Di kediaman Putera Mahkota, Jun Wu Xie sedang memeriksa nadi Mo Qian Yuan. Rawatan sejak beberapa hari yang lalu sudah menyingkirkan kebanyakan toksin dari badannya dan Mo Qian Yuan berasa lebih sihat. Wajahnya tidak lagi pucat seperti dulu.
Sewaktu ketibaan Putera Kedua diumumkan, Mo Qian Yuan hilang sabar sedikit.
"Datang pada waktu sebegini, pasti ada niat tak baik," cemuh Mo Qian Yuan.
Kedua-dua orang adik beradik ini tidak mempunyai hubungan yang baik. Bonda Mo Qian Yuan adalah Maharani, manakala bonda Mo Xuan Fei hanyalah gundik. Selepas kemangkatan Maharani, bonda Mo Xuan Fei menjadi gundik kesayangan Maharaja serta mengambil alih hal pengurusan gundik-gundik diraja. Maharaja amat menyayangi bonda Mo Xuan Fei selepas kemangkatan Maharani dan ini menyebabkan Mo Qian Yuan sakit hati.
Jun Wu Xie berhenti memeriksa nadi Mo Qian Yuan dan berkata, "Sekarang ni orang tahu kamu semakin sembuh. Ada yang sudah berasa takut dan tidak boleh berdiam diri."
Mo Qian Yuan tidak menyembunyikan hal dirinya semakin sembuh. Jun Wu Xie yang menyuruhnya berbuat begitu.
Siapa yang akan menyokong seorang putera yang bodoh serta Istana Lin? Mo Qian Yuan perlu mengembalikan reputasinya, bermula dengan mendapatkan kembali kepercayaan rakyat dan menteri-menteri lain.
Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan faham betapa pentingnya hal ini.
"Beta nak lihat apa yang boleh dilakukannya terhadap Putera Mahkota." Mo Qian Yuan mencemuh sambil matanya bersinar dingin. Walaupun kedudukannya sebagai Putera Mahkota masih belum stabil, Maharaja masih perlu menjaga reputasi Baginda. Jadi Baginda tidak akan melakukan sesuatu yang melampau. Mo Qian Yuan juga tidak berani melakukan apa-apa secara terbuka.
Beberapa ketika kemudian, Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian berjalan masuk dengan santai.
Di negara ini, Mo Xuan Fei mempunyai reputasi yang tinggi dari segi penampilan dan kelakuannya. Bai Yun Xian yang berpakaian putih pula kelihatan seperti pari-pari. Berdiri sebelah-menyebelah, kedua-duanya saling melengkapi dan kelihatan elegan serta angkuh.
"Sudah lama Adinda tidak melihat Kakanda. Nampaknya Kakanda sudah agak sihat." Mo Xuan Fei berkata-kata dengan lancar sambil dia melangkah masuk. Dia terkejut sedikit sewaktu terpandang Jun Wu Xie.
Mo Xuan Fei merasakan hatinya kurang senang dan dia berasa tidak gembira. Dahulu, sebab utama kecantikan Jun Wu Xie jarang diperkatakan ialah kerana perangainya yang buruk telah menenggelamkan penampilannya.
Jun Wu Xie dahulunya sering memandang Mo Xuan Fei dengan perasaan kagum dan teruja. Tapi kini matanya dingin dan sombong. Dia juga langsung tidak memandang ke arah Mo Xuan Fei.
Perubahan sikapnya ini menjadikan Jun Wu Xie kelihatan seperti sudah menjadi orang lain. Keanggunannya dan personalitinya yang dingin amat sepadan. Dia kelihatan seperti teratai salji yang suci, cantik dan sukar untuk didapatkan.
Jun Wu Xie juga berpakaian warna putih hari ini dan duduk bersahaja di atas sebuah kerusi. Dia sedang membaca buku di tangannya dan langsung tidak berniat untuk mengangkat kepalanya.
Kedua-dua orang gadis itu berpakaian putih, kedua-duanya mempunyai personaliti yang dingin dan kedua-duanya sangat cantik. Tapi entah kenapa, Mo Xuan Fei merasakan setelah dia melihat Jun Wu Xie, Bai Yun Xian kelihatan kurang elegan dan kurang cantik.
Jun Wu Xie bersikap acuh tak acuh, seolah-olah tidak dunia di sekelilingnya tiada kaitan dengannya. Dia hanya duduk diam dan nampak bersahaja. Cara duduknya juga kelihatan sempurna. Sebaliknya, Bai Yun Xian kelihatan berpura-pura. Kalau dibandingkan dengan Jun Wu Xie, perlakuan Bai Yun Xian nampak dibuat-buat dan ini membuatkan dia kelihatan kurang menarik.
Mo Xuan Fei merasakan pasti dia sudah gila kerana hatinya lebih tersentuh sewaktu memandang Jun Wu Xie.
Tak mungkin! Ini pasti hanya ilusi!