webnovel

Kematian Fan Qi (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

Fan Jin dibawa pergi dan pejabat yang berlumuran darah itu dibersihkan. Keamanan dan ketenangan kembali menyelubungi pejabat yang kosong itu. Ah Jing bersembunyi di dalam ruang rahsia itu selama tiga hari disebabkan terlalu takut mahu keluar. Pada lewat malam hari ketiga barulah dia keluar dari persembunyian dan melarikan diri.

Selepas menjejak ke luar, dia mendapati Akademi Zephyr telah berubah sepenuhnya!

Ning Rui telah mengambil alih kedudukan sebagai pemangku Guru Besar manakala Fan Jin pula dipenjarakan dan mungkin akan dihukum bunuh pada bila-bila masa. Gu Ying yang telah membunuh Fan Qi pula membuatkan perasaan gerun tersebar di seluruh Akademi Zephyr.

Ah Jing mahu melarikan diri. Dia juga tak tahu kepada siapa dia boleh pergi untuk meminta tolong.

Dia terfikir untuk bersembunyi dan menunggu peluang untuk pergi mencari Fan Zhuo. Ah Jing mahu memberitahu Fan Zhuo kebenaran di sebalik hal ini.

Tetapi tidak lama kemudian Ah Jing telah ditangkap oleh Gu Ying.

Gu Ying tidak tahu di mana Ah Jing berada pada hari Fan Qi dibunuh. Namun Gu Ying sedang mencari Jun Xie dan mendengar tentang kesalahan Ah Jing daripada Ning Rui sebelum ini. Tanpa ada sebab selain mahu melepaskan kebosanannya, Gu Ying telah memotong lidah Ah Jing dan mematahkan jari-jarinya.

Sebab mengapa Ah Jing dapat terus hidup selama ini ialah… Ah Jing telah menjadi gila.

Membunuh orang yang hilang akal tidak akan memberikan Gu Ying kepuasan yang dicarinya dan dia merasakan keadaan itu amat membosankan. Tambahan pula, Wen Xin Han tiba-tiba telah kembali dan ini menghalang Gu Ying daripada melakukan pembunuhan sesuka hatinya. Jadi dia tidak mengambil nyawa Ah Jing. Sebaliknya Gu Ying menggunakan Ah Jing untuk melepaskan kemarahannya. Bila-bila masa sahaja dia diselubungi perasaan ingin membunuh, dia akan membelasah Ah Jing.

Ah Jing baru sahaja keluar daripada persembunyian beberapa hari yang lalu. Selepas melarikan diri, dia menyorokkan diri di dalam hutan buluh kecil itu dan tidak berani merayau-rayau. Dia bersembunyi di situ bukan kerana dia takut mati, tetapi dia berharap untuk dapat kekal hidup untuk bertemu dengan Tuan Muda Fan Zhuo dan memberitahunya tentang hal sebenar di sebalik kematian Fan Qi.

Ah Jing tidak menyangka penantiannya itu membuatkan dia bertemu dengan Jun Xie dan bukannya Fan Zhuo!

Sebaik terlihat Jun Xie, Ah Jing mahu memberitahu segala-galanya. Tetapi sebaik memikirkan kuasa Gu Ying yang terlampau kuat sehinggakan Guru Besar dan Fan Jin bukan tandingannya, Ah Jing merasakan Jun Xue juga tidak akan selamat jika dia berdepan dengan Gu Ying.

Jadi dia memilih untuk menyembunyikan kebenaran.

Sehinggalah sebentar tadi ketika Ye Sha tiba-tiba muncul. Ah Jing terlihat adanya sinar harapan.

Lelaki itu begitu kuat dan dia mungkin boleh menentang Gu Ying!

Ketika itulah Ah Jing mengumpul kekuatan untuk mendedahkan segala-galanya pada Jun Xie!

Jun Wu Xie membaca semua yang Ah Jing telah tulis dan wajahnya berkerut memandang Ah Jing yang masih menyembah sujud itu.

Dia merayu agar Jun Wu Xie menyelamatkan Fan Jin.

Ah Jing juga bercakap tentang perasaan bersalah dan malunya. Selain itu dia mengatakan… kalau Jun Wu Xie menyelamatkan Fan Jin, dia akan membalas budi itu dengan membunuh dirinya sendiri.

Jun Wu Xie menggosok-gosok pelipisnya. Apa yang Ah Jing beritahu padanya telah melenyapkan keraguannya sebelum ini.

Kenapa Fan Jin tidak menentang ketika dia ditahan? Wen Xin Han berada di akademi itu, mengapa Fan Jin tidak beritahu segala-galanya?

Dengan adanya Wen Xin Han, selagi Fan Jin dapat membuktikan dia tidak bersalah dalam hal ini, Wen Xin Han pasti akan memastikan keselamatannya. Dia juga akan menyingkirkan Gu Ying dan Ning Rui.

Hakikatnya…

Bukannya Fan Jin tidak mendedahkan kebenaran, tetapi sebenarnya dia tidak boleh dan tidak mampu melakukannya!

Berdasarkan gambaran yang Ah Jing berikan tentang kejadian itu, Jun Wu Xie dapat meneka dua pukulan yang Gu Ying kenakan ke kepala Fan Jin pasti telah terkena kuat pada saraf di kepalanya dan mengakibatkan kecederaan teruk.

Ah Jing berpura-pura gila untuk melindungi dirinya, tapi Fan Jin...

Pasti sudah hilang akal dan menjadi si bodoh.

Pemuda yang dahulunya bijak dan berani, kini sudah hilang. Fan Jin yang kini dipenjarakan di dalam biliknya itu ibarat jasad kosong yang tidak berakal!

"Bangun," kata Jun Wu Xie kepada Ah Jing setelah dia menarik nafas panjang.

Namun, Ah Jing terus memukul-mukul kepalanya di atas lantai untuk merayu. Dahinya sudah pun luka dan darah mengalir deras. Setompok kecil darah terbentuk di atas lantai.

Dia memang layak mati. Dia terlalu naif. Sepatutnya dia sudah mati sejak awal lagi!

Kalaupun Jun Wu Xie meminta nyawanya, memang itulah nasib selayaknya untuk Ah Jing.

Tapi Tuan Muda Sulung perlu diselamatkan!

Siapa yang boleh selamatkan Tuan Muda Sulung!?

Tolong selamatkan dia!