29 Tangan Penyembuh (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Qing sedang berendam di dalam mandian ubatan yang Jun Wu Xie sediakan khas untuknya. Walaupun dia tidak sedarkan diri, jelas kelihatan yang keadaannya sudah bertambah baik kerana pernafasannya tidak lagi lemah. Walaupun wajahnya masih pucat, tidaklah kelihatan teruk seperti sebelum ini. Lelaki itu menyedari semua ini, tetapi dia tetap merengus dengan angkuh kerana masih berasa tidak puas hati terhadap Jun Wu Xie.

Jun Xian berada di sisi anak lelakinya selama ini dan apabila dia nampak Jun Qing semakin sihat, dia mengeluh lega.

"Walau apa pun, Wu Xie itu anak Ayahnya. Dia mungkin agak naif sebelum ini, kini dia sudah matang. Kamu tidak boleh prejudis terhadapnya, dia mungkin...dia mungkin perlukan perlindungan daripada kamu untuk kekal selamat di masa hadapan," Jun Xian menjelaskan dengan sabar. Dia sedar lelaki itu tidak berapa sukakan Jun Wu Xie. Seboleh mungkin dia mahu cuba meredakan permusuhan ini.

Lelaki itu tetap diam dan meninggalkan bilik itu sebaik sahaja melihat keadaan Jun Qing sudah bertambah baik.

Selepas selesai mandi dan menyalin pakaian bersih, Jun Wu Xie duduk di dalam farmasi. Sebelah tangannya memegang secawan teh sementara sebelah lagi mencatat segala jenis nama herba dengan penuh semangat.

Keadaan Jun Qing sudah stabil tetapi untuk mengembalikan keadaannya ke tahap yang terbaik, usaha yang keras diperlukan, sebab itulah Jun Wu Xie sibuk menulis segala ubat-ubatan yang diperlukan.

Sebagai pelengkap kepada ubat-ubatan itu, Jun Wu Xie juga mencatatkan senarai makanan untuk dipadankan dengan ubat-ubatan tersebut supaya Jun Qing mendapat khasiatnya dan proses penyembuhannya dapat dipercepatkan.

Satu ketukan di pintu mengganggu proses pemikirannya.

"Masuk."

Pintu itu terbuka dan lelaki tinggi lampai yang telah mengganggunya selama ini berdiri di situ. Jun Wu XIe mengerutkan keningnya.

"Kalau ada apa-apa, cakaplah sekarang, kalau tak, kamu boleh berambus," Bercakap dengan orang selain daripada ahli keluarganya, Jun Wu Xie tidak menghiraukan kata-kata yang digunakannya. Dia tidak ambil peduli dan mengatakan apa saja yang terlintas di fikirannya.

Sebaik dia selesai bercakap, lelaki yang berdiri di hadapannya terus melutut, menghasilkan bunyi yang kuat.

"Mejar Jeneral Tentera Rui Lin, Long Qi, telah menyinggung perasaan Cik Muda, sila beri hukuman sewajarnya ke atas saya!" kata lelaki itu dengan serius sambil berlutut dan menundukkan sedikit kepalanya.

Mejar Jeneral Tentera Rui Lin...Jun Wu Xie mengerling ke arah Long Qi. Dia perasan yang lelaki ini sentiasa berada di sisi Pak Ciknya dan menjaganya. Walaupun dia sering merasakan yang lelaki ini tidak kelihatan seperti hamba atau pengawal peribadi, Jun Wu Xie tidak pernah menyangka lelaki inilah Mejar Jeneral Tentera Rui Lin!

Tetapi…

"Okey?" Jun Wu Xie mengerutkan wajahnya.

Long Qi terus berlutut di atas lantai tanpa sepatah kata. Dia tidak menafikan yang dia sering prejudis terhadap Jun Wu Xie. Dia juga mengesyaki Jun Wu Xie meracuni Jun Qing! Apabila dia melihat ketelitian Jun Wu Xie merawat Jun Qing dan kesan yang dapat dilihat hasil daripada rawatannya, Long Qi tahu dia yang bersalah.

Protokol Tentera Rui Lin sememangnya amat tegas, jadi sudah menjadi kebiasaan bagi dia untuk menghukum dirinya sendiri. Ini peraturan yang telah ditekankan kepada setiap anggota sejak dari hari pertama lagi. Kalau seseorang itu melakukan kesalahan, dia perlu dihukum!

"Memandangkan hal ini tidak penting, kamu boleh pergi." Jun Wu Xie tidak berminat langsung dengan pangkat atau permintaan Long Qi. Lelaki ini mengganggunya berulang kali tetapi ini kerana dia risaukan Jun Qing, jadi sewaktu Long Qi bersikap biadap, Jun Wu Xie tidak peduli dan tidak ambil hati.

Long Qi mengekalkan posisinya buat beberapa ketika, kemudian dia bangun dan meninggalkan bilik itu. Cuma kali ini dia kelihatan amat menghormati Jun Wu Xie dan telah tunduk hormat sedikit sebelum menutup pintu..

"Wow, apa perkara hebat yang kamu lakukan semasa saya tiada? Menarik nampaknya…" satu suara misteri yang nakal terdengar di ambang pintu.

avataravatar
Next chapter