webnovel

Cenuram Penghujung Syurga (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Boleh juga buat begitu….Tapi kita tak tahu lokasi sebenar Cenuram Penghujung Syurga…" kata Qiao Chu sambil menggaru-garu kepalanya.

Hua Yao tiba-tiba ketawa dan dia berpaling untuk memandang Jun Wu Xie, Matanya menunjukkan yang dia sudah faham.

"Sebab ini kamu mahu selamatkan Mu Qian Fan?"

Jun Wu Xie mengangguk.

Qiao Chu masih bingung. Mujurlah Hua Yao sanggup menjelaskan kepadanya, "Hakikat mengapa Jun Xie sanggup menyelamatkan nyawa Mu Qian Fan ialah kerana dia sahaja yang tahu di mana lokasi Cenuram Penghujung Syurga. Tambahan pula, dia sudah pun turun ke dasar cenuram itu. Dia lebih tahu keadaan di sana berbanding orang lain. Kalau kita bawa dia bersama, tak susah untuk kita pergi ke Cenuram Penghujung Syurga. Seperti yang Jun Xie katakan tadi, kita tak perlu terburu-buru mencari makam Maharaja Kegelapan. Kita hanya nak turun tengok keadaan, Menentukan kemungkinan ini adalah lokasi makam itu pun sudah cukup bagus."

Qiao Chu mula faham dan dia memandang Jun Wu Xie dengan amat kagum.

"Jun Xie, kamu ni bijak betul. Kamu dah fikir sejauh itu?" Dia menyangkakan Jun Wu Xie simpati dengan keadaan Mu Qian Fan lalu dia bermurah hati untuk merawatnya. Dia tidak menyangka gadis ini sudah merancang sebegitu jauh.

Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya, tetapi tidak menjawab.

"Sebenarnya…. Ada satu lagi perkara yang saya mahu cakapkan dengan kamu." Ekspresi Hua Yao tiba-tiba kelihatan teragak-agak.

Senyuman di wajah Qiao Chu turut lenyap. "Abang Hua mahu bercakap tentang Fan Zhuo, bukan?"

Hua Yao mengangguk.

"Macam mana Fan Zhuo boleh tahu tentang Batu Jed Hitam dan Perak Hitam? Ini benar-benar membingungkan saya. Bukannya saya mahu curiga dengan dia, tetapi hakikat yang dia tahu tentang hal-hal itu agak pelik juga." Hua Yao dan yang lain sudah lama berada di Alam Bawahan dan mereka sedar apa yang orang-orang di alam ini tahu dan tidak tahu.

Pengetahuan Fan Zhuo itu semestinya melangkaui batasan pengetahuan seseorang yang berada di Alam Bawahan.

Walaupun belum lama mereka berkenalan, Hua Yao dan yang lain merasakan Fan Zhuo ini agak baik juga orangnya. Hanya hal ini sahaja yang mereka tidak faham.

"Hmm….. dia anak Guru Besar Akademi Zephyr. Mungkin wakil Akademi Zephyr yang berhubungan dengan Istana Dua Belas itu ialah Guru Besar itu sendiri? Jadi mungkin Fan Zhuo ada mendengar sesuatu tentang Alam Pertengahan daripada orang-orang itu?" Qiao Chu berat hati untuk bersangka buruk terhadap Fan Zhuo kerana dia merasakan Fan Zhuo itu bersikap baik. Malah dia bersusah payah mahu membantu mereka menempa cincin roh. Qiao Chu tidak mahu mengesyaki Fan Zhuo.

"Mungkin juga." Hua Yao mengangguk. Kalau begitu halnya, logik juga kalau Fan Zhuo tahu tentang Batu Jed Hitam dan Perak Hitam. Keraguan mereka juga terjawab.

Sebelum ini, wakil Kumpulan Qing Yun yang berhubungan dengan Istana Syaitan Api adalah Ke Cang Ju dan bukankah sebab itu Ke Cang Ju dapat memiliki Asap Tunggal?

"Kalau betul ayah Fan Zhuolah orangnya, kita perlu beringat untuk bersopan sedikit apabila kita minta peta itu nanti." Sewaktu berkata begitu, mata Qiao Chu tertumpu pada Jun Wu Xie.

Dia masih ingat dengan jelas kekejaman apa yang Jun Wu Xie mampu lakukan pada Kumpulan Qing Yun.

Namun Jun Wu Xie nampaknya langsung tidak terkesan. Wajahnya tetap tenang.

"Tetapi sebelum kita betul-betul pasti, kita tak sepatutnya menyebutkan hal ini pada Fan Zhuo," kata Qiao Chu. Fan Zhuo merupakan kawan yang baik setakat ini. Jika dia sedar yang sebab sebenar mereka berada di Akademi Zephyr adalah untuk mencuri peta milik ayahnya, pasti dia akan kecewa.

Hua Yao mengangguk tanda setuju, begitu juga Fei Yan.

Jelas sekali mereka menganggap Fan Zhuo itu pemuda yang lemah, naif dan lurus.

Namun begitu…..

Jun Wu Xie dalam diam menggigit bibirnya.

Naifnya mereka…..