webnovel

Adakah Mereka akan Mati di Sini?

Editor: EndlessFantasy Translation

Kanak-kanak yang turut berada dalam kapal terbang kecil lain mula panik apabila mendengar tangisan Li Jianyue, lalu turut menangis. Tangisan mereka membuatkan pengunjung-pengunjung di bawah semakin kecoh.

"Ersu, jangan takut. Jangan bergerak. Jangan menangis." Su Qianci berbisik untuk menenangkan anaknya. "Kita akan turun ke bawah sekejap lagi, jangan takut."

Tangisan Li Jianyue semakin kuat dan dia memeluk ibunya. Disebabkan dia bergerak, kapal terbang kecil yang hampir jatuh itu bergegar sedikit.

Su Qianci bertambah takut dan menggeletar. Dia mengetap bibir dan cuba menenangkan anaknya. "Jangan bergerak, Ersu. Mari kita main satu permainan."

Li Jianyue berhenti menangis lalu memandang ibunya dengan mata yang basah. Su Qianci memaksa dirinya untuk tersenyum dan suaranya kedengaran menggeletar. Dia berbisik, "Lampu hijau, lampu merah. Tak boleh bercakap atau bergerak pada lampu merah."

Li Jianyue patuh dan mula senyap. Dia menutup matanya dan tidak bergerak. Li Mosen pernah mengajar cara itu kepadanya. Kerlipan mata juga dikira sebagai pergerakan. Semasa bermain, jika kamu menutup mata, kamu tidak akan kalah.

Su Qianci juga tidak berani bergerak. Matanya ditutup dan air matanya mula mengalir jatuh ke pipi. Apa yang perlu dilakukannya… Adakah mereka akan mati di sini hari ini?

Tiba-tiba kedengaran jeritan dari pengunjung di bawah dan diikuti dengan keriuhan.

Semua orang melihat satu susuk tubuh yang memakai baju kelabu gelap telah mengasakkan dirinya di celah-celah orang ramai, kemudian tanpa teragak-agak terus memanjat tiang permainan kapal terbang itu. Gerak gerinya amat lincah dan dia berpaut pada tiang-tiang yang menyambungkan kapal terbang kecil itu. Bunyi tubuh manusia memanjat batang besi itu semakin kuat kedengaran. Su Qianci membuka mata dan menjeling ke bawah tanpa menggerakkan kepalanya. Namun bunyi pergerakan itu datang dari belakang mereka. Dia tidak berani untuk berpaling ataupun bergerak. 

Su Qianci hanya terus memeluk anaknya dan tiba-tiba mendengar jeritan dari bawah. "Bahaya! Kamu tak boleh naik!"

"Dia dah gilakah? Dia benar-benar nak panjat ke atas?"

"Siapa dia? Pekerja taman tema ini kah? Beraninya!"

Suasana di situ semakin kecoh. Ketika itu, Lu Yihan sedang bermain dengan kedua-dua budak lelaki itu. Shuang Yu yang sedang memerhatikan mereka berpaling apabila mendengar keriuhan itu.

Namun orang yang terlalu ramai dan permainan-permainan yang besar di situ menghalang pandangannya. Shuang Yu tidak dapat melihat apa-apa.

"Apa yang sedang berlaku?" Li Jianqian cuba mengintai sebelum menoleh ke arah Li Mosen. "Apa kata kita pergi tengok?"

Li Mosen mengangguk dan memandang Lu Yihan. Lu Yihan juga berasa ingin tahu dan menolak mereka berdua perlahan dari belakang. "Jom kita tengok."

Mereka berjalan ke arah keriuhan itu. Dari jauh, Lu Yihan sudah dapat melihat kapal terbang kecil yang hampir jatuh itu dan terus berasa gerun. "Bahayanya!"

Tetapi sebaik sahaja mereka semakin dekat dan dia dapat melihat orang yang berada di dalamnya, riak wajah Lu Yihan terus berubah. "Qianqian?"

Shuang Yu turut mendongak sebelum menyedari Su Qianci dan Li Jianyue berada di dalam kapal terbang kecil yang hampir jatuh itu. Riak wajahnya turut berubah dan dia terus berlari di celah-celah orang ramai sebelum cuba memanjat tiang permainan itu.

Walau bagaimanapun, Shuang Yu tiba-tiba menyedari seseorang sudah pun memanjat ke atas. Susuk tubuh itu… Bukankah itu lelaki yang dikejar Su Qianci di pusat konvensyen baru-baru ini? Kenapa lelaki itu muncul di sini? Bukan sahaja Shuang Yu, malah Su Qianci juga berasa tidak percaya sebaik melihat lelaki itu.