"Saya tidak akan panggil anjing yang akan menggigit," kata Jun Wu Xie dengan bersahaja sambil membelai bulu kucing hitam kecil itu.
Mahu menikam dia dari belakang? Pertama sekali dia perlu berikan peluang untuk perkara itu berlaku.
Dahulu, dia cuma percayakan seorang sahaja untuk tidak mengkhianatinya. Di dunia ini, dia tidak akan berikan sesiapa kepercayaan sebegitu kecuali Jun Xian dan Jun Qing.
Melihatkan Jun Wu Xie memahami maksud di sebalik kata-katanya, Jun Qing ketawa.
Kadangkala dia merasakan anak saudaranya ini terlalu cepat membesar. Persepsi dan mentalitinya seolah-olah mengalami perubahan besar dalam masa semalaman. Mujurlah perubahan itu ke arah yang lebih baik.
Semakin banyak kereta kuda masuk dan menghantar Menteri-Menteri Negara. Tetamu lain mula masuk untuk menyertai sambutan hari lahir Putera Mahkota. Sambil menanti untuk dibawa ke tempat jamuan, semua tetamu masuk daripada pintu tepi dan dibawa ke ruang menunggu yang besar.
Akhirnya tibalah giliran Keluarga Jun apabila kereta kuda itu sampai ke pintu tepi. Long Qi menyediakan kerusi roda, membantu Jun Qing dan mengambil selimut nipis untuk menutup kaki Jun Qing.
Kehadiran tiga generasi Keluarga Jun mengakibatkan kekecohan. Kebanyakan orang memberi perhatian kepada tetamu-tetamu yang baru tiba itu.
Jun Xian kelihatan seperti harimau yang sedang tidur. Walaupun mukanya semakin berkedut, tiada siapa berani memandang rendah padanya. Di sisinya ada seorang gadis muda yang cantik menawan. Gadis ini ibarat kuntum bunga yang belum mekar. Beberapa tahun lagi dia pasti menjadi seorang rupawan yang mampu menjatuhkan negara. Dia nampaknya menjadi semakin cantik setiap kali mereka melihatnya.
Daripada segi penampilan, tidak ramai yang mampu menyaingi bunga berharga dari Istana Lin ini. Walau bagaimanapun semua orang tahu di sebalik kecantikan luaran ini ialah seorang gadis yang panas baran yang dengan mudahnya mampu membakar mereka. Dia juga menimbulkan masalah ke mana saja dia pergi. Kemasyhuran Jun Wu Xie membuatkan tiada siapa berani menganggapnya seperti arnab kecil yang baik kelakuannya.
Namun kini mereka cuma mengambil berat tentang lelaki tampan yang sedang duduk di kerusi roda itu.
Walaupun dia hanya duduk diam dengan wajahnya yang kelihatan pucat, sesiapa pun boleh lihat yang dia sedang mengalami kesukaran walaupun hanya untuk bernafas. Pernafasannya yang berbunyi-bunyi serta tidak sekata itu menyentuh hati mereka.
Memang sudah diketahui yang keadaan kesihatan Jun Qing agak teruk sejak kebelakangan ini. Semua orang membuat spekulasi yang dia pasti akan mati dalam masa beberapa hari selepas Jun Xian meluru ke istana meminta bantuan Tabib-Tabib Diraja. Melihatkan keadaan Jun Qing hari ini, orang yang tidak ada kemahiran perubatan sekalipun akan menyedari dia benar-benar sudah nazak. Kalaupun Jun Xian menggunakan segala herba-herba yang berharga, tiada apa yang dapat menyelamatkan anaknya.
Bagi membuktikan tanggapan itu, mereka memandang Jun Xian dan terlihat wajahnya yang sedih. Ini mengesahkan lagi spekulasi mereka.
Ada menteri yang menghampirinya dan memberikan kata-kata semangat, menunjukkan penampilan yang mulia sebelum menghilang di celah-celah orang ramai tidak lama kemudian.
Lakonan mereka berterusan dengan anak dan ayah itu berpura-pura sebagai mangsa dan kelihatan lemah. Sebaliknya Jun Wu Xie langsung tidak dipedulikan.
Berbanding dengan kematian Jun Qing yang semakin hampir, ditolak oleh Mo Xuan Fei bukan hal yang besar.
Lagipun kejatuhan Istana Lin semakin hampir, apa saja yang boleh dilakukan oleh gadis kejam ini? Dia nampaknya sudah semakin lembut berbanding dulu. Sekurang-kurangnya dia sedar diri. Bisik-bisik ini disembunyikan oleh senyuman manis dan muzik yang bertenaga. Apa sekalipun yang berlaku, semua orang sudah tidak memandang serius terhadap Istana Lin.
Mereka sudah lama memegang kuasa, menunjukkan kekuatan mereka di hadapan semua orang. Tapi itu semua sudah berlalu, kini Istana Lin hanya menantikan saat kejatuhan.
Selepas melalui ruang menyambut tetamu, mereka dibawa ke tempat duduk masing-masing di dalam dewan jamuan. Tidak lama kemudian, majlis bermula dan seluruh istana dipenuhi muzik, gelak ketawa dan cahaya tanglung.