Fan Qi bertindak seperti yang dirancang. Dia pada mulanya berbual-bual kosong dengan Fan Jin sebelum bercakap tentang hal Ah Jing. Pada ketika itu, Ah Jing yang sedang bersembunyi di dalam ruang rahsia itu berasa begitu gelisah sehinggakan tapak tangannya basah kerana berpeluh.
Namun sebaik Fan Jin mahu mengatakan sesuatu, pintu masuk ke pejabat itu tiba-tiba terbuka luas.
Dua susuk tubuh berdiri di luar pintu tersebut!
Seorang adalah Ning Rui manakala seorang lagi adalah Gu Ying.
Ah Jing pada mulanya tidak memikirkan ada apa-apa yang tak kena. Tetapi apa yang berlaku seterusnya membuatkan Ah Jing terasa seperti telah dihumban ke dalam neraka!
Gu Ying masuk ke dalam pejabat itu. Tanpa sepatah kata, dia tiba-tiba hilang dari tempat dia berdiri!
Seketika kemudian, Gu Ying sudah muncul di sisi Fan Qi. Pedang yang dipegangnya ditusuk terus ke dada Fan Qi dan menghimpitnya ke bahagian belakang kerusinya!
Sehingga ke saat kematiannya pun Fan Qi tidak ada masa untuk memberikan reaksi atau menyedari apa yang sedang berlaku. Dia hanya mampu tertunduk. Dalam keadaan nazak itu dia terlihat tangan Gu Ying yang menggenggam hulu pedang. Darah yang mengalir dari luka dan mulutnya. Matanya terbeliak dengan tidak percaya, memandang Ning Rui yang telah membawa Gu Ying masuk ke pejabat itu.
Sebaik Fan Qi dibunuh, Fan Jin mengamuk lalu menerkam Gu Ying untuk menyerangnya dengan ganas.
Apa yang mengejutkan, Fan Jin, pelajar di kedudukan agak tinggi dari segi kekuatan, telah ditundukkan oleh Gu Ying dengan hanya satu serangan. Gu Ying tidak membunuh Fan Jin, sebaliknya memukul kepala Fan Jin menggunakan kedua-dua belah tangannya. Ah Jing menjadi kaku di dalam ruang rahsia tersebut. Hatinya perit menyaksikan susuk tubuh Fan Jin yang tinggi lampai itu rebah ke lantai.
Kemudian dia terdengar suara Ning Rui.
Ning Rui berkata, "Akhirnya… hahaha… Kamu akhirnya mati… hahaha… Fan Qi! Kamu akhirnya mati! Hahahahaha…"
Pada ketika itu, Ah Jing merasakan dia telah dipanah petir. Dia tidak pernah menyangka Ning Rui yang biasanya bersikap lemah-lembut itu selama ini menginginkan kematian Fan Qi. Ah Jing amat bersedih di dalam ruang rahsia itu. Dia menekupkan tangan ke mulutnya sebelum tangisannya sempat terlepas keluar.
Dia melihat dengan jelas Gu Ying menarik keluar pedang yang tertusuk ke dada Fan Qi itu lalu meletakkan hulunya ke tangan Fan Jin yang masih tidak sedarkan diri.
Selepas itu dia dan Ning Rui meninggalkan pejabat itu dan mengunci pintu.
Ah Jing begitu sedih. Keperitan yang mencengkamnya membuatkan dia merasakan kepalanya hampir meletup.
Tak lama kemudian, Fan Jin yang tadinya pengsan tiba-tiba duduk tegak. Ah Jing berasa gembira dan mahu melompat keluar dari ruang rahsia itu. Namun sebaik menyedari kelakuan Fan Jin yang aneh, Ah Jing sekali lagi menjadi kaku.
Fan Jin kelihatan seperti rohnya sudah ditarik keluar. Dia merenung kosong dan tangannya masih memegang pedang yang telah membunuh Fan Qi. Darah menitis dari hujung mata pedang itu tetapi Fan Jin seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia hanya berdiri kaku.
Ah Jing mahu melangkah keluar untuk memeriksa keadaan Fan Jin. Tetapi pada ketika itu, pintu pejabat itu dibuka.
Orang yang membuka pintu itu adalah Gongcheng Lei, orang suruhan yang bertanggungjawab menghantar makanan ke hutan buluh kecil untuk Fan Zhuo. Dia terdiam memandang Fan Jin yang berdiri di dalam pejabat itu tanpa bergerak dan hanya merenung kosong. Gongcheng Lei memanggil Fan Jin tetapi tidak mendapat sebarang tindak balas.
Seketika kemudian, Gongcheng Lei tiba-tiba melepaskan jeritan yang hiba.
"Guru Besar! Apa yang berlaku ni!?"
Raungan yang kuat itu menarik perhatian semua orang ke tempat kejadian. Fan Qi telah mati dan Fan Jin berdiri di dalam bilik itu dengan renungan kosong. Dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Tangannya memegang pedang yang berlumuran darah dan dia tidak bergerak walau seinci. Semua orang tergamam dengan apa yang mereka lihat. Ning Rui yang paling lambat sekali tiba di tempat kejadian. Kemudian dia menguruskan pengebumian Fan Qi sambil berpura-pura sedih. Dia kelihatan berduka dan menyesal sewaktu menyuruh para pengawal memenjarakan Fan Jin yang langsung tidak memberikan reaksi itu.
Tetapi Ah Jing telah menyaksikan segala-galanya. Sebelum Gongcheng Lei meraung dengan kuat, bibirnya menguntum senyuman buat seketika.
Semuanya dilihat dengan jelas oleh Ah Jing!
Fan Qi dibunuh dan kemudiannya Fan Jin telah dituduh melakukannya. Gongcheng Lei turut bersubahat dalam jenayah ini!