"Ibarat periuk retak yang memecahkan diri sendiri. Dia tahu dia tak ada peluang nak menang, jadi dia tak mahu beradab?" Beberapa orang pemuda yang lain mula mencemuh. Ada dalam kalangan mereka yang sedar mereka tidak akan dapat mengharungi pusingan pertama kejohanan ini dengan jayanya. Tapi tak kiralah betapa lemahnya mereka, sekurang-kurangnya mereka tidak akan berlalu pergi dengan begitu bersahaja.
Itu bukan sahaja menunjukkan tanda-tanda tidak berdaya. Lagipun kalau mereka terus di sini, mereka akan mendapat sedikit pengalaman. Walaupun mustahil mereka akan menang, mereka masih dapat belajar serba sedikit daripada pengalaman menyertai Kejohanan Pertempuran Roh.
Tidak pernah mereka dengar ada orang bertindak seperti Jun Wu Xie, berlalu pergi tanpa menonton satu perlawanan pun.
"Ha ha. Saya tak rasa dia sengaja biadab. Tapi dia dah cabut nombor yang sama dengan Senior Lin. Tentulah dia terlalu takut untuk terus duduk di sini. Itu saja." Seorang pemuda kurus yang duduk rapat dengan pelajar dari Akademi Pembunuh Naga itu bercakap dengan kuat sebaik terlihat Jun Wu Xie berjalan keluar dari arena. Dia mahu kata-katanya didengari serta mahu menunjukkan perasaan kagum terhadap pelajar dari Akademi Pembunuh Naga yang dianggap terhormat.
"Senior Lin tentu telah menakutkan dia dengan begitu teruk. Saya rasa bila sampai masa dia naik ke pentas ini nanti, dia mungkin akan berputus asa tanpa berlawan dan menyerah begitu saja." Seorang lagi pemuda turut bercakap dengan kuat, tidak mahu kalah dalam usaha membodek dengan tidak tahu malunya.
Mereka semua datang dari akademi yang kecil dan mereka tahu kuasa yang mereka miliki amat lemah serta tidak akan dipedulikan. Mustahil untuk mereka mencapai keputusan yang boleh dibanggakan. Jadi mereka terfikir untuk mengampu para pelajar dari akademi yang lebih besar dan terkenal supaya boleh mendapat sedikit manfaat daripada berhubungan rapat dengan orang-orang elit ini. Qu Ling Yue dari Akademi Panji Perang adalah seorang perempuan. Kalau mereka mendekatinya seberani ini, pasti mereka akan ditampar. Maka pilihan terbaik adalah Akademi Pembunuh Naga. Ini dapat dilihat melalui jumlah pelajar yang mengelilingi pelajar dari akademi tersebut. Semuanya mahu merapatkan diri dengannya.
Mulut Lin Qi menggerenyet sambil dia memandang sekumpulan besar pelajar lain di sekelilingnya yang memujinya setinggi langit. Dia langsung tidak berasa gembira di dalam hatinya.
[Adab apa yang mereka katakan ni? Si raksasa tu tak peduli pun nak bazirkan masa dengan pertandingan ini, ya? Di mata pemilik roh hijau, orang-orang roh merah dan jingga ini macam budak-budak kecil yang bermain-main saja! Semuanya hanya membazirkan masa!]
Lin Qi mendapati dia tak mampu menangis pun sambil cuba mengekalkan penampilan yang tenang. Telinganya menangkap pelbagai pujian di sekelilingnya. Semuanya diberikan secara terang-terangan tanpa berselindung. Kalau hari ini sama seperti hari-hari lain, dia pasti sudah berehat dan menikmati segala pujian yang dihimpunkan padanya. Tapi pada ketika ini… dia benar-benar tidak berasa senang hati.
Dia langsung tidak ragu-ragu bahawa selepas pertempurannya dengan Jun Wu Xie nanti, situasinya pasti jadi amat menyedihkan!
Ditampar di khalayak ramai oleh seorang pemilik roh hijau!
Semua pujian hari ini akan hanya menolaknya ke jurang yang dalam setelah Jun Wu Xie selesai bermain-main dengannya.
Memikirkan hal ini saja sudah cukup membuatkan dia terbayangkan tragedi yang bakal berlaku.
Dalam masa beberapa hari lagi dia akan diseksa dan dimalukan oleh Jun Wu Xie di hadapan semua orang. Lin Qi benar-benar tidak dapat membuatkan dirinya terus menanti di arena tempur itu walau sedetik lagi. Disebabkan terpaksa berhadapan dengan Jun Wu Xie, dia sudah hampir mahu membunuh diri. Apabila teringatkan kembali apa yang telah berlaku di Kediaman Putera Mahkota sewaktu dia dan rakan seperguruannya cuba mencari gaduh dengan Jun Wu Xie, dia benar-benar bimbang Jun Wu Xie akan ingat kejadian itu dan membalas dendam sewaktu pertempuran mereka nanti! Setelah mencapai kesimpulan itu, Lin Qi benar-benar tidak dapat duduk diam lagi. Dia terus melompat bangun dari kerusinya dan bagai nak gila berlari mengejar Jun Wu Xie.
[Itu tak boleh berlaku! Sekurang-kurangnya biar saya cuba selamatkan diri sendiri!]
Pemergian Lin Qi yang berlaku secara tiba-tiba dan tergesa-gesa itu menyebabkan satu lagi kekecohan melanda para pelajar di situ. Sebelum suara-suara yang sedang hangat berdebat itu reda, Qu Ling Yue pula berdiri dan turut berlari keluar dari arena itu.
Setelah ketiga-tiga orang ini berlari keluar dengan cepat, seorang demi seorang, para pemuda di arena tempur daerah pertama itu berasa bingung dan keliru. Mereka saling berpandangan dengan penuh tanda tanya dan kekeliruan buat seketika sebelum kembali berpaling dan fokus pada pentas tempur yang berada di hadapan mereka.