Selama dua jam ini, Mo Xuan Fei sudah mengalami seksaan dan kesakitan disebabkan oleh jarum-jarum itu. Setelah jarum-jarum itu dikeluarkan, dia mengeluh kelegaan. Namun dia mula berasa takut apabila dia tidak dapat menggerakkan kakinya.
Dia bersusah-payah cuba berdiri tetapi kakinya yang tidak berguna itu langsung tidak berganjak. Mo Xuan Fei hanya mampu terus melutut dan mendongak memandang orang lain.
"Bawa ke mari kerusi roda yang saya sediakan khas untuk Putera Kedua." Jun Wu Xie memberi arahan.
Seorang askar Tentera Rui Lin cepat-cepat bergerak dan membawa masuk kerusi roda itu ke dalam dewan utama.
Mo Xuan Fei merenung kerusi roda itu dan merasakan seperti pernah melihatnya sebelum ini. Bukankah ini kerusi roda yang dihadiahkan oleh Istana Diraja kepada Keluarga Jun selepas Jun Qing menjadi lumpuh?
"Bantu Putera Kedua duduk di kerusi roda." arah Jun Wu Xie.
Dua orang askar Tentera Rui Lin menghulurkan tangan untuk memegang Mo Xuan Fei. Menyedari betapa seriusnya keadaan ini, Mo Xuan Fei menggapai-gapaikan tangannya untuk menolak pengawal dari Tentera Rui Lin itu.
"Jun Wu Xie! Apa maksud semua ni? Apa yang kamu mahu? Saya tak mahu duduk di kerusi roda! TIDAK!!!" Bantahan Mo Xuan Fei yang tidak berdaya itu langsung tidak berguna untuk menentang askar Tentera Rui Lin yang mahu melaksanakan arahan yang mereka terima. Dia dipegang dan diheret ke kerusi roda itu, meninggalkan kesan darah di lantai.
"Kamu sudah lumpuh, terimalah hakikat." Senyuman Jun Wu Xie semakin berseri-seri, tetapi apabila kata-katanya didengari oleh Maharaja yang hanya menonton dari tepi dan terseksa dalam diam, baginda menjadi seram sejuk.
Kamu sudah lumpuh, terimalah hakikat….
Ayat itu pernah baginda sebut sebelum ini…..
Maharaja merenung Jun Wu Xie, dan merasakan seolah-olah baginda sudah disiram dengan air sejuk, setiap liang roma menjerit ketakutan.
Setelah menyaksikan sendiri anakandanya dan Bai Yun Xian dipermainkan dan diseksa oleh Jun Wu Xie, baginda menjadi sangat takut. Baginda mahu lari dari situ, tetapi tidak tahu ke mana harus dituju.
Askar-askar Tentera Rui Lin sudah mengepung seluruh kawasan dewan utama. Baginda terperangkap seperti tikus!
Mo Xuan Fei yang dipaksa duduk di kerusi roda itu meronta-ronta seperti orang gila, tetapi usahanya tidak berhasil, walau sekuat mana sekalipun dia cuba. Kedua-dua orang askar Tentera Rui Lin itu memegang bahu Mo Xuan Fei dengan kuat dan memaksanya duduk di situ.
Keadaan putera raja itu mengundang simpati.
Mo Qian Yuan memandang sambil diam. Dia sudah melihat kekejaman Jun Wu Xie. Kini dia menyaksikan keganasan gadis itu dalam menyeksa musuh-musuhnya.
Mudah saja untuk membunuh Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian, tetapi dia memilih untuk merampas apa yang paling mereka banggakan, memusnahkannya sedikit demi sedikit di hadapan mereka. Dia menghancurkan sikap angkuh dan bangga diri mereka tanpa belas kasihan, membuatkan mereka menggeletar ketakutan dan putus asa.
Apabila semangat seseorang itu musnah sepenuhnya, dewa-dewa juga tidak mampu menyembuhkan hati mereka.
"Jun Wu Xie! Aku akan bunuh kau! Perempuan jalang!" Mo Xuan Fei seperti binatang yang dikurung, menjerit-jerit di kerusi rodanya. Matanya kelihatan menggila. Satu ledakan cahaya tiba-tiba memancar dari cincin di jarinya, bersama-sama satu ngauman yang menggegarkan seluruh dewan itu.
Mo Qian Yuan menggerenyet. Dia sangat mengenali ngauman itu. Sewaktu Mo Xuan Fei berusia empat belas tahun, dan roh berkontraknya pertama kali bangkit, roh itu telah menimbulkan rasa gentar di seluruh Istana Diraja!
Setelah cahaya itu lenyap, seekor singa emas yang berkilauan berdiri di dalam dewan utama itu. Badan singa itu diliputi cahaya emas yang terang!
Singa Emas!
Di dalam Kerajaan Qi, dalam setiap generasi Keluarga Diraja, inilah roh berkontrak bentuk binatang yang paling kuat!
Mo Xuan Fei sudah menyeru Singa Emas, langkah terakhirnya untuk menjatuhkan Jun Wu Xie!