webnovel

Akademi Zephyr (2)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Menyatukan kuasa rohani dengan roh berkontrak itu sendiri sudah dianggap hebat dan merupakan sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelum ini. Itulah sebab mengapa Akademi Zephyr merupakan satu-satunya tempat untuk belajar menjadi pemulih roh.

Walaupun hanya seorang saja di dalam sesebuah keluarga itu yang dapat menjadi pemulih roh, seluruh keluarga itu akan hidup dalam kemewahan.

Dalam kalangan anak-anak muda yang datang ke Akademi Zephyr dengan penuh harapan, sekurang-kurangnya lapan atau sembilan daripada sepuluh menyasarkan untuk menjadi pemulih roh.

Pada ketika ini, segerombolan anak-anak muda sedang berkerumun di pintu masuk Akademi Zephyr.

Mereka sedang meninjau-ninjau, berhimpit-himpit di dalam kumpulan-kumpulan kecil dan berbisik-bisik sesama sendiri. Semuanya sedang tersenyum, teruja dalam penantian.

Satu susuk tubuh kecil menyusup dengan cepat di dalam kerumunan besar itu. Susuk tubuh itu menyelit-nyelit di celah-celah orang ramai dan akhirnya berhenti di bawah sebuah pokok yang keadaannya tidak begitu sesak. Ada empat orang sedang menanti dengan sabar di bawah pokok tersebut.

Qiao Chu memegang sehelai kertas di tangannya. Wajahnya muram sewaktu dia berjalan menuju rakan-rakannya. "Ini tempat belajar ke tempat telan duit? Mereka ni menyembelih orang tanpa rasa bersalah!"

"Ada apa ni?" tanya Fei Yan. Dia memandang Qiao Chu dengan keliru.

Qiao Chu menolak kertas itu kepada mereka. Fei Yan dan rakan-rakannya yang lain memandang kertas tersebut.

Wajah mereka semuanya serentak kelihatan marah.

"Yuran untuk tiga tahun… Tiga ratus ribu…. Tak termasuk penginapan dan makanan!? Ini…..ini namanya rompakan!!" Fei Yan merenung kertas itu. Matanya terbeliak tanda tidak percaya.

Bagi kumpulan ini, yang hidup dengan membahagikan satu tahil sesama mereka untuk dibelanjakan, jumlah tiga ratus ribu itu sesuatu yang mustahil untuk mereka fahami…..

Mereka tidak akan dapat menyediakan jumlah sebanyak itu walaupun dengan menjual diri sendiri.

Pada ketika itu, mata mereka semuanya tertumpu pada orang yang bertubuh paling kecil dalam kalangan mereka. Jun Wu Xie satu-satunya di antara mereka yang berduit!

"Xie Kecil….. duit….." Qiao Chu hampir mengalirkan air mata. Untuk mereka berlima, jumlah yang diperlukan akan mencecah satu setengah juta tahil. Itu pun hanya untuk mendaftar masuk ke dalam akademi, belum lagi yuran untuk makanan dan penginapan. Melihatkan jumlah wang yang diminta oleh pihak akademi itu, mereka perlu menyediakan dua juta tahil. Kalau tak, lupakan sajalah.

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya setelah dipandang dengan penuh harapan. Dia membalas dengan suara yang tenang, "Tak cukup."

"....."

Rakan-rakannya yang berempat itu seolah-olah dipanah petir. Jumlah wang yang sukar digambarkan. Orang Kaya dalam kalangan mereka juga tak ada wang yang mencukupi.

Sewaktu Jun Wu Xie keluar dari Kerajaan Qi, dia mempunyai kira-kira satu juta tahil. Dia membelanjakan kebanyakan wang tersebut di Akademi Phoenix dan kini hanya mempunyai lapan ratus ribu lagi. Ini kurang daripada separuh wang yang diperlukan untuk pendaftaran masuk mereka berlima.

"Kejamnya! Jumlah yuran tak masuk akal tapi tempat ini masih lagi sesak. Mereka semua ni korek duit dari laut ke?" Qiao Chu merenung orang yang begitu ramai di situ. Hatinya dirasakan berdarah sewaktu dia mengira jumlah duit yang terlibat dengan adanya lebih seribu pemohon. Daripada jumlah pemohon tersebut, kurang daripada sepuluh peratus akan dipilih untuk masuk ke kampus utama. Sembilan puluh peratus yang lain cuma akan membazir duit saja.

Tiga ratus ribu tahil. Cukup untuk membolehkan sebuah keluarga kaya hidup mewah tanpa bimbang. Memperjudikan jumlah wang sebanyak itu ke atas potensi seorang anak muda hampir membuatkan hati Qiao Chu hancur berderai seperti gelas kaca.

"Jika yuran mereka tidak ditetapkan setinggi itu, saya rasa kalau kampus Akademi Zephyr ini bersaiz sepuluh kali ganda lebih besar sekalipun, mereka tak akan ada ruang yang cukup untuk menguruskan gelombang pelajar yang akan datang ke sini." Hua Yao cuba berhujah secara logik dengan suara yang lembut.

Satu-satunya tempat yang menyediakan pembelajaran untuk mereka yang mahu menjadi pemulih roh. Hal ini saja cukup untuk membuatkan orang ramai berkerumun untuk bersaing bagi mendapatkan tempat di akademi ini.

"Tapi….. Kita masih tak ada duit sebanyak tu….." Qiao Chu terus kelihatan kecewa.

Mata Jun Wu Xie mengecil dan dia tiba-tiba bertanya, "Ada rumah lelongan tak dekat-dekat sini?"

Qiao Chu terkejut dengan soalan Jun Wu Xie.

"Xie Kecil, kenapa pula kamu nak pergi ke rumah lelongan? Kita tak ada apa-apa barangan berharga untuk dijual." Barangan paling berharga yang ada pada mereka ialah pakaian dari Pavilion Penenun Bulan yang sedang mereka pakai. Kalau mereka jual pakaian ini sekalipun, langsung tidak menambah pada jumlah yang mereka perlukan.

"Beritahu sajalah." Jun Wu Xie mendesak.