webnovel

Dibaham (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Singa Emas yang kelihatan megah dan agung itu mengaum dengan kuat ke arah dua orang askar Tentera Rui Lin yang sedang menolak kerusi roda itu. Mujurlah mereka berdua merupakan askar berpengalaman dan cepat-cepat menyeru roh berkontrak mereka sendiri.

Mo Xuan Fei memandang Jun Wu Xie dengan ganas, matanya yang kemerah-merahan dipenuhi kegilaan.

Jun Wu Xie sudah memusnahkannya! Jun Wu Xie telah memusnahkan hidupnya sepenuhnya! Fikiran Mo Xuan Fei dipenuhi niat membunuh. Apa yang dia mahukan hanyalah untuk mencederakan Jun Wu Xie dan memberikan dia kematian yang menyakitkan!

Suasana di Dewan Diraja tiba-tiba menjadi tegang apabila Mo Qian Yuan mengeluarkan roh berkontraknya yang berbentuk lembing perak. Dia melangkah ke hadapan Jun Wu Xie untuk melindungi gadis itu. "Itu Singa Emas, roh berkontrak bentuk binatang yang paling berkuasa dalam negara kita." Dia cepat-cepat memberi amaran kepada Jun Wu Xie sambil mengecilkan mata dan menumpukan pandangan pada Singa Emas.

"Bunuh Jun Wu Xie! Bunuh Mo Qian Yuan! Bunuh mereka berdua!!!" Mo Xuan Fei merenung licik ke arah bayang-bayang yang berada di belakang Mo Qian Yuan sambil menjerit pada Singa Emas.

Pada ketika ini, Maharaja berasa amat terkejut. Baginda berdiri dengan mata yang dipenuhi perasaan yang bercampur-baur.

Baginda sangat arif dengan kekuatan berlawan Singa Emas. Di seluruh negara ini hanya ada beberapa roh berkontrak yang mampu menandinginya. Inilah langkah terakhir mereka!

Singa Emas mengaum dengan kuat dan menerkam ke arah Jun Wu Xie. Badannya yang kuat dan kukunya yang tajam mensasarkan gadis lemah yang dilihatnya.

Tiba-tiba, satu bayang-bayang besar menerkam keluar. Walaupun badannya tidak sebesar Singa Emas, tekanan yang dipancarkan penuh keganasan dan niat membunuh. Matanya berkilau dingin dan tidak menyembunyikan pandangan hina yang dilemparkan ke arah Singa Emas.

Dengan sekali pandang, Mo Qian Yuan mengenali binatang hitam besar ini.

Bukankah ini binatang tunggangan Jun Wu Xie?

Kedua-dua binatang buas itu bertempur, diiringi ngauman kuat sambil taring dan gigi yang tajam saling bertembung dengan ganas. Walaupun pertempuran ini sengit, roh berkontrak tidak menumpahkan darah. Malah bahagian badan yang dicederakan juga tidak ada bau darah yang meloyakan.

Semua orang di dalam dewan itu tercengang memerhatikan kejadian ini. Askar-askar Tentera Rui Lin yang berada di luar Dewan Diraja, meluru masuk dan menempatkan diri mereka di hadapan Mo Qian Yuan dan Jun Wu Xie untuk melindungi mereka.

Kedua-dua binatang buas itu meneruskan pertempuran sengit itu, ngauman kedua-duanya semakin kuat sehingga menyebabkan mereka yang menonton menggerenyet kesakitan akibat tekanan kuat pada gegendang telinga mereka.

"Perlu minta bantuan?" Mo Qian Yuan bercakap dengan Jun Wu Xie dalam nada suara yang rendah sambil memerhatikan dua binatang buas yang sedang bertempur itu.

Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya. Selain roh berkontrak Jun Qing, dia tidak pernah bertemu dengan roh berkontrak bentuk binatang yang lain. Dia mahu tahu jika Hitam Kecil dapat bersaing dengan sistem roh berkontrak di dunia ini dan jika kebolehan bertarung Hitam Kecil setanding dengan roh berkontrak jenis binatang yang lain.

Di dunia dahulu, Hitam Kecil tiada tandingan. Namun Jun Wu Xie mahu memastikan bagaimana keadaan Hitam Kecil di dunia baru ini.

Dia perlu memerhatikan dengan lebih lanjut lagi.

Binatang hitam itu nampaknya faham niat Jun Wu Xie sambil memandang marah pada Singa Emas dan meluru ke hadapan untuk menyerang. Hitam Kecil berjaya merobek sebahagian bahu Singa Emas. Tidak ada darah tetapi terdapat zarah-zarah emas yang tersebar keluar.

"Auuuuummmm!!!" Singa Emas yang belum pernah kalah dalam pertempuran sebelum ini, mencakar Hitam Kecil dengan ganas menggunakan kukunya yang tajam sambil menghumbankan badan ke arah Hitam Kecil.

Walau bagaimanapun, Hitam Kecil mengelak serangan itu dan melompat ke udara, di atas Singa Emas. Sewaktu berada di udara, dengan lincahnya Hitam Kecil memusingkan badan, meluru ke bawah sambil membuka rahang dan dengan cepat menggigit tengkuk Singa Emas!