Inilah kali pertama Mu Qian Fan bertemu seorang anak muda yang begitu pemurah dengan duitnya. Malah selepas Qiao Chu menariknya keluar dari rumah tumpangan mereka pun Mu Qian Fan masih lagi merenung kosong.
Ketika Fan Zhuo dan Rong Ruo kembali, Qiao Chu sudah pun keluar bersama-sama Mu Qian Fan. Bongkah batu hitam yang besar itu hanya menghasilkan seketul kecil Perak Hitam, bersaiz sebesar tapak tangan.
"Qiao Dungu tu dah keluar beli barang-barang yang kita akan perlukan di Cenuram Penghujung Syurga. Bila pula kamu boleh mulakan tugas kamu?" tanya Fei Yan sambil memandang ketulan kecil Perak Hitam itu. Harga Perak Hitam itu juga sangat tinggi di Alam Pertengahan. Walaupun tidaklah dianggap sebagai tidak ternilai dan sangat berharga, Perak Hitam masih dianggap sebagai sesuatu yang jarang ditemui.
Mereka masih terlalu muda sewaktu berada di Alam Pertengahan dulu. Mereka ada mendengar tentang Perak Hitam daripada orang-orang tua mereka ketika itu, tapi tak pernah melihatnya sendiri.
"Fan Zhuo, betulkah kamu boleh menggunakan Perak Hitam ini untuk menempa cincin roh?" tanya Hua Yao sambil memegang ketulan kecil Perak Hitam itu.
Fan Zhuo berkata sambil tersenyum, "Cara menempa cincin roh di Alam Pertengahan berbza dengan cara yang dilakukan di Alam Bawahan. Orang biasa tak akan dapat menarik keluar kuasa sebenar di dalam cincin roh. Di Alam Pertengahan pula, ada satu pekerjaan unik yang dinamakan Penempa Cincin. Hanya Penempa Cincin sejati memiliki kemahiran untuk menempa cincin roh yang asli. Ibu saya merupakan salah seorang Penempa Cincin. Sepanjang kami berada di Alam Bawahan ketika ketiadaan ayah saya, ibu saya mengajar saya sedikit sebanyak jika dia ada masa terluang."
"Penempa Cincin?" Jun Wu Xie mengangkat matanya dan memandang Fan Zhuo. Inilah kali pertama dia mendengar istilah ini.
Sebaik mendengarnya, Fei Yan menjadi agak teruja.
"Saya pernah mendengar tentang Penempa Cincin. Khabarnya jumlah mereka sangat sedikit dan setiap satu daripada Dua Belas Istana itu mengupah Penempa Cincin mereka sendiri. Semakin berkuasa seseorang Penempa Cincin itu, semakin kuatlah cincin yang ditempanya! Tapi saya belum pernah lagi bertemu dengan Penempa Cincin sebelum ini. Tak sangka Fan Zhuo ini adalah dari keturunan Penempa Cincin!"
Fan Zhuo tersenyum malu-malu lalu berkata, "Manfaat yang dapat diberikan oleh Penempa Cincin sebenarnya lebih daripada itu. Kamu akan tahu apa maksud saya selepas saya siap menempa cincin-cincin roh kamu semua."
Kebolehan meningkatkan kuasa rohani dan kekuatan bertempur sahaja tidak melayakkan seseorang itu menjadi Penempa Cincin.
"Fan Zhuo, kenapa kamu tak tempa cincin roh kamu sendiri?" tanya Fei Yan. Dia menyedari cincin roh yang ada pada jari Fan Zhuo itu sama sahaja dengan cincin mereka. Kelihatan biasa dan tidak diubah suai.
Fan Zhuo mengangkat tangannya dan memandang sayu pada cincin roh di jarinya. Kemudian dia berkata sambil tersenyum, "Sebelum ini, saya tak tahu pun berapa lama lagi saya boleh hidup. Jadi saya langsung tak terfikir untuk menempa cincin roh saya sendiri." Setelah berkata begitu, matanya memandang Jun Wu Xie.
Dia sudah pun berputus harap ketika itu. Tetapi dia telah ditarik keluar dari jurang kekecewaan. Jika seseorang itu memiliki harapan dalam hidupnya, dia akhirnya akan menjadi bersemangat untuk terus maju dalam kehidupan.
Fei Yan ternganga, merasakan yang dia telah menyentuh satu topik yang agak negatif. Dia berdehem sedikit dan menepuk-nepuk bahu Fan Zhuo untuk menenangkannya. Dia berkata, "Kamu ada kami untuk sama-sama menempuh hari-hari yang akan datang. Kita akan bersama-sama berjalan menuju masa depan."
Fan Zhuo mengangguk sambil tersenyum lebar.
"Sebenarnya, selain isu kelansungan hidup, saya juga tak ada bahan yang sesuai untuk menempa cincin roh. Menggunakan logam biasa untuk menempa cincin hanya akan memberikan cincin roh itu kesan yang tidak remeh. Walaupun cincin roh boleh ditempa berulang-kali, tanpa bahan yang bagus, kebolehan Penempa Cincin hanya sia-sia. Tapi sekarang kita tak perlu risau kerana kita ada Perak Hitam yang mencukupi. Sayangnya kita tak ada Emas Hitam. Kalau ada Emas Hitam, kesannya akan meningkat berlipat ganda."
"Emas Hitam…" Hua Yao kaku seketika.
"Apa tu?" tanya Jun Wu Xie.
Hua Yao mengecilkan matanya lalu berkata, "Emas Hitam ialah logam yang jarang ditemui dan sangat berharga. Malah di dalam Dua Belas Istana di Alam Pertengahan juga hanya ada beberapa orang saja yang dapat menempa cincin roh mereka daripada Emas Hitam. Saya pernah dengar yang kalau cincin roh ditempa dengan Emas Hitam, kesannya melangkaui pertambahan kuasa dan kekuatan. Selain meningkatkan kuasa rohani dan kekuatan tempur roh berkontrak, mereka juga boleh… mengubah rupa bentuk roh berkontrak."