webnovel

Gadis Beracun (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Yin Yan, kamu tak apa-apa? Angin terlalu sejuk ke?" tanya Ning Xin sambil tersenyum. Dia memandang Yin Yan yang sudah pucat lesi. Wajah Ning Xin masih dihiasi senyuman yang manis dan lembut seperti biasa.

Yin Yan kembali tenang lalu cepat-cepat berkata, "Ya, agak sejuk juga."

Mungkin ini hanya imaginasinya. Senior Ning ialah seorang gadis yang sempurna. Mana mungkin dia berfikiran kejam sebegitu?

Ning Xin hanya tersenyum dan tidak berkata apa-apa lagi.

Di kawasan berdekatan, para pelajar di dalam kumpulan mereka masih lagi membersihkan medan pertempuran. Seorang pemuda berlari mendapatkan pelajar tinggi lampai yang masih memijak kepala Binatang Roh yang besar itu. Pemuda itu menjerit, "Senior Lu! Senior Lu!"

Lu Wei Jie berpaling. Wajahnya yang tampan itu kelihatan sedikit angkuh. Dia terjun dari Binatang Roh tersebut dengan pergerakan yang elegan. Kemudian dia mencampakkan batu-batu roh berlumuran darah yang telah digalinya tadi kepada seorang lagi pelajar yang berdiri berhampiran.

"Ada apa?" Lu Wei bertanya sambil mengelap kesan darah pada tangannya.

Pemuda itu tergesa-gesa menjawab.

Pemuda tersebut mempunyai roh berkontrak bentuk senjata yang berkebolehan untuk berubah bentuk menjadi sepasang kasut pertempuran. Kasut ini membolehkan dia meningkatkan kepantasan serta kebolehan melompatnya. Sebab itulah dia ditugaskan untuk menentukan lokasi Binatang Roh. Sewaktu sedang mencari sasaran mereka seterusnya di dalam kawasan hutan yang lebih dalam, dia kebetulan telah menyaksikan satu pertempuran yang hebat. Dia melihat dengan mata kepalanya sendiri sekumpulan orang membunuh Binatang Roh gred tinggi dan kekuatan serta kemahiran orang-orang ini benar-benar menjadi halwa matanya.

"Memburu Binatang Roh gred tinggi?" Ning Xin perlahan-lahan berjalan mendekati mereka setelah mendengar berita yang menarik ini.

Lu Wei Jie berpaling memandang Ning Xin. Sewaktu matanya terlihat bentuk tubuh Ning Xin yang menggiurkan, keangkuhan di mata Lu Ji Wei mula hilang, digantikan dengan perasaan sayang.

"Ya, mereka benar-benar mampu membunuh Roh Binatang gred tinggi," Pemuda yang membawa berita itu mengangguk dengan perasaan teruja.

Wajah Lu Wei Jie berkerut sedikit. Bukan mudah untuk mengalahkan Binatang Roh gred tinggi. Sebagai orang yang memegang kedudukan kedua di dalam Kejohanan Pertempuran Roh Akademi Zephyr, kuasa dan kemahirannya dianggap hanya lebih lemah berbanding orang yang memegang kedudukan pertama. Malah di dalam kumpulan yang diketuainya ini, yang dianggap kumpulan penyerang paling kuat berbanding kumpulan lain dari Akademi Zpehyr, mereka masih belum yakin akan berjaya mengalahkan Binatang Roh gred tinggi.

Binatang Roh di gred lebih tinggi bukan sahaja lebih kuat berbanding binatang roh gred pertengahan, malah turut memiliki kecerdasan. Binatang-binatang roh ini bertempur menggunakan logik, selain berkeupayaan untuk melepaskan diri.

Demi menumpaskan Binatang Roh gred pertengahan, seseorang itu hanya memerlukan kekuatan, kuasa serta kerjasama pasukan. Namun apa yang diperlukan untuk mengalahkan Binatang Roh gred tinggi adalah berbeza dan amat sukar.

Sehingga kini, belum ada satu pasukan sekalipun di dalam sejarah Perburuan Roh Akdemi Zephyr yang berjaya mengalahkan Binatang Roh gred tinggi.

"Orang jenis apa mereka tu?" tanya Lu Wei Jie.

"Saya ada menghampiri mereka untuk bertanyakan soalan ini selepas mereka mengalahkan Binatang Roh tersebut. Nampaknya mereka tak tahu apa-apa tentang Akademi Zephyr dan pelajar-pelajarnya. Mereka berusia dalam lingkungan dua puliuhan. Mereka kata mereka sedang menjalani satu ekspedisi, tetapi mereka tak begitu biasa dengan bentuk muka bumi di dalam Hutan Roh Pertempuran, jadi mereka telah tersesat. Malah mereka ada bertanya pada saya sama ada saya tahu tentang kawasan di situ." Pemuda itu berkongsi segala yang telah dikatakan oleh orang-orang tersebut.

Kening Lu Wei Jie yang tadinya berkerut akhirnya tenang semula selepas mendengarkan kata-kata pemuda ini.

Selagi orang-orang ini bukan dari Akdemi Zephyr, dia tidak bimbang.

Kalau ada kumpulan dari Akademi Zpehyr yang mampu menewaskan Binatang Roh gred tinggi, maka kumpulan itu boleh dianggap sebagai ancaman kepadanya.

Lu Wei Jie menyasarkan untuk mendapatkan tempat pertama di dalam Perburuan Roh kali ini.

"Oh?" kata Ning Xin ketika pemuda itu selesai bercakap. Terlintas satu idea di fikirannya.