkenang kembali sewaktu jamuan di Kediaman Putera Mahkota di mana dia dan beberapa orang rakan seperguruannya dengan sombongnya berhadapan dengan Jun Xie di sebuah taman. Mereka mahu mencari gaduh dengannya, tapi mereka pula yang ditakutkan sehingga lari lintang-pukang. Imej-imej ini silih berganti muncul di mindanya, memberitahu dia yang nasibnya bagi Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini sudah pun dapat ditentukan pada saat ini!
[Budak itu ada roh hijaulah! Roh HIJAU!]
[Apa sahaja yang dia, seorang pemilik roh jingga, dapat lakukan untuk menentang raksasa itu!]
Pada ketika itu, pemuda tersebut benar-benar mahu menangis.
Kalau ditanya siapakah lawan yang paling tidak mahu ditetangnya di dalam pusingan pertama bagi pertempuran daerah, dia tidak akan menyebut nama Qu Ling Yue! Lawan tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah raksasa syaitan ini yang telah mencapai kemajuan dalam pemupukan kuasa roh dengan cara yang begitu pantas dan sukar difahami!
Orang lain tidak tahu tentang kuasa Jun Wu Xie, tetapi para pelajar malang dari Akademi Pembunuh Naga telah pun mendapat peluang untuk menyaksikan tahap kuasa roh Jun Wu Xie. Maklumat ini pula telah menyebabkan pelajar Akademi Pembunuh Naga itu menghentakkan kepalanya ke dinding supaya dia tidak menghadapi seksaan nanti!
Kalau dia tidak sedar tentang kuasa rohani Jun Wu Xie, dia pasti memikirkan hal yang sama seperti orang lain. Dia akan berasa gembira kerana dapat menghancurkan pihak lawan dan mencapai kemenangan mudah. Tetapi...
Kalau difikirkan, orang yang mudah dihancurkan itu sebenarnya dia!
Pelajar dari Akademi Pembunuh Naga itu hanya mampu meratap di dalam hati. Wajahnya menjadi pucat. Namun ekspresi wajahnya yang kelihatan terseksa itu membawa maksud berbeza pada para pemuda lain...
"Seperti yang dijangka, pelajar Akademi Pembunuh Naga ini merasakan dia tidak sepatutnya diberikan kelebihan yang berat sebelah. Tengok, mukanya juga sudah berubah! Pasti dia marah kerana lawannya itu terlalu lemah dan langsung tidak memberikan cabaran." Salah seorang pemuda di situ berbisik dengan "bijak". Dia merenung pelajar Akademi Pembunuh Naga yang kelihatan pucat itu.
Pemuda di sebelahnya mengangguk setuju.
"Akademi Pembunuh Naga tak perlukan tuah seperti ini. Menurut pemerhatian saya, selain Qu Ling Yue dari Akademi Panji Perang, peserta tu tak anggap ada orang lain di sini yang layak menjadi lawannya. Dia perlu melawan budak kecil seperti ini. Pasti dia berasa terhina."
Kumpulan pemuda yang asyik berbual itu tidak sedar hal sebenar. Mereka terus menyebut-nyebut kehebatan pelajar dari Akademi Pembunuh Naga itu. Mereka tidak tahu sebenarnya… hati pemuda malang itu sudah pun luka berdarah.
[Kamu semua ni pasti bergurau...]
[Selepas perlawanan nanti, saya yang akan dapat malu!]
Memandangkan semua orang di situ merasakan Jun Wu Xie memang ditakdirkan untuk kalah, pemuda dari Akademi Pembunuh Naga itu berasa simpati dengan dirinya sendiri. Sementara itu, ada orang lain yang berasa resah bagi pihak Jun Wu Xie.
Selepas selesai cabutan undi, perlawanan itu akan dimulakan dengan pasangan peserta yang telah mencabut nombor satu sementara yang lain akan menonton dari sisi.
Menjadi peserta pertama yang naik ke pentas memang membuatkan sesiapa sahaja berasa sangat gemuruh. Ketika dua orang peserta itu melangkah naik ke ataas pentas, keadaan yang memberikan tekanan hebat itu membuatkan bahu mereka kelihatan menggigil. Semua penonton mencari-cari tempat untuk duduk, Bagi mereka yang telah mencabut nombor yang lebih tinggi, mereka tahu giliran mereka tidak akan tiba pada hari itu dan mereka tidak akan bertempur. Namun begitu, mereka tetap tidak meninggalkan arena kerana mahu menonton perlawanan. Mereka mahu memahami kuasa dan jenis serangan yang digunakan oleh para peserta yang menang. Ini kerana setiap peserta yang mara ke pusingan seterusnya mungkin akan menjadi lawan mereka.
Kenali diri, kenali musuh. Itulah pepatah lama yang tidak akan berubah.
Namun ketika perlawanan pertama baru sahaja bermula, Jun Wu Xie tiba-tiba berjalan menuju pintu keluar arena. Dia nampaknya tidak peduli untuk memahami bakal lawannya di masa hadapan.
Pemergian Jun Wu Xie disedari oleh para penonton yang berhimpit-himpit di pentas pertempuran. Memandangkan dia seorang sahaja yang meninggalkan arena, pastilah tindakannya itu terlihat lebih jelas.