84 Niat Jahat (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mo Xuan Fei tidak akan mengaku hatinya berperasaan begitu!

"Terima kasih kerana Adinda ambil berat." Mo Qian Yuan menjawab dengan kurang mesra. "Boleh Kakanda tahu mengapa Adinda berkunjung ke sini?"

"Hahaha, Adinda berasa gembira mendengarkan Kakanda semakin sihat sejak akhir-akhir ini dan keadaan badan Kakanda juga bertambah baik. Jadi Adinda datang untuk memberikan Kakanda Pil Embun Jed yang dibuat sendiri oleh Yun Xian. Pil ini boleh meningkatkan kesihatan badan. Adinda harap Kakanda akan mendapat manfaatnya."

Mo Xuan Fei menjawab dengan sopan. Bai Yun Xian yang sedang duduk di sisinya meletakkan sebotol pil di atas meja.

Penerangan Mo Xuan Fei amat jelas, tetapi bukankah perbuatan 'ambil berat' ini sudah terlambat?

Jun Wu Xie masih lagi tidak mengangkat kepalanya. Dia langsung tidak berminat untuk membazirkan masa dengan watak tidak penting ini.

Sebelum ini, mungkin Mo Qian Yuan berasa sedikit terharu dapat menerima pil yang dibuat sendiri oleh Bai Yun Xian. Namun dengan adanya Jun Wu Xie yang memantau keadaan badannya, dia merasakan seluruh tubuhnya sudah menjadi semakin sihat dalam masa yang singkat. Kini sama ada pil itu dari Bai Yun Xian atau pil yang dibuat sendiri oleh Tok Gurunya, Mo Qian Yuan tidak mahu membazirkan tenaga untuk membalas dengan sedikit senyuman sekalipun.

Di dalam hatinya Mo Qian Yuan merasakan Jun Wu Xie terlalu hebat! Tabib genius yang tiada tandingan!

"Terima kasih." Namun Mo Qian Yuan langsung tidak bergerak. Dia hanya duduk sahaja tanpa berniat mahu mencapai botol pil itu.

Wajah Mo Xuan Fei berubah. Tanpa disedari dia memandang ke arah Bai Yun Xian. Seperti yang dijangka, Bai Yun Xian tidak gembira dengan sikap Mo Qian Yuan yang tidak berminat dengan pil itu.

"Adakah Tuanku benci dengan Pil Embun Jed yang Patik buat?" Bai Yun Xian tiba-tiba bersuara dengan dingin. Walaupun soalan itu ditanyakan kepada Putera Mahkota, nada suara Bai Yun Xian langsung tidak menunjukkan rasa hormat dan rendah diri.

Dia anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Ke mana sahaja dia pergi, orang sentiasa menghormatinya dan dia tidak pernah perlu bertolak-ansur kerana orang lain yang akan merayu kepadanya. Namun sejak berada di Kerajaan Qi, dia sudah ditolak sebanyak tiga kali! Kali pertama ialah sewaktu dia di Istana Lin dan Jun Wu Xie menolak tawaran Bai Yun Xian untuk merawatnya. Kali kedua sewaktu di Bandar Hantu dan orang tua jahil itu mencemuh pil yang dibuat sendiri oleh Tok Guru Bai Yun Xian dan sebaliknya memilih ubat dari budak yang entah siapa-siapa. Kedua-dua kejadian ini ibarat Bai Yun Xian ditusuk paku sebanyak dua kali. Ini menyebabkan dia semakin tidak puas hati apabila Putera Mahkota bersikap sambil lewa sahaja dengan ubat yang diberinya. Seolah-olah sangat benci dengan Pil Embun Jed itu.

Bai Yun Xian langsung tidak dapat menerimanya. Dia berkelayakan tinggi dalam bidang perubatan, kalau tidak masakan dia diterima menjadi anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Di mana-mana sahaja semua orang pasti mengampunya dan memandang tinggi segala kata-katanya.

Kini Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan sudah menyinggung perasaanya. Dia merasakan hatinya yang angkuh itu sudah ditikam sebanyak dua kali.

"Mengapa Cik Bai kata begitu? Sekarang Beta tak ada masalah kesihatan yang serius. Beta cuma tak mahu membazirkan ubat berharga ini." Walaupun kata-kata itu keluar dari mulut Mo Qian Yuan, wajahnya langsung tidak menggambarkan keikhlasan.

Bai Yun Xian mengetap giginya. Dia bukannya bodoh. Masakan dia tidak sedar yang Mo Qian Yuan sekadar bermanis mulut sahaja?

Melihat Bai Yun Xian semakin marah, Mo Xuan Fei cepat-cepat menukar topik. "Angin Kakanda nampaknya baik beberapa hari ini. Tetapi, sudah menjadi tanggungjawab Adinda untuk mengingatkan Kakanda. Jangan rapat sangat dengan orang yang tak berguna. Usah terpedaya dengan kecantikan luaran." kata Mo Xuan Fei sambil memandang Jun Wu Xie.

Sejak dia masuk ke bilik itu sehingga sekarang, Jun Wu Xie langsung tidak memandangnya. Ini membuatkan Mo Xuan Fei menunjukkan perasaan tidak puas hatinya.

Bukannya dia mahukan perhatian Jun Wu Xie. Dia cuma tidak boleh menerima sikap sombong gadis itu terhadapnya. Hal ini tidak ada kena mengena dengan perasaannya.

Inilah hati manusia. Dahulu sewaktu Jun Wu Xie tergila-gilakan dia sehingga menjadi begitu obses dengannya, Mo Xuan Fei berasa sangat meluat.

avataravatar
Next chapter