Ramai yang terkejut dengan skala jamuan ini. Jamuan ini diadakan di Istana Putera Mahkota dan jelas sekali yang Maharaja amat mengutamakan sambutan hari lahir Putera Mahkota. Dewan utama dihias indah dan makanan-makanan yang dihidangkan juga sangat mewah. Broked sutera dengan sulaman yang halus dapat dilihat di sekeliling dewan. Gelas-gelas wain yang diukir cantik dan diperbuat daripada bahan berharga juga ada di situ. Makanan yang dihidangkan dimasak menggunakan bahan-bahan yang lazat serta jarang ditemui, dipersembahkan dengan rekaan artistik yang cantik untuk para tetamu.

Berapa banyak emas dibelanjakan hanya untuk jamun ini sahaja?

Jun Wu Xie sedang menolak kerusi roda Jun Qing, berjalan mengikuti Jun Xian dengan senyap sewaktu mereka masuk ke dalam dewan jamuan. Satu memori terlintas di fikiran Wu Xie. Dirinya yang dahulu pernah sekali menghadiri jamuan hari lahir Putera Mahkota. Ketika itulah dia bertemu dengan Mo Xuan Fei dan jatuh cinta padanya.

"Tidak mudah juga menjadi Putera Mahkota." Jun Wu Xie menyatakan pendapatnya sambil memandang persekitaran yang serba indah itu.

Ekspresi wajah Jun Xian dan Jun Qing menjadi kaku.

Baru sahaja Jun Qing mahu mengatakan sesuatu, Jun Xian tiba-tiba mencelah dan berkata, "Wu Xie, kenapa kamu fikir begitu?"

Jun Wu Xie menjawab, "Kalau Tuanku benar-benar sayangkan Putera Mahkota, Baginda akan membina imej pemerintah yang baik hati serta tidak membelanjakan duit rakyat seperti ini. Berdasarkan apa yang saya lihat, nampaknya bukan begitu niat Baginda."

"Kediaman Putera Mahkota ini sungguh mewah dan pembaziran melampau dipamerkan hanya untuk jamuan, bukankah ini hanya untuk tontonan ramai?" Dia menjelaskan segalanya dengan bersahaja. Padanya, pemandangan di hadapannya ini hanyalah seperti belenggu dan kurungan yang tidak dapat dilihat.

Mata Jun Xian terbeliak kerana terkejut. Dia tidak terfikir Wu Xie yang masih muda ini dapat melihat rahsia di sebalik semua ini.

Jun Xian memandang hamba-hamba yang lalu lalang di hadapan mereka sambil berbisik perlahan, "Tuanku Putera Mahkota dilahirkan oleh Maharani. Keluarga Maharani amat berkuasa sehingga membolehkan Baginda ditabalkan sebagai Maharani. Dalam masa hanya beberapa tahun selepas kemangkatan Maharani, keluarga Baginda juga ditimpa bencana dan kuasa mereka merosot teruk."

Jun Wu Xie akhirnya faham. Satu-satunya sebab Putera Mahkota dapat memegang gelaran itu disebabkan oleh keluarga Maharani dan bukannya kerana Maharaja memihak kepadanya. Nampaknya, dengan kemerosotan sokongan bagi Putera Mahkota, Maharaja mula mengatur langkah.

Boleh dikatakan kesusahan yang dialami Putera Mahkota kini sama seperti yang dialami oleh Istana Lin.

Tanpa sokongan yang kuat, Maharaja yang dahulunya tidak berdaya untuk menghadapi mereka kini mempunyai rancangan sendiri.

Namun rancangan jahat Maharaja nampaknya tersimpan rapi. Walaupun semasa berdepan dengan Putera Mahkota, Maharaja menunjukkan seolah-olah Baginda amat menyayangi anakandanya ini.

"Jadi sebenarnya Baginda Maharaja menyokong siapa?" tanya Jun Wu Xie dengan perlahan.

"Putera Kedua." Jun Xian menjawab dengan dingin.

Jun Wu Xie tiba-tiba dapat menyedari apa yang sedang berlaku dengan sangat jelas. Patutlah Mo Xuan Fei bersungguh-sungguh memikat Bai Yun Xian, identiti wanita itu sahaja dapat menaikkan namanya untuk diangkat menjadi Putera Mahkota. Jika mereka bertunang, ini peluang yang baik untuk menjadikan anak kesayangan Maharaja sebagai Putera Mahkota,

"Ada mata tapi tak sedar apa yang berlaku. Jahil betul." Jun Wu Xie mencemuh.

Walaupun dia tidak mengenali Putera Mahkota dengan rapat, pada pandangannya, keperibadian Mo Xuan Fei itu benar-benar busuk.

Seketul arang juga lebih baik berbanding Mo Xuan Fei.

Jun Xian ketawa. Walaupun puterinya ini tidak banyak bercakap, kata-katanya pedas juga.

Selepas semua menteri tiba dan berada di tempat duduk masing-masing, Maharaja berpaling ke kanan dan membisikkan sesuatu pada pemuda tampan yang duduk di situ.

avataravatar
Next chapter