webnovel

Perjalanan Pulang (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dengan cara itu, Tuan Embek Embek tak perlu membuka mulutnya dengan luas dan menyebabkan kulit di bahagian mulutnya terkoyak. Selain itu, daun teratai yang diberikan oleh Teratai Mabuk ialah dari jenis Teratai Salji yang jarang ditemui dan memiliki kuasa pemulihan yang baik. Rasa daun itu juga lebih lazat berbanding rumput hijau.

Tuan Embek Embek berasa sedikit senang hati setelah tidak perlu menempuh seksaan untuk makan. Namun begitu, si kecil ini masih belum mampu berdiri sendiri dan kakinya mengerekot di bawah perutnya sewaktu terbaring di dalam pelukan Jun Wu Xie. Setiap kali selepas makan, Tuan Embek Embek terpaksa bersusah-payah untuk mengangkat kepalanya yang botak tidak berbulu itu dan bersandar rapat ke badan Jun Wu Xie seperti yang biasa dilakukannya selama ini.

Makhluk kecil yang gebu berbulu dan sedap dipeluk itu kini kelihatan hodoh dan menakutkan. Langsung tidak sama dengan rupa asalnya yang comel, manja dan dungu.

Setiap kali Jun Wu Xie melihat makhluk kecil ini mengerekot akibat kesakitan dan ketakutan lalu bersandar makin dekat dengannya, hati Jun Wu Xie sering berasa perit.

Pada mulanya, ketika kambing biri-biri itu masih kuat sewaktu kali pertama mereka bertemu, kesakitan daripada serangan rakan-rakannya telah membuatkan Tuan Embek Embek melarikan diri. Tetapi di saat kritikal sewaktu di dasar Cenuram Penghujung Syurga, kambing biri-biri kecil ini mengorbankan diri untuk menolak Jun Wu Xie ke tepi dan meletakkan dirinya di laluan serangan bebola api hijau yang menakutkan itu. Kesakitan dan seksaan yang dirasainya kini langsung tidak setanding dengan apa yang dialaminya sewaktu mereka menyerangnya suatu ketika dahulu.

Tuan Embek Embek bergelut untuk meneruskan kemanjaannya seperti sebelum ini. Seolah-olah memikirkan ia perlu terus memikat hati "Cik Pemberi Makan."

Ketika melihat mata kambing biri-biri kecil itu hampir tertutup akibat kesakitan sambil ia terus memandang Jun Wu Xie dengan manja, Jun Wu Xie dapat merasakan matanya sendiri mula terasa pedih. Dia mengumpulkan kuasa rohaninya untuk menyelubungi Tuan Embek Embek dan menghalang binatang roh itu daripada terus melakukan sesuatu yang boleh menyakiti dirinya sendiri.

"Tak perlu, kamu tak perlu buat begini. Berehatlah sebaiknya dan kamu akan sembuh tak lama lagi." Jun Wu Xie tak berani untuk memeluk Tuan Embek Embek lebih rapat padanya, bimbang dia akan mengakibatkan kesakitan menyeksakan pada binatang roh itu. Dia hanya mampu memandang mata makhluk kecil yang hampir tertutup akibat menanggung kesakitan itu dan berbisik lembut padanya.

"Embek….." Tuan Embek Embek nampaknya tak faham kenapa Jun Wu Xie tidak mahu lagi menerima kemanjaannya.

[Bukankah sebelum ini "Cik Pemberi Makan" amat menyukainya?]

Mungkin disebabkan terlalu letih atau terlalu sakit, selepas mengembek lemah sekali itu, Tuan Embek Embek terus terlena. Tubuhnya yang kecil itu mahu mengerekot rapat untuk berasa lebih selamat, tetapi kulitnya yang terbakar teruk itu kini tidak memiliki keanjalan. Sebarang keregangan akan menyebabkan kulitnya terkoyak dan mengakibatkan kesakitan. Jadi kambing biri-biri kecil itu hanya mampu terbaring di dalam pelukan Jun Wu Xie dalam keadaan kaku dan kejung.

"Saya tak akan panggil kamu kambing biri-biri dungu lagi. Kamu mesti cepat sembuh." Hitam Kecil baring di riba Jun Wu Xie, perlahan-lahan merapatkan diri pada Tuan Embek Embek yang sedang tidur. Tapi Hitam Kecil berhati-hati untuk menjarakkan diri sedikit dan tidak menyentuhnya. Hitam Kecil hanya baring serapat yang boleh pada kambing biri-biri kecil itu.

Sejak saat Tuan Embek Embek mengorbankan tubuh badannya sendiri untuk melindungi Jun Wu Xie, Hitam Kecil telah sepenuh hati menerima si kecil itu sebagai rakan sekutu.

Hari demi hari berlalu. Selepas melalui perjalanan yang sukar, Jun Wu Xie akhirnya dapat melihat Bandar Chan Lin samar-samar muncul di kejauhan.

Sebaik tiba di di Bandar Chan Lin, Jun Wu Xie terus bergegas ke rumah tumpangan dan menempah bilik. Dia kemudiannya meletakkan Tuan Embek Embek ke atas katil yang lembut lalu mengarahkan Hitam Kecil untuk menjaga si kecil itu dengan baik. Setelah itu, Jun Wu Xie terus pergi ke Rumah Lelong Chan Lin kerana tempat itulah di seluruh Bandar Chan Lin yang memiliki banyak stok herba berharga serta jarang ditemui.

Sebelum kembali ke Akademi Zephyr, dia perlu terlebih dahulu menstabilkan keadaan Tuan Embek Embek.

Qiao Chu dan yang lain amat keletihan tetapi hanya ada beberapa hari yang tinggal sebelum bermulanya pemilihan pelajar kampus cawangan untuk diserapkan ke kampus utama. Mereka pada mulanya berniat mahu merampas peta dari Ning Rui sebaik mereka pulang. Tetapi masa yang dihabiskan di Cenuram Penghujung Syurga adalah lebih lama daripada yang dijangkakan dan proses pemilihan itu akan bermula sebaik mereka kembali ke akademi. Lagipun Jun Wu Xie perlu merawat kecederaan Tuan Embek Embek dulu. Sebab itulah mereka tidak mahu tergesa-gesa mendapatkan peta pada ketika itu.

Setelah cepat-cepat mengucapkan selamat tinggal pada Jun Wu Xie dan Fan Zhuo, Qiao Chu dan yang lain terus memulakan perjalanan pulang ke kampus cawangan untuk bersiap sedia menghadapi pemilihan tersebut.