webnovel

Perjalanan Pulang (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Pada ketika itu, Jun Wu Xie tidak sedikit pun berasa putus asa dengan segala yang telah berlaku. Dia hanya mahu memandang langit yang cerah dan menikmati kehangatan sinaran cahaya matahari.

Hanya setelah pancaran sinar matahari itu memedihkan matanya barulah Jun Wu Xie berpaling. Dia menundukkan kepala lalu memandang cincin perak yang tersarung di jarinya.

Di bawah cahaya matahari yang terang itu, cincin perak tersebut kelihatan berkilauan.

Mereka kembali menaiki kereta kuda. Semuanya merasakan seolah-olah sudah berkurun lamanya sejak kali terakhir mereka menaiki kereta kuda tersebut.

Sewaktu hari pertama berada di dalam kereta kuda, semua orang bersandar dan tidur lena. Tanpa adanya perasaan diburu bahaya dan tidak selamat, mereka semua akhirnya dapat tidur dengan tenang.

Pergerakan kereta kuda itu yang sering bergegar dan melambung itu juga tidak mengganggu tidur mereka. Semuanya lena diulit mimpi.

Sepanjang beberapa hari seterusnya, Jun Wu Xie tidak henti-henti cuba meningkatkan kuasa rohnya ke tahap ungu. Dengan adanya Qiao Chu dan yang lain memberikan bimbingan dari sisinya, Jun Wu Xie mencapai kemajuan menggalakkan. Dia dengan pantasnya dapat menangkap semua aspek kritikal dalam kemahiran barunya ini.

Namun begitu, biarpun Jun Wu Xie berjaya meningkatkan kuasa rohaninya secara sementara dan mencapai kekuatan roh tahap ungu, tempoh dia dapat bertahan dalam keadaan itu teramat pendek.

Untuk meningkatkan tahapnya sehingga mencapai roh ungu, dia perlu membakar seluruh kuasa rohani di dalam badannya secepat mungkin. Kemudian dia perlu menolak kuasa rohani yang membara itu untuk terus melepasi pelbagai tahap rintangan. Namun begitu, keletihan yang dirasai hasil segala usaha itu tidak membolehkan dia mengekalkan keadaan ini terlalu lama.

Tempoh masa di mana seseorang itu dapat meningkatkan kuasa rohani secara sementara dan mencapai tahap roh ungu bergantung sepenuhnya pada kekuatan asal kuasa rohaninya. Kalau kekuatan asalnya berada di tahap merah, paling lama dia dapat mengekalkan peningkatan kuasa ini adalah dalam tempoh satu minit. Kalau pemilik roh tahap indigo meningkatkan kuasanya ke tahap ungu, prosesnya lebih mudah dan dia boleh berada di dalam keadaan ini dengan lebih lama lagi.

Contohnya seperti Qiao Chu dan yang lain. Ketika ini mereka berada di tahap biru. Jadi mereka mampu bertahan di tahap ungu selama lebih empat puluh minit. Jun Wu Xie kini hanya berada di tahap kuning dan dia hanya dapat bertahan selama kira-kira sepuluh minit.

Sepuluh minit mungkin kedengaran terlalu pendek. Tetapi jika digunakan sebaiknya dalam waktu kritikal, tempoh ini mungkin mampu mengubah keadaan sepenuhnya!

Boleh dikatakan selagi lawan Jun Wu Xie itu bukan orang dari Alam Pertengahan, dia mempunyai peluang yang baik untuk menang walaupun lawannya itu berada di tahap roh indigo!

Sepanjang perjalanan pulang, mereka semua tidak riuh berbanding ketika mereka mula-mula datang. Fei Yan sering menandakan dan melukis peta kawasan dasar Cenuram Penghujung Syurga. Walaupun dia tidak mendapat gambaran tempat itu dengan sepenuhnya, dia masih dapat melukis dan menandakan kawasan yang mereka telah lalui berdasarkan memorinya.

Rong Ruo sering berbual dengan Jun Wu Xie dan merungkaikan sebarang kekeliruan Jun Wu Xie tentang peningkatan kuasa rohani. Sementara itu Fan Zhuo pula tidak sekali pun melepaskan pegangannya pada Tuan Embek Embek yang masih lagi belum sedar sepenuhnya.

Selepas mendapat kecederaan yang begitu serius, keadaan Tuan Embek Embek amat teruk. Kalau Jun Wu Xie tidak mengorbankan segala jenis eliksir yang ada padanya untuk menyelamatkan binatang roh itu, kambing biri-biri kecil ini mungkin tidak akan dapat kekal hidup sehingga ke hari ini.

Namun begitu, keadaannya ketika ini tidak begitu memberangsangkan. Tuan Embek Embek teramat lemah sehingga tidak dapat membuat sebarang bunyi pun dan langsung tidak mampu berdiri. Bahagian tubuhnya yang terbakar sudah mengeras. Bergerak sedikit pun kulitnya akan merekah. Jun Wu Xie dengan sabarnya telah menyapukan salap yang disediakan khas untuk Tuan Embek Embek, namun untuk merawat kecederaan ini sebaiknya, dia perlu menunggu sehingga mereka kembali ke hutan buluh kecil. Jun Wu Xie akan menggunakan bekalan herba di situ untuk menghasilkan ubat-ubatan lain.

Memandangkan Tuan Embek Embek tidak mampu berdiri, Jun Wu Xie membawanya keluar dari kereta kuda setiap hari dan membiarkannya meragut rumput di atas tanah.

Tuan Embek Embek yang selalunya pelahap itu langsung tidak bersemangat sewaktu makan rumput hijau yang segar. Memandangkan seluruh tubuhnya terbakar dengan teruk, membuka mulutnya untuk mengunyah rumput pun amat menyeksakan. Jika mulutnya dibuka besar sedikit, kulitnya akan terkoyak dan kesakitan yang dirasainya itu akan membuatkan dia terseksa hanya untuk makan.

Jun Wu Xie menyedari situasi ini dan hatinya berasa pedih melihatkan keadaan Tuan Embek Embek. Akhirnya Teratai Mabuk mengeluarkan beberapa helai daun teratai segar dan mencarik-carikkannya menjadi cebisan kecil. Kemudian Teratai Mabuk perlahan-lahan menyuapkan cebisan-cebisan itu ke mulut kambing biri-biri kecil itu.