webnovel

Bab 28 : Tangan Penyembuh (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Lelaki itu merebahkan dirinya ke katil sambil mengetap giginya.

Tidak lama kemudian, tungku diletakkan ke dalam bilik itu dan hamba-hamba menutup semua tingkap dan pintu. Peningkatan suhu yang mendadak memaksa Jun Xian dan lelaki itu mengedarkan tenaga rohani mereka sehingga mereka diselubungi satu lapisan nipis untuk berlindung daripada kepanasan yang melampau.

Peluh Jun Qing yang bercampur dengan cecair hitam menitis keluar sehingga badannya lencun. Keadaannya seperti baru saja dikeluarkan dari kolam air. Manik-manik peluh yang menitik ke lantai tersejat dengan cepat dan bilik itu kemudiannya dipenuhi wap.

Satu bunyi berkeriut dapat didengari sebaik saja Jun Wu Xie memasuki bilik itu, membawa semangkuk campuran ubat yang dibuatnya sendiri, bersama dengan kucing hitam kecil itu yang setia di sisinya.

Tanpa mempedulikan sesiapa, dia terus berjalan menuju ke arah Jun Qing.

Tiba-tiba dia merasakan cengkaman yang kuat pada pergelangan tangannya. Lelaki itu telah meluru ke depan dalam cubaannya untuk menghentikan Jun Wu Xie.

"Dia Pak Cik kamu!" Lelaki itu memberi renungan penuh ancaman. Walaupun dia tidak memberitahu Jun Xian yang punca kejadian ini adalah Jun Wu Xie memberi Jun Qing makan biji benih teratai, di dalam hatinya, dia tetap menyalahkan gadis ini. Walaupun dia tidak mahu percaya yang Jun Wu Xie berniat menyakiti Jun Qing, itulah yang telah berlaku.

"Lepaskan." Jun Wu Xie berkata dengan dingin sambil mengerutkan wajahnya. Dia cepat-cepat menarik tangannya dari cengkaman lelaki itu. Jun Wu Xie berasa amat jengkel kerana telah diganggu dan disoal berkali-kali ketika dia sedang merawat seorang pesakit.

Lelaki itu berdiri dengan diam di satu sudut, wajahnya muram sambil dia melihat Jun Wu Xie perlahan-lahan memberi Jun Qing minum semangkuk cecair berwarna hitam.

Selepas habis minum ubat di dalam mangkuk itu, tiada gerak balas dari Jun Qing yang terbaring kaku di atas katil.

Detik demi detik, suhu bilik itu yang melampau menjadi satu seksaan ke atas Jun Wu Xie. Memandangkan dia belum lagi memulakan pertapaan, dia tidak dapat menggunakan tenaga rohaninya untuk menghasilkan lapisan perlindungan bagi melindungi dirinya dari suhu yang tinggi itu. Dia berpeluh dengan banyak dan bajunya yang nipis menjadi basah. Tetapi walau apa pun yang berlaku, Jun Wu Xie hanya duduk diam dan memerhatikan dengan teliti sebarang perubahan pada denyutan nadi Jun Qing.

Kucing hitam itu melompat naik ke atas katil, merenung Jun Qing dan kemudian mendongak memandang Tuannya.

"Meow."

[Keadaan fizikalnya nampak stabil.]

Jun Wu Xie mengangguk sedikit.

Sejam kemudian, manik-manik peluh yang jernih mula terbentuk, berbeza dengan peluh berwarna keruh yang dikeluarkan sebelum ini.

Jun Wu Xie cepat-cepat memanggil hamba-hamba untuk mengeluarkan semua tungku dari bilik itu dan membuka pintu dan tingkap.

"Sediakan air panas dan bantu Tuan Kedua menyegarkan dirinya," perintah Jun Wu Xie.

Semua orang yang berada di luar bilik itu memandangnya dengan ekspresi bingung. Apa lagi yang mahu dibuat oleh Cik Muda? Keadaan Tuan Kedua sudah cukup teruk sehinggakan hampir semua tabib di dalam kerajaan ini mengatakan dia akan mati. Sekarang ini Cik Muda mahu berpura-pura menjadi tabib pula?

Hamba-hamba itu teragak-agak sambil memandang ke arah Jun Xian dan apabila dia mengangguk, mereka bergegas lari masuk dan mengemas bilik itu.

"Kamu pergi ke farmasi saya dan ambil periuk ubat yang saya tinggalkan di atas meja. Campurkan ke dalam air suam dan biarkan Tuan Kedua berendam di dalamnya selama tiga jam," Jun Wu Xie memberi arahan kepada hamba yang berdiri paling dekat dengannya.

Sepanjang proses ini, Jun Xian hanya berdiri dengan diam di sebelah Jun Wu Xie dan tidak sekali pun masuk campur dalam urusannya. Dia memandang Jun Wu Xie dengan matanya yang letih dan perasaan lega menyelubungi dirinya.

Walaupun jika semua yang dilakukannya ini tidak berguna, sekurang-kurangnya Jun Wu Xie sudah berubah menjadi lebih baik.

Selepas Jun Wu Xie selesai menguruskan apa yang perlu, dia menyedari keadaan bajunya yang dipenuhi kotoran akibat bahan hitam yang dikeluarkan dari badan Jun Qing dan bau busuknya amat menjelekkan.

Jun Wu Xie cepat-cepat kembali ke biliknya untuk mandi. Dia benar-benar benci bau busuk sebegini!