webnovel

Lelongan untuk Orang Kaya (6)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kesan Eliksir Peningkat Roh mungkin agak hebat, tetapi hanya terhad pada sekali penggunaan. Membelanjakan seratus ribu tahil pada sesuatu seperti ini hanya boleh dilakukan oleh pelajar Akademi Zephyr yang amat kaya dan memiliki terlalu banyak duit.

Dalam masa yang singkat, kesemua lima biji Eliksir Peningkat Roh habis terjual. Semua bidaan yang berjaya, dilakukan oleh pelajar dari Akademi Zephyr. Mereka langsung tidak memberi peluang pada orang-orang lain yang hadir di situ.

Sekali lagi penduduk Bandar Chan Lin menyaksikan kuasa membeli pelajar Akademi Zephyr yang menakjubkan!

Di dalam bilik peribadi di tingkat dua, Qiao Chu sedang mengira-ngira jumlah wang yang mereka perolehi hasil jualan Eliksir Peningkat Roh. Matanya terbeliak dan dia asyik tersenyum.

"Jun Xie, berapa lama masa yang kamu perlukan untuk buat eliksir-eliksir tu?" tanya Qiao Chu. Matanya bersinar-sinar penuh minat.

Jun Wu Xie berfikir seketika dan membalas, "Satu hari."

Nafas Qiao Chu tersekat dan dia berkata sambil ketawa, "Haha! Kamu mampu menghasilkan satu eliksir setiap hari? Ha ha! Bukankah itu bermakna kamu akan ada seratus tiga puluh ribu tahil untuk dibelanjakan setiap hari?"

Jun Wu Xie membalas dengan tenang, "Satu tungku dapat menghasilkan dua puluh biji pil pada satu-satu masa."

"….." Mulut Qiao Chu ternganga.

Malah Fei Yan yang berdiri di sisinya juga merasakan nafasnya tersekat.

Tidak lama kemudian, Rumah Lelong Chan Lin menghantar barang kedua yang akan dilelong, naik ke atas pentas. Barang itu ialah sejenis eliksir juga.

Kesan dan fungsi eliksir ini lebih bagus berbanding Eliksir Peningkat Roh.

Setelah mendapat galakan daripada hasil yang mereka capai dengan Eliksir Peningkat Roh tadi, jurulelong itu lebih yakin untuk membesar-besarkan cerita sedikit.

"Eliksir ini dipanggil Eliksir Penyingkir Menyeluruh dan mampu menyembuhkan beratus-ratus jenis racun dan toksin…." Belum pun sempat jurulelong itu menghabiskan ayatnya, dia tiba-tiba ditenggelami kekecohan yang tercetus dalam kalangan para pengunjung.

[Menyembuhkan kebanyakan racun!]

[Itu jauh lebih berguna daripada Eliksir Peningkat Roh!]

Amat sukar untuk menangkis serangan pengguna racun. Ada roh berkontrak juga yang secara semula jadinya memiliki racun. Kalau mereka diserang dengan roh sebegini, mereka akan mengalami kelemahan yang serius di dalam pertempuran. Tambahan pula, kebanyakan Binatang Roh juga mampu melancarkan serangan racun, terutamanya Binatang Roh gred tinggi. Kekuatan racun itu pula semakin tinggi, seiring dengan ketinggian gred Binatang Roh tersebut.

Kalau Eliksir Peningkat Roh yang memberikan penambahan kuasa sementara pada kuasa rohani mereka itu dianggap sebagai senjata, Eliksir Penyingkir Menyeluruh ini pastinya layak dianggap azimat yang akan membolehkan mereka kekal hidup!

Pada ketika itu, bukan hanya pelajar Akademi Zephyr sahaja yang teruja, tetapi semua wakil kuasa besar yang datang ke Bandar Chan Lin untuk merekrut pelajar Akademi Zephyr juga tidak dapat menahan diri mereka lagi!

Eliksir dengan kesan yang sangat hebat. Tak kira siapa pun pemiliknya, eliksir ini amat jarang dapat ditemui!

Bidaan permulaan Eliksir Penyingkir Menyeluruh ini lebih tinggi berbanding Eliksir Peningkat Roh. Setiap biji eliksir akan bermula dengan harga seratus ribu tahil.

Kali ini, bukan hanya pelajar Akademi Zephyr sahaja yang mengambil bahagian dalam bidaan. Sesiapa sahaja yang memiliki sokongan kewangan yang kuat daripada pelbagai kuasa besar di belakang mereka juga tidak mahu terlepas peluang memiliki eliksir yang menakjubkan ini.

Harga untuk Eliksir Penyingkir Menyeluruh yang pertama begitu pantas mencecah dua ratus lima puluh ribu tahil!

Harga yang dilaungkan oleh jurulelong yang teruja itu hampir membuatkan Qiao Chu melompat kegembiraan. Dia kemudiannya mendapati harga yang dicapai bagi setiap barangan yang lelong itu berkait rapat dengan kemahiran jurulelong itu untuk membakar semangat penonton. Setiap kali bidaan itu seolah-olah terhenti seketika, jurulelong itu sering membuatkan para penonton lebih teruja. Dia membesar-besarkan cerita tentang kesan eliksir itu yang menakjubkan dan sukar ditemui. Kerumunan pengunjung itu sekali lagi menggila dan harga bidaan akan terus meningkat. 

"Jun Xie, saya rasa harga eliksir yang kita jual di hadapan pagar Akademi Zephyr dulu terlalu murahlah! Kalau kita bawa eliksir itu ke Rumah Lelong Chan Lin, mesti kita boleh dapat sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih banyak!" kata Qiao Chu dengan teruja. Matanya terbeliak, seolah-olah terpengaruh dengan kata-kata jurulelong tersebut.

Walaupun Rumah Lelong Chan Lin tidaklah begitu besar, jurulelong yang mereka ada ini agak bagus dalam menjalankan tugasnya. Kebolehan dia untuk memanipulasi orang ramai memang benar-benar telah membuka mata mereka.

Jun Wu Xie mengangguk sedikit. Dia tidak menjangkakan eliksir ini akan mendapat sambutan yang baik. Namun begitu, selain hakikat yang eliksir Jun Wu Xie ini bergred tinggi, popularitinya juga berkait rapat dengan kepetahan jurulelong yang sedang berdiri di atas pentas itu. Dia berkebolehan dalam mengawal suasana dan membuatkan kerumunan pengunjung itu menjadi teruja sehingga mereka sanggup meningkatkan bidaan dan membelanjakan wang untuk mendapatkan barangan yang mereka inginkan.