webnovel

Menarik Pukat (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tak lama kemudian, satu berita tersebar di dalam Kumpulan Qing Yun. Khabarnya, Ke Cang Ju telah pergi ke Puncak Menjejak Awan dan merampas seorang pengikut. Tuan Tua Puncak Menjejak Awan, Mu Chen, kemudiannya merempuh masuk ke dalam Puncak Awan Tersembunyi untuk menyelamatkan pengikutnya. Mu Chen tiba-tiba jatuh sakit selepas dia kembali dan demam panasnya masih belum kebah. Walaupun Qin Yue sudah memberikan rawatan, Mu Chen masih terlantar di katil selepas tiga hari berlalu dan keadaannya masih lagi teruk.

Keadaan Mu Chen jadi begitu selepas kembali dari Puncak Awan Tersembunyi. Jelas sekali kepada Tuan Tua lain yang kemahiran Ke Cang Ju dalam penggunaan racun itulah puncanya. Mu Chen dan Ke Cang Ju sudah lama menjadi musuh ketat. Ke Cang Ju membenarkan Mu Chen mengambil semula pengikutnya pulang ke Puncak Menjejak Awan, pastinya Mu Chen sudah diseksa oleh Ke Cang Ju yang bersikap pendengki itu. Tentu dia sudah menggunakan racun sehingga Mu Chen tiba-tiba jatuh sakit!

Sebelum ini, Tuan Tua lain masih lagi bingung bagaimana Mu Chen mampu membawa pengikutnya kembali. Kini sebab di sebaliknya sudah jelas!

Berita ini menyebabkan ketakutan dan kebencian Tuan Tua lain terhadap Ke Cang Ju semakin meningkat!

Tidak kira betapa bencinya Ke Cang Ju terhadap Mu Chen, mereka berdua masih lagi memegang kedudukan Tuan Tua Kumpulan Qing Yun yang amat dihormati. Tetapi Ke Cang Ju meracuni Mu Chen tanpa teragak-agak, menunjukkan yang dia tidak peduli dengan status Tuan Tua Kumpulan Qing Yun!

Malah Tuan Tua lain yang tak ada permusuhan dengan Ke Cang Ju juga mula berasa terancam dengan kekejamannya.

Mu Chen telah diracuni secara terbuka dan ini membuatkan Tuan Tua lain mula bimbangkan keselamatan mereka. Ke Cang Ju sudah pun berani merampas pengikut mereka, kekejaman apa lagi yang akan dia lakukan?

Tuan Tua lain memikirkan kembali kekecohan dan ketakutan yang tersebar sebelum ini. Mereka terfikir tentang mata pengikut mereka yang kelihatan sedih dan kecewa sewaktu memandang mereka. Kebencian barisan Tuan Tua ini terhadap Ke Cang Ju mula meluap-luap.

Salah seorang Tuan Tua itu telah pergi ke Puncak Menjejak Awan, membawa tonik sebagai buah tangan. Wajahnya sedih seolah-olah mengambil berat. Dia berpura-pura melawat Mu Chen yang sedang sakit tapi sebenarnya ingin mengetahui seksaan apa yang Ke Cang Ju kenakan ke atas Mu Chen.

Mu Chen membuat muka meminta simpati dan tidak berdaya, kemudian berkata dengan lemah, "Ke Cang Ju itu teguh memegang kepercayaan Pemerintah sedangkan saya ini hanya Tuan Tua pada nama saja dan tak ada apa-apa kuasa. Kalau dia membuat keputusan untuk merampas pengikut saya, atau apa-apa saja yang dia mahu lakukan, saya tak ada pilihan lain. Saya hanya boleh menahan dan menerima saja penindasannya. Pemerintah sendiri menyokong Ke Cang Ju, apa lagi yang saya mampu lakukan? Menunggu maut datang menjemput saya saja agaknya."

Kata-kata Mu Chen yang kedengaran kecewa itu membuatkan hati Tuan Tua berkenaan menjadi perit. Keadaan Mu Chen menjadi bukti betapa mereka sudah tidak boleh menaruh harapan lagi ke atas situasi ini.

Pada masa yang sama, hal ini menimbulkan satu lagi persoalan. Mu Chen ialah Tuan Tua yang ditindas kali ini. Tetapi kalau Ke Cang Ju menyasarkan mereka pula, pasti mereka akan mendapat nasib yang sama.

Pada ketika itu, perlukah mereka menelan saja penindasan yang berlaku dan menjadi tidak berdaya? Perlukah mereka menjadi mangsa kekejaman Ke Cang Ju tanpa bantahan?

TIDAK!

Ini tak boleh berlaku!

Tuan Tua lain mula berasa amat cemas. Mereka yang berjaya menenangkan pengikut mereka berkenaan kejadian sebelum ini, mula merasakan ada bahaya yang bakal menjelma.

Keadaan Mu Chen yang menyedihkan menyalakan kembali api kekecohan yang sudah mula reda sejak kebelakangan ini. Situasi kali ini lebih teruk dan menyebarkan ketakutan yang lebih besar dalam kalangan orang ramai.

Qin Yue mula merasakan bahangnya dan menjadi gementar. Dia menghantar orang ke Puncak Awan Tersembunyi untuk membawakan mesej kepada "Ke Cang Ju", memberitahu lelaki itu untuk menghentikan kekejamannya dan tidak menimbulkan kacau-bilau lagi.

Orang yang menyamar sebagai Ke Cang Ju itu tidak mempedulikan amaran berkenaan, dan membiarkan saja mesej itu ditiup angin.

Dua hari kemudian, tinggi di atas setiap pintu masuk ke puncak-puncak gunung itu, tergantung sepasang mayat yang sudah reput. Itulah tubuh badan pengikut-pengikut yang telah dirampas oleh "Ke Cang Ju" dan dibawa balik ke Puncak Awan Tersembunyi.

Dalam masa beberapa jam, kekecohan mula meletus di dalam Kumpulan Qing Yun!

Sewaktu barisan Tuan Tua itu terlihat mayat-mayat yang mengerikan itu, wajah mereka menjadi pucat!

"Ke Cang Ju, celaka! Aku….. aku tak akan biarkan saja hal ini!" Kata-kata kesat ini bergema serentak di semua puncak-puncak gunung!