webnovel

Akademi Zephyr (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Akademi Zephyr terletak di bahagian utara Negara Da Du. Kawasannya rata dan keluasan tanahnya besar.

Khabarnya, seseorang yang berdiri di pintu masuk Akademi Zephyr tidak akan dapat melihat penghujungnya.

Sebagai salah satu daripada tiga akademi teratas, sebaik Akademi Zephyr membuka pintunya untuk kemasukan pelajar pada bulan September, orang ramai dari seluruh dunia berkerumun di akademi tersebut. Lautan manusia ini kelihatan amat menakjubkan.

Kereta kuda datang bersilih-ganti, membawa anak-anak muda lelaki dan perempuan yang sudah cukup usia, ditemani keluarga masing-masing. Mereka datang dari pelbagai tempat, menempuh perjalanan beribu batu untuk ke Akademi Zephyr. Setiap tahun, di antara pertengahan bulan Ogos sehingga awal September, bukan sahaja ibu pejabat Akademi Zephyr, malah rumah-rumah tumpangan serta restoran-restoran di bandar berhampiran akan dipenuhi orang. Tidak putus-putus pengunjung yang datang ke situ.

Jumlah akademi di dunia ini begitu banyak, seolah-olah sama banyaknya dengan jumlah bintang di langit. Namun hanya tiga akademi berada di kedudukan teratas. Di antara tiga akademi ini pula, Akademi Zephyr berada di kedudukan pertama.

Institusi terbaik seperti ini selalunya menetapkan kriteria yang ketat untuk kemasukan para pelajar dan hanya menerima anak-anak muda dalam lingkungan usia empat belas hingga enam belas tahun. Sebarang pemohon yang tidak menepati kategori ini akan ditolak tanpa sebarang pengecualian.

Akademi Zephyr dibahagikan kepada kampus utama dan kampus cawangan. Kampus utama hanya menerima para pelajar yang mempunyai roh berkontrak tahap elit serta mereka yang menunjukkan perkembangan luar biasa dari segi kuasa rohani. Sesiapa jua yang mempunyai bakat sederhana hanya boleh bermimpi sahaja untuk dapat masuk ke kampus utama.

Kriteria kampus cawangan pula kurang ketat. Sesiapa sahaja yang mampu membayar yurannya akan mendapat peluang untuk belajar di kampus cawangan. Kalau ada pelajar di dalam kampus cawangan yang menunjukkan bakat yang hebat dan prestasi cemerlang, mereka akan dihantar terus ke kampus utama. Mereka yang mempunyai prestasi sederhana pula akan terus berada di kampus cawangan dan menghabiskan pembelajaran dalam masa setahun yang diberikan. Kalau mereka tak dapat masuk ke kampus utama sebelum masa setahun itu tamat, pada musim bunga di semester seterusnya mereka akan disingkirkan dari akademi.

Sewaktu para pemuda ini mendaftar masuk ke akademi tersebut, mereka perlu membayar dahulu yuran untuk tiga tahun. Jika mereka dibuang dari akademi disebabkan tidak mempunyai bakat, wang yang sudah mereka bayar itu tidak akan dipulangkan.

Ringkasnya, dalam kalangan semua pelajar tahun pertama yang masuk ke akademi tersebut, hanya beberapa puluh yang akan diterima masuk ke kampus utama. Selebihnya, biasanya lebih daripada seribu orang, akan dimasukkan ke dalam kampus cawangan.

Hanya pada usia empat belas tahun barulah roh berkontrak seseorang itu bangkit dan Akademi Zephyr mengehadkan umur para pelajarnya pada usia enam belas tahun. Ini bermaksud bagi sesiapa yang cuba menggunakan jarak masa dua tahun itu untuk berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kuasa rohani supaya boleh mendapatkan tempat di kampus utama, tempoh masa yang singkat itu tidak cukup untuk membuat perubahan ketara pada penilaian bakat mereka.

Para pemuda yang diterima masuk ke kampus utama semuanya berjaya berbuat demikian disebabkan oleh roh berkontrak mereka yang luar biasa.

Akademi Zephyr mampu mendapatkan kedudukan di antara tiga akademi terbaik ialah disebabkan oleh portfolio tenaga pengajar mereka yang hebat dan yang lebih penting lagi, pembangunan bidang mereka yang unik iaitu Pemulih Roh!

Akademi Zephyr dibahagikan kepada tiga fakulti yang mendalami tiga bidang berbeza, Ada fakulti roh berkontrak binatang, fakulti roh berkontrak senjata dan akhir sekali fakulti pemulih roh.

Fakulti roh berkontrak binatang hanya menerima para pelajar yang mempunyai roh berkontrak jenis binatang. Fakulti roh berkontrak senjata pula hanya menerima para pelajar yang mempunyai roh berkontrak jenis senjata. Fakulti pemulih roh pula tidak memilih jenis roh berkontrak milik para pelajar mereka, mahupun kekuatan roh berkontrak tersebut. Fakulti ini memilih pelajar yang berminat dengan pembangunan dalam bidang pemulihan roh.

Roh berkontrak serta roh tuan mereka digabungkan menjadi satu. Walaupun roh berkontrak tidak mengeluarkan darah, pertempuran yang berpanjangan atau kerosakan tanpa sengaja boleh menyebabkan kecederaan atau trauma terhadap roh berkontrak. Keadaan ini mungkin tidak akan menyebabkan roh berkontrak tersebut mati, namun mungkin akan mengakibatkan pengurangan kuasa secara drastik dalam pertempuran. Sebab inilah wujudnya golongan pemulih roh di akademi ini.

Pemulih roh kini menjadi pekerjaan yang semakin diingini. Akademi Zephyr ialah satu-satunya akademi yang tahu cara memupuk pemulih roh.

Umum mengetahui yang pemulih roh kini lebih dicari-cari berbanding mereka yang menghasilkan eliksir!

Ramai yang tahu cara membuat eliksir, tetapi tak ramai yang mempunyai pengetahuan dalam pemulihan roh berkontrak. Tidak dapat disangkal lagi, orang ramai menganggap roh berkontrak sebagai sesuatu yang penting serta tidak boleh diganti.

Untuk menjadi seorang pemulih roh tak semestinya memerlukan kuasa rohani yang kuat, sebaliknya memerlukan kuasa rohani seseorang itu membentuk penggabungan yang baik dengan roh berkontrak. Ringkasnya, pemulih roh perlu menggunakan kuasa rohani mereka sendiri untuk memulihkan roh yang sudah tercedera kembali ke kekuatan kuasa yang asal.