webnovel

Gadis Beracun (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Ketika Fan Jin sedang berbincang dengan Jun Wu Xie, pelajar yang telah mengumpan Fan Jin dan kumpulannya masuk ke dalam perangkap itu tadi, sudah pun pantas melarikan diri ke tempat lain.

Di satu lagi bahagian di dalam hutan yang tebal itu, satu kumpulan pelajar-pelajar Akademi Zephyr baru sahaja berjaya memburu satu Bintang Roh gred pertengahan. Bangkai binatang bersaiz besar itu tergelimpang di atas tanah. Seorang pemuda berdiri berdekatan sambil kakinya memijak kepala binatang tersebut. Dia sedang mengorek tengkorak binatang itu yang sudah retak untuk mencari batu roh.

Seorang gadis yang cantik berdiri di pinggiran kumpulan tersebut. Dia memandang situasi menggerunkan di hadapan matanya ini dengan muka yang berkerut, sambil menutup hidung dengan lengan bajunya.

"Senior Ning mahu air?" Yin Yan berdiri di sisinya. Dia menawarkan bekas air di tangannya kepada Ning Xin sambil memandang gadis itu dengan mata yang dipenuhi perasaan sayang dan memuja.

Ning Xin menjeling sekilas pada Yin Yan lalu menggelengkan kepalanya. Kemudian dia berpaling ke arah lain.

Tiba-tiba dia terlihat seseorang menghampiri mereka. Ning Xin memberikan isyarat kepada Yin Yan dengan satu pandangan dan Yin Tan terus memahaminya. Yin Yan senyap-senyap berpusing dan pergi dari situ untuk bertemu pemuda yang sedang menuju mereka.

Ning Xin diam-diam mengubah sudut kedudukannya bagi memudahkan dia melihat interaksi Yin Yan bersama pemuda tersebut. Dia memerhati dalam diam, wajahnya tenang. Namun sekilas perasaan gelisah di matanya mendedahkan apa sebenarnya yang sedang dirasainya di dalam hati.

Tak lama kemudian, Yin Yan berlari kembali ke tempat Ning Xin.

"Macam mana?" NIng Xin bergelut untuk kekal tenang, cuba kelihatan bersahaja sewaktu bertanyakan soalan ini.

"Fan Jin berjaya diumpan, jadi tak sepatutnya ada masalah. Kita tak ada nampak sebarang suar amaran dilepaskan. Saya rasa mereka sudah diuruskan," kata Yin Yan sambil menundukkan kepalanya. Dia bersungguh-sungguh cuba menyembunyikan senyumannya yang semakin lebar.

Sasaran mereka hanyalah Fan Jin dan mereka tidak ada memberikan sebarang arahan khusus untuk ahli kumpulan Fan Jin. Namun begitu, mereka ada memberikan banyangan yang jika ada tentangan dari yang lain, ahli-ahli kumpulan itu harus dibunuh. Mayat mereka perlu kelihatan seperti telah dibunuh oleh Binatang Roh gred tinggi. Jika ada ahli kumpulan Fan Jin yang terselamat, pasti kini mereka sudah pun melepaskan suar amaran untuk meminta bantuan.

"Orang-orang itu mestilah tak mahu identiti mereka diketahui. Jadi tentulah mereka tak akan melepaskan Jun Xie dan yang lain," kata Ning Xin sambil tersenyum. Dia hanya memberikan arahan supaya Fan Jin dibunuh. Tetapi orang-orang itu pastilah tidak begitu bodoh untuk meninggalkan sebarang saksi yang masih hidup selepas itu.

Kalau mereka melepaskan sesiapa sekalipun dari kumpulan Fan Jin, orang tersebut akan dapat menuduh mereka terlibat dalam jenayah itu. Demi melindungi diri sendiri, lebih baik semua saksi dihapuskan.

"Betul cakap Senior Ning. Punca masalah perlu dihapuskan, kalau tak, ia akan tumbuh semula dan mewujudkan masalah sekali lagi. Hanya dengan menutup mulut semua saksi selama-lamanya barulah hal ini terus kekal menjadi rahsia. Barulah tak ada siapa yang akan mengetahui cara dan sebab kematian Fan Jin. Semua yang terlibat dalam pembunuhan itu tak akan berani memberitahu sesiapa," kata Yin Yan sambil ketawa. Walaupun dia tidak dapat melihat mayat Fan Jin, mendengar berita kematian Fan Jin sudah cukup untuk memuaskan hatinya.

Ning Xin melambaikan tangannya dengan bersahaja. "Orang yang sudah tidak ada gunanya lagi perlulah dihapuskan sebaiknya. Dalam dunia ini, orang yang sudah mati saja yang boleh menyimpan rahsia."

Yin Yan tiba-tiba berasa gerun. Dia merenung Ning Xin.

"Maksud Senior Ning….."

Mata Ning Xin beralih ke satu arah tertentu, tidak jauh dari situ, Dia merenung tempat di mana pelajar yang membawakan berita tadi sedang bersembunyi dan merawat lukanya. Ning Xin berkata sambil tersenyum menggoda, "Setiap kali Perburuan Roh berlangsung, ada saja kematian dalam kalangan pelajar-pelajar Akedmi Zephyr. Malah ada yang hilang tanpa sebab. Rasanya jumlah kematian kali ini mungkin meningkat. Bertambah satu lagi kematian agaknya." Sewaktu mengucapkan kata-kata tersebut, mata Ning Xin membara dengan kegembiraan sambil dia memandang Yin Yan. Ketika itulah Yin Yan berasa seram sejuk lalu menggigil.