"Adakah Tok berminat dengan ubat ini?" Sedang Mo Xuan Fei dilanda kekecewaan, satu suara kecil datang dari arah orang ramai itu. Satu susuk tubuh kecil cuba menyelit keluar.
Seorang budak muda yang berkulit cerah, dalam lingkungan usia empat belas tahun akhirnya muncul dari celah-celah orang ramai itu. Sebelah tangannya memegang sebuah botol porselin kecil. Dia berjalan ke gerai itu dan menyerahkannya kepada orang tua itu.
"Adik ingat ini pesta? Cuma menyelit masuk, ikut-ikut orang dan serahkan saja apa-apa ubat yang kamu ada? Orang tua ni baru saja menolak Pil Qing Yun, tahu? Pil Qing Yun! Kamu faham tak apa maksudnya tu? Jangan sampai dia campak semula ke muka kamu!" kata salah seorang pengunjung dengan kasar, seperti mahu mencurah minyak ke dalam api.
Jun Wu Xie tidak mempedulikan orang lain sambil dia memandang orang tua itu.
Orang tua itu memandang budak muda berkulit cerah di hadapannya dan berdiri sambil mengambil botol itu, "Budak kecil, kamu mahu tukarkan ubat ini dengan apa?"
"Mutiara Timur." balas Jun Wu Xie.
"Oh." Orang tua itu membuka botol itu secara bersahaja. Sebaik dia membuka botol itu, satu haruman herba yang menyegarkan bercampur dengan wangian teratai tersebar di kawasan sekeliling. Mereka yang berada di sekitar gerai itu amat bertuah dapat menghidunya dan dengan serta-merta merasakan keadaan mental dan fizikal mereka bertambah baik.
Mereka yang berada dekat gerai itu tidak dapat menahan diri daripada mengeluh lega sewaktu mereka merasakan minda dan rohani mereka menjadi tenang.
Mata orang tua itu yang sebelum ini kelihatan kabur, mula bersinar kembali. Semua rasa bimbangnya hilang sambil dia mengangkat kepalanya dan memandang Jun Wu Xie dengan kebingungan.
"Budak kecil, ubat apa ini? Apa namanya?" tanya orang tua itu.
"Tak ada nama. Cuma ubat biasa untuk memulihkan darah." Jun Wu Xie tidak peduli untuk menamakan ubat-ubatnya kerana semuanya dibuat untuk memulihkan badan Jun Xian dan Jun Qing sebagai sebahagian daripada proses rawatan mereka. Dia tidak perlu membazirkan masa untuk hal remeh seperti ini.
"Berapa banyak barang kamu mahu tukarkan dengan ubat ini? Apa kata kamu beri saya botol ini dan kamu boleh ambil sembilan butir Mutiara Timur ini dan pilih mana-mana tiga Permata Rohani?" Lubang hidung orang tua itu semakin kembang sambil dia bertanya dengan penuh teruja. Dia berpeluk tubuh, menyembunyikan botol porselin itu dalam dakapannya. Jelas sekali dia tidak akan memulangkan kembali ubat itu.
Sebaik orang tua itu membuat tawaran, orang ramai di situ terdiam. Seketika kemudian mereka rancak berbincang sambil memerhatikan kejadian tidak masuk akal ini.
Orang tua yang aneh ini menolak mentah-mentah Pil Qing Yun tetapi dia begitu mahukan ubat tidak bernama daripada sumber yang tidak diketahui?
Apa maksudnya? Ubat budak ini lebih bagus daripada Pil Qing Yun yang terkenal, milik Pemerintah Kumpulan Qing Yun?
"Tidak, saya cuma mahu Mutiara Timur." Jun Wu Xie tidak berminat dengan barang-barang lain.
"Apa kata kamu tengok dulu barang-barang lain?" pujuk orang tua itu sambil memandang Jun Wu Xie dengan resah dan memegang erat botol ubat itu.
"Tak perlu." Jun Wu Xie berkerut kerana berasa jengkel. Orang tua ini bercakap meleret-leret!
"Jadi beritahu saya apa yang kamu perlukan. Kalau ada, saya akan tukarkan dengan kamu." Orang tua itu membongkok dan mula mencari-cari sesuatu. Dia mengeluarkan satu uncang dan membukanya.
Apabila dia menunjukkan isi kandungan uncang itu, mata semua orang mula bersinar dan kedengaran bunyi mereka menelan air liur. Di dalam uncang itu terdapat pelbagai Permata Rohani yang berharga. Semuanya berkilauan dan dipenuhi tenaga rohani. Kualiti permata-permata yang baru dikeluarkan ini membuatkan permata yang dipamerkan di gerai itu kelihatan kurang bermutu.
Buat seketika, orang ramai di situ memandang longgokan Permata Rohani yang berharga itu dengan bingung.
"Saya cuma mahu Mutiara Timur." Jun Wu Xie mula hilang sabar.
Orang tua itu baru saja mahu mengatakan sesuatu apabila seseorang melangkah dan berdiri di antara orang tua itu dan Jun Wu Xie.