webnovel

Menjelmanya Awan Ribut (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Tanpa langsung ada tanda-tanda bersalah atau takut, "Ke Cang Ju" membawa pengikutnya dan muncul di dewan utama.

Sekilas pandang ke arah mereka semua saja sudah cukup membuatkan Tuan Tua lain meradang. Kalau tak kerana Qin Yue ada di situ, mungkin mereka semua sudah menyerang Ke Cang Ju dan melapahnya hidup-hidup.

"Tuan Tua Ke, ada sesuatu yang kita perlu bincangkan hari ini. Suruh pengikut kamu pergi," kata Qin Yue selepas berdeham. Dia memikirkan yang tindakan Ke Cang Ju ini semakin melampau. Kenapa dia bawa pengikutnya ke pertemuan di antara Pemerintah dan barisan Tuan Tua?

"Ke Cang Ju" membalas dengan acuh tak acuh, "Tak ada apa yang mereka tak boleh dengar. Memandangkan Tuan Pemerintah mahu saya hadir, saya sudah ke sini. Sepatutnya Tuan Pemerintah tak perlu ambil peduli sama ada saya bawa pengikut atau tak."

Mendengarkan jawapan yang angkuh ini, wajah Tuan Tua lain menjadi merah padam. Malah Qin Yue juga kelihatan marah.

"Ke Cang Ju" tidak mempedulikan arahan Qin Yue di hadapan semua orang. Nada suaranya juga sungguh angkuh. Langsung tidak menghormati kedudukan dan kuasa Qin Yue.

Wajah Qin Yue semakin marah. Kalaulah tak kerana bukti kesalahannya ada di tangan "Ke Cang Ju", Qin Yue pasti sudah mengamuk di situ juga.

Qin Yue terpaksa menahan kemarahannya dan meneruskan saja seolah-olah tak ada apa yang berlaku.

"Tuan Tua Ke, kamu tahu tak kenapa saya panggil kamu ke mari hari ini?" Qin Yue berusaha sedaya upaya untuk bercakap dengan nada yang bersahaja.

"Saya tahu." Hua Yao menjawab sambil melambaikan tangannya dengan bersahaja. Dia membawa Jun Xie dan Qiao Chu masuk sambil dia duduk di sebuah kerusi di dalam dewan itu. Dia mengabaikan saja renungan berapi yang dilontarkan oleh Tuan Tua lain.

"Kalau kamu tahu apa halnya, bukankah kamu patut menjawab tuduhan yang dikenakan ke atas kamu hari ni?" tanya Qin Yue dengan berhati-hati. Kekecohan yang melanda Kumpulan Qing Yun baru-baru ini sudah mencapai tahap yang tak pernah terjangkau sebelum ini. Bukan saja para Tuan Tua, malah para pengikut Rumah Dalaman juga berasa gerun dan gelisah. Qin Yue tidak menyangka keadaan sudah menjadi sebegitu teruk. Kalaulah dia tahu, dia tak akan bersetuju dengan permintaan Ke Cang Ju.

Tetapi sudah terlambat untuk menarik kembali kata-katanya.

"Menjawab? Jawab apa?" tanya Hua Yao sambil berkerut. Penampilannya menunjukkan keengganan dan keangkuhannya.

Hujung bibir Qin Yue menggerenyet. Wajah Tuan Tua lain penuh perasaan marah dan benci.

Cai Zhuo tidak dapat menahan dirinya lalu berkata, "Ke Cang Ju, seperti yang kita semua tahu, apa saja yang kita lakukan, kita tak boleh melampaui batas. Jadi apabila kita bertemu, kita masih boleh ada hubungan baik. Tapi kamu dah bunuh pengikut kami yang kamu ambil. Kamu tak boleh pergi hari ini tanpa memberikan kami jawapan yang memuaskan!"

Hua Yao merenung Cai Zhuo yang bersikap agresif itu dan tersenyum sinis. Dia mengangkat tangannya dan menunjuk ke arah Jun Xie yang sedang duduk di sebelahnya. Kemudian dia berkata kepada Tuan Tua lain, "Kamu semua mahu saya jawab hal yang remeh ini? Pengikut saya ini akan memberitahu apa pendapat saya tentang hal ini." Dia kemudiannya terus bersandar. Seolah-olah tak mahu berkata apa-apa lagi.

Ini membuatkan Tuan Tua lain sangat berang!

Mereka ke sini untuk menyelesaikan hal dengan "Ke Cang Ju", tetapi dia hanya menolak pengikutnya ke depan untuk menjawab bagi pihaknya. Apa maksudnya ni? Sikapnya yang tak ambil peduli dan acuh tak acuh itu memang teruk!

Menolak seorang pengikut biasa ke depan untuk bercakap kepada barisan Tuan Tua? Kelakar betul! Itu namanya biadab! Macam mana seorang pengikut bawahan seperti ini boleh berbincang sama taraf dengan Tuan Tua?

Jun Wu Xie ditolak ke tengah dan duduk di dalam dewan itu sambil berhadapan dengan pandangan kurang senang dari setiap arah. Namun begitu, dia kelihatan tenang dan suaranya yang dingin serta jelas itu bergema di seluruh dewan.

"Tuan Tua sekalian mahukan jawapan dan saya akan memberikannya. Tuan Tua Ke bertindak mengikut arahan dan setiap apa yang dilakukannya telah mendapat persetujuan Tuan Pemerintah. Selain itu, tindakan Tuan Tua Ke bukannya untuk dirinya sendiri, tapi demi membalas dendam untuk Cik Sulung dan Tuan Tua Jiang," kata Jun Wu Xie perlahan-lahan.

Qin Yue yang sedang duduk dengan gah di kerusi pemerintah itu menjadi semakin terkejut semakin lama dia mendengar Jun Wu Xie bercakap. Matanya memandang dengan tidak percaya pada susuk tubuh kecil yang sedang duduk di sisi "Ke Cang Ju" itu. Pemuda itu bercakap dengan tenang, terus-terang dan jelas. 

Budak ni! Dia tahu tak apa yang dia cakapkan ni?!