webnovel

Menarik Pukat (2)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Di dalam Puncak Awan Tersembunyi, Qiao Chu duduk di atas sebuah kerusi, kakinya disandarkan dengan santai. Dia memandang Jun Xie yang sedang mengusap-usap kucing hitam kecil itu. Mata Qiao Chu bersinar, kelihatan terhibur. "Xie Kecil, kejam sangat kamu ni. Kamu pulangkan semula mayat-mayat itu ke puncak gunung masing-masing. Sebaik Tuan Tua mereka melihat mayat-mayat itu, mereka pasti akan jadi sangat marah!"

Pengikut-pengikut mereka dibawa pergi secara paksa dan dalam beberapa hari saja, pengikut-pengikut berkenaan sudah mati. Mayat mereka dicampak di kaki puncak gunung mereka. Apa yang paling tidak dapat diterima ialah setiap mayat itu membawa sepucuk surat dari "Ke Cang Ju".

Hanya beberapa patah perkataan yang ringkas tertulis di dalam surat tersebut. 'Pengikut-pengikut kamu sudah dipulangkan dengan baik. Aku akan kembali lagi untuk mengambil yang lain!'

Beberapa patah perkataan ini amat angkuh dan mesej yang disampaikan itu amat keji. Tuan Tua lain tidak mungkin dapat kekal tenang selepas itu. Malah Qiao Chu juga berasa seperti mahu membelasah Jun Xie sewaktu dia membaca isi kandungan surat tersebut!

Ini terlalu melampau! Badan pengikut-pengikut mereka sudah pun dirosakkan sehingga berada dalam keadaan menyedihkan dan Jun Xie berani mengatakan para pengikut ini 'sudah dipulangkan dengan baik' dan dia juga akan kembali lagi? Kata-kata itu mungkin akan membuat semua Tuan Tua itu mati sebaik mereka membaca surat-surat tersebut!

"Mereka semua layak menerima apa yang kita lakukan ke atas mereka," kata Jun Wu Xie dengan lembut. Selain Puncak Menjejak Awan, seluruh pengikut Rumah Dalaman Kumpulan Qing Yun sudah melakukan banyak kekejaman hasil kepimpinan yang sudah busuk. Kampung-kampung lenyap, penduduknya pula hilang. Semua ini akibat tindakan para pengikut tersebut. Amat menyakitkan hati apabila mendengar para pengikut ini berlagak tentang penyeksaan melampau yang mereka lakukan ke atas golongan wanita di kampung itu sewaktu menjalankan misi mereka. Beginilah tahap kekejaman para pengikut Kumpulan Qing Yun.

Tak banyak perkara yang menimbulkan kegembiraan atau kebencian di dalam hati Jun Wu Xie sewaktu kehidupannya yang lalu. Tapi satu perkara yang amat dibenci oleh Jun Wu Xie ialah penghinaan ke atas kaum wanita.

Malah sewaktu dia masih bersama-sama organisasi di kehidupan lamanya dahulu, jika ada di antara ahli organisasi itu yang melakukan perbuatan terkutuk ini, dia enggan merawat dan menyelamatkan mereka sekalipun diarahkan untuk berbuat demikian. Dia hanya akan melihat saja orang-orang ini terseksa dalam kesakitan dan akhirnya mati akibat tidak mendapat rawatan daripadanya.

Mengetahui berita para pengikut ini telah menyeksa kaum wanita hanya membuatkan Jun Wu Xie semakin tekad.

Kalau syurga tidak dapat menghukum mereka, dia berbesar hati untuk melakukannya!

"Heh heh, saya jangka masanya hampir tiba. Barisan Tuan Tua itu akan merempuh masuk berjumpa Pemerintah dan membuat kecoh. Pada ketika itulah kita menarik pukat dan jerat," kata Qiao Chu sambil menggosok-gosok tangannya dengan gembira. Menjalankan rancangan Jun Xie memang amat mengujakan. Sukar membayangkan pemuda kecil molek di hadapan mereka ini, seorang yang pendiam, begitu teliti dan cekap dalam menjalankan misi seperti ini.

Qiao Chu benar-benar mahu tahu bagaimana cara Jun Xie berfikir.

"Semua barang sudah disiapkan?" tanya Hua Yao dari satu sudut bilik itu. Dia tidaklah seperti Qiao Chu yang langsung tidak bimbang. Dia tahu betapa seriusnya situasi ini. Kalau mereka gagal menghapuskan pihak musuh sekaligus, mereka yang akan mati di sini.

"Saya sudah siapkan awal-awal tadi. Apa saja yang Xie Kecil suruh saya buat, saya akan laksanakan dengan tepat." Qiao Chu ketawa sambil menepuk dadanya dengan yakin.

"Dalam masa tiga hari, barisan Tuan Tua itu akan mula bertindak. Suruh Mu Chen bersiap-sedia. Saya tak mahu sebarang kejadian tak diingini." Selepas hampir sebulan membuat persediaan, sudah tiba masanya untuk menarik pukat.

Dia akan buat Kumpulan Qing Yun membayar segala dosa mereka.

Selepas lama berjauhan dari rumah, Jun Wu Xie mula berasa rindu.

Datuk, Pak Cik….Jun Wu Yao…..

Sudah tiba masanya untuk pulang.

Sebaik selesai semua hal di sini, dia akan pulang ke Istana Lin. Kemudian barulah dia akan pergi semula untuk membuat eliksir yang Qiao Chu dan Hua Yao mahukan.

"Baiklah. Saya akan ke Puncak Menjejak Awan malam ini. Saya tak berani ke sana pada waktu siang kerana pengikut Puncak Menjejak Awan kini langsung tidak membenarkan pengikut Puncak Awan Tersembunyi masuk ke kawasan mereka." Qiao Chu menjelaskan sambil menggaru-garu kepalanya. Kerjasama di antara Jun Xie dan Mu Chen hanya diketahui oleh mereka berempat. Para pengikut Puncak Menjejak Awan masih menyangkakan yang Tuan Tua telah diseksa di Puncak Awan Tersembunyi. Jika mereka terlihat mana-mana pengikut Puncak Awan Tersembunyi, mereka akan menjadi berang dan menerkam pengikut berkenaan tanpa teragak-agak!