webnovel

Menarik Pukat (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Apa yang membuatkan Qiao Chu lebih sakit hati ialah jika pengikut Puncak Menjejak Awan itu menyerangnya, dia tidak boleh membalas! Ini kerana sifat pelindung Mu Chen terhadap para pengikutnya pasti akan membuatkan dia datang mencari Qiao Chu untuk menghukumnya!

Semua persiapan sudah dibuat. Mereka hanya perlu menunggu ribut melanda.

Saat itu akhirnya tiba. Dua hari kemudian, para Tuan Tua yang berasa tertekan sudah tidak boleh menahan diri mereka lagi. Mereka berkumpul dan menuju Puncak Awan biru bersama-sama untuk menuntut keadilan ke atas kekejaman yang dilakukan pada pengikut mereka.

Mereka ibarat telah ditampar. Kalau mereka hanya menelan saja maruah mereka dan tidak memberikan reaksi, jatuhlah kedudukan mereka sebagai Tuan Tua puncak-puncak ini di mata para pengikut mereka.

Semua Tuan Tua bergerak bersama-sama. Malah Mu Chen yang belum pulih sepenuhnya itu turut diheret sama. Satu-satunya yang tak ada ialah sasaran mereka, "Ke Cang Ju".

Qin Yue sedang duduk di dewan utama Puncak Awan Biru. Sakit kepalanya semakin menjadi-jadi.

Ada sebelas orang Tuan Tua di bawahnya. Kecuali Jiang Chen Qing yang baru saja mati dan Ke Cang Ju yang bertanggungjawab membuatkan Qin Yue sakit kepala, semua Tuan Tua lain berada di hadapannya kini!

Sembilan orang Tuan Tua itu duduk di kedua-dua belah dewan. Wajah mereka semuanya suram dan kelihatan marah.

Cai Zhuo yang paling tua dan paling dihormati dalam kalangan mereka. Dia yang pertama sekali bersuara. Wajahnya kelihatan serius dan dia berdiri dengan sedikit terhuyung-hayang.

"Tuan Pemerintah, apa yang Ke Cang Ju sedang lakukan? Katanya dia bertindak di bawah arahan Tuan untuk meminjam beberapa orang pengikut dari setiap puncak yang kemudiannya dibawa balik ke Puncak Awan Tersembunyi. Kami dengan berat hati bersetuju memandangkan ini idea Tuan. Tapi apa yang dia buat selepas itu! Para pengikut yang dia bawa balik kini sudah mati! Badan mereka yang penuh kecederaan itu dibuang pula di hadapan pintu pagar puncak-puncak gunung kami!"

Cai Zhuo mengeluh kuat dan suaranya seperti tertahan-tahan dengan hiba sewaktu berkata, "Para pengikut itu kami sendiri yang pupuk dengan susah-payah dan kasih sayang! Tapi mereka telah diseksa dengan kejam serta tanpa belas kasihan oleh Ke Cang Ju! Mayat-mayat para pengikut kami yang amat disayangi ini pula dicampak begitu saja di depan pintu pagar kami. Tubuh mereka rosak teruk sehingga tak ada satu pun yang dalam keadaan sempurna! Mereka semua para pengikut yang dipilih dengan teliti dan diterima masuk ke Kumpulan Qing Yun! Bagaimana mereka boleh dibiarkan menjadi mangsa pembunuhan kejam seperti itu. Malah mereka mati di tangan salah seorang Tuan Tua Kumpulan Qing Yun! Bukankah insiden ini akan menimbulkan ketakutan di dalam hati pengikut kita yang setia dan tidak bersalah? Apa yang membuatkan para pengikut kami bertambah sakit hati? Ke Cang Ju berani meninggalkan sepucuk surat pada setiap mayat-mayat tersebut yang mengatakan pengikut kami sudah dipulangkan dengan baik dan dia akan kembali lagi! Tuan Pemerintah! Bagaimana perbuatan khianat dan kejam ini dibenarkan berlaku di bawah pimpinan cemerlang Tuan, di dalam Puncak Berawan kita yang suci ini"

Qin Yue memegang kepalanya. Pelipisnya berdenyut-denyut. Tak pernah dia membayangkan yang Ke Cang Ju akan bertindak melampau sebegini.

Tak hairanlah Tuan Tua lain boleh berkumpul dan bersatu dalam hal ini. Di dalam fikirannya, Qin Yue juga merasakan tindakan Ke Cang Ju itu keterlaluan.

Qin Yue tahu yang Ke Cang Ju akan membunuh pengikut-pengikut tersebut. Tetapi membunuh mereka dan mencampakkan mayat mereka di hadapan Tuan Tua lain itu terlalu melampau dan boleh diibaratkan seperti memberi tamparan yang kuat pada mereka!

Sewaktu Ke Cang Ju hanya mengambil para pengikut itu, Qin Yue berjaya memujuk dan memuaskan hati Tuan Tua mereka yang pengikut-pengikut tersebut hanya berada di Puncak Awan Tersembunyi untuk memberikan pertolongan. Mereka tak akan berada dalam bahaya. Kalau mereka mati sekalipun, selagi mayat mereka tidak ditemui, Tuan Tua mereka tak akan ada bukti berkaitan pembunuhan yang berlaku.

Tapi Ke Cang Ju benar-benar telah menimbulkan masalah kali ini!

Pasti dia merasakan kehidupan di dalam Kumpulan Qing Yun ini terlalu tenang!

Seolah-olah dia dengan beraninya pergi ke setiap Tuan Tua dan menampar mereka dengan kuat!

Kali ini, Qin Yue juga tak tahu bagaimana hendak melindungi Ke Cang Ju. Situasi di hadapannya ini di luar kawalannya kerana barisan Tuan Tua ini jelas sekali terlalu marah. Maruah serta kedudukan mereka di dalam Kumpulan Qing Yun ini telah diusik dan dicabar. Mereka tak akan mengalah dengan mudah kali ini!

"Berkenaan hal ini, saya akan pastikan kamu semua mendapat jawapan yang memuaskan. Pergi panggil Tuan Tua Ke!" Qin Yue sedar jika dia terus melindungi Ke Cang Ju dalam hal ini, Tuan Tua lain akan mula terfikir untuk memberontak. Qin Yue akan menyuruh Ke Cang Ju datang dan biar dia saja yang menjelaskan perbuatannya!

Selepas beberapa ketika, pengikut yang dihantar ke Puncak Awan Tersembunyi itu kembali membawa Ke Cang Ju.

Di belakang Ke Cang Ju ialah dua orang pengikutnya yang masih muda. Mereka bertiga berdiri dengan tegas di luar dewan utama Kumpulan Qing Yun!