webnovel

Jangan Bergerak, Ersu. Turun dengan Papa

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng berpaut pada tiang itu dengan tercungap-cungap dan berkata, "Tanggalkan tali pinggang dia, angkat dia dan serahkan kepada saya."

Su Qianci terpaku sebaik mendengar suara itu. Dia memandang lelaki itu dengan wajah tidak percaya dan cuba melihat mata lelaki itu di sebalik kaca mata yang dipakainya.

Dia?

Memang dia!

Suara yang menghantui dua kehidupannya itu amat dikenalinya. Sejak bertahun-tahun lalu, suara itu sentiasa menemani mimpi-mimpinya.

Betul, ini memang dia!

Buat seketika, Su Qianci lupa bagaimana untuk bernafas. Dia tidak berani bergerak ataupun menyentuh lelaki itu kerana bimbang dia akan hilang secara tiba-tiba.

"Sekarang! Kita masih ada masa!" Li Sicheng berbisik. Ketakutan dapat didengar pada suaranya. "Bergerak perlahan-lahan dan bertenang."

Fikiran Su Qianci menjadi kosong apabila mendengar lagi suara itu. Hanya satu perkara berada dalam fikirannya: Ini dia, ini memang suaminya! Dia datang untuk menyelamatkan mereka!

Walaupun begitu, Su Qianci sedar apa yang berlaku dan segera menanggalkan tali pinggang yang mengikat anaknya.

"Mama kalah!" Suara halus Li Jianyue kedengaran dan dia membuka matanya. Kesan air mata yang telah kering dapat dilihat pada wajahnya yang sedang tersenyum. Gadis kecil itu langsung tidak tahu dia sedang berhadapan dengan bahaya… 

Hati Li Sicheng terasa pedih dan kepedihan itu seakan menjalar naik ke matanya. Ini adalah kali pertama dia berada sedekat ini dengan anak perempuannya, sangat dekat… Selepas empat tahun berlalu, akhirnya dia dapat menatap wajah anaknya itu. Gadis kecil itu sangat cantik seperti ibunya.

Li Sicheng menenangkan dirinya dan menghulurkan tangan untuk mengambil Li Jianyue. Namun sebaik sahaja Su Qianci bergerak, bunyi berkeriut yang menggerunkan itu kedengaran lagi. Orang ramai di bawah menjerit ketakutan. 

Buat pertama kalinya, Su Qianci merasakan dirinya begitu dekat dengan kematian. Situasi yang sedang dihadapinya ini lebih menggerunkan berbanding kematiannya pada kehidupan lalu. Jantungnya seakan tersekat di kerongkong. Namun pergerakannya masih tenang walaupun tubuhnya menggeletar.

Ini juga ialah pertama kali Su Qianci merasakan dirinya mampu bertenang. "Jangan bergerak, Ersu. Pergi turun dengan Papa."

Papa…

Perkataan itu seakan kilat yang menyambar hati Li Sicheng. Ia membawa kesan yang sangat besar kepada dirinya. Hati Li Sicheng bergetar dan dia merasakan sudah tidak mampu bertahan lagi. Tangannya turut menggeletar kegembiraan. Dia berbisik, "Jangan ganggu perasaan saya. Cepat!"

Dia menarik kolar baju Li Jianyue. Gadis kecil itu terkebil-kebil mendengar perkataan 'Papa'. "Papa? Mana?"

Sini, Papa di sini!

Li Sicheng mengetap bibirnya dan mengeluarkan Li Jianyue dari kapal terbang kecil itu. Kemudian dia menjerit ke bawah, "Seseorang tolong datang bantu saya!"

Shuang Yu melompat-lompat dan melambai Li Sicheng dari bawah. Li Sicheng turun dengan berhati-hati sambil memeluk anaknya. Shuang Yu bergegas datang sambil terus mengangkat tangannya di sebalik orang ramai.

Li Sicheng berkata kepada anaknya, "Ikut Mak Cik Shuang Yu. Lepaskan tangan. Satu, dua… lompat!" 

Li Jianyue memberi kerjasama yang baik. Dia melompat ke pelukan Shuang Yu sambil ketawa.

Selepas melihat anaknya telah selamat, Su Qianci menarik nafas lega. Li Sicheng memanjat kembali ke arah isterinya.

Next chapter