webnovel

Penyakit atau Racun (4)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Seorang sudah pengsan, seorang lagi pula tiba-tiba muncul. Tiba-tiba timbul urat-urat hijau pada tangan Jun Wu Xie yang masih memeriksa nadi Fan Zhuo, jelas kelihatan pada kulitnya yang cerah.

"Kalau kamu tak mahu dia mati, ikut cakap saya." Jun Wu Xie tak ada masa untuk menjelaskan apa-apa pada Fan Jin. Dia mengambil keputusan untuk mempertaruhkan sama ada kepercayaan Fan Jin terhadapnya cukup kuat atau tidak.

"Kamu….." Fan Jin merenung Ah Jing yang tidak sedarkan diri itu kemudian mengalihkan pandangannya pada Fan Zhuo yang badannya masih tersentak-sentak. Mata Fan Jin menunjukkan pergolakan dalamannya.

Semua yang berlaku di depan matanya ini memberikan isyarat bahaya yang tidak dapat disangkal di dalam mindanya. Tak kira bagaimana sekalipun situasi ini dilihat, sesiapa juga akan memikirkan yang Jun Xie sedang menyakiti Fan Zhuo.

Tetapi…..

"Beritahu saja dan saya akan lakukannya." Satu suara kecil di dalam diri Fan Jin memberitahunya yang tak salah kalau dia menuruti kata-kata Jun Xie.

"Air panas, wain suam." Jun Wu Xie tak mampu membuat dua kerja dalam satu masa dan pada ketika itu, dia tak boleh mengambil satu langkah sekalipun menjauhi Fan Zhuo.

Fan Jin tidak teragak-agak dan terus melakukan apa yang diarahkan.

Kucing hitam kecil itu duduk diam dan memerhatikan tindakan pantas Fan Jin sambil menggoyang-goyangkan ekornya dengan malas.

[Sekurang-kurangnya dia ni lebih berakal. Cik saya ni tak akan membazirkan begitu banyak usaha untuk menyelamatkan adik kamu kalau semua ini hanya sia-sia]

Selepas beberapa ketika, Fan Jin sudah dapat menyediakan apa yang Jun Wu Xie minta dan membawa masuk semuanya ke dalam bilik itu. Jun Wu Xie langsung tidak mempedulikannya, menumpukan sepenuh tenaga untuk merawat Fan Zhuo.

Fan Jin meletakkan barang-barang tersebut di satu sudut bilik itu. Dia mendapati bilik itu begitu sunyi sehingga dia dapat mendengar degupan jantungnya sendiri. Fan Jin membongkok untuk memeriksa kecederaan Ah Jing dan mendapati Ah Jing cuma luka kerana lehernya tercalar sebelum kemudiannya pengsan. Dia mendapati nyawa Ah Jing tidak berada dalam bahaya lalu mengangkat Ah Jing dan meletakkannya di bilik lain. Selepas itu Fan Jin kembali dan berdiri dengan senyap di satu sudut katil, memerhatikan Jun Xie merawat Fan Zhuo.

Semakin dia memerhatikan situasi ini, semakin Fan Jin terkejut. Dia tidak terlalu memikirkan apa yang Jun Xie mahu lakukan, tetapi apabila dia melihat Jun XIe berulang kali memberi Fan Zhuo makan eliksir serta menyapu krim berubat pada titik akupuntur Fan Zhuo, raut wajah Fan Jin kelihatan terperanjat.

"Jun Xie…..kamu sedang merawat Fan Zhuo?" tanya Fan Jin dengan berhati-hati.

"Diamlah." Jun Wu Xie melemparkan jelingan dingin dan Fan Jin terus membisu.

Bertahun-tahun kemudian, setiap kali teringatkan kejadian yang berlaku pada hari ini, dia tidak pasti mahu ketawa atau menangis. Dia meletakkan nasib adiknya yang sakit tenat itu di tangan seorang anak muda berusia empat belas tahun. Fan Jin masih lagi tertanya-tanya dengan tidak percaya memikirkan keputusan tidak rasional yang dibuatnya pada ketika itu.

Setelah beberapa lama, badan Fan Zhuo berhenti tersentak-sentak. Matanya tertutup rapat dan wajahnya yang pucat itu menunjukkan kesakitan yang teramat. Jun Wu Xie menggunakan air panas yang Fan Zhuo bawa tadi untuk membersihkan darah pada badan Fan Zhuo. Kemudian dia menuangkan wain suam itu ke dalam mulut Fan Zhuo.

Seketika kemudian, badan Fan Zhuo tersentak-sentak lagi!

"Pegang dia." Jun Wu Xie berundur dan memberi arahan pada Fan Jin.

Fan Jin cepat-cepat pergi ke sisi katil itu. Matanya kelihatan terseksa sewaktu memandang adiknya. Fan Jin menghulurkan tangan untuk memegang bahu Fan Zhuo bagi mengelakkan adiknya itu meronta-ronta dengan terlalu kuat.

"Pffftt!"

Satu cecair berwarna hitam pekat tersembur keluar dari mulut Fan Zhuo dan terpercik pada Fan Jin.

Cecair hitam pekat itu baunya amat busuk dan Fan Jin hampir pengsan setelah hidungnya tiba-tiba terhidu bau tersebut. Namun begitu, Fan Jin tetap memegang adiknya dan kelihatan risau sewaktu memandang Fan Zhuo yang berterusan memuntahkan cecair hitam tersebut.

"Baring mengiring," kata Jun Wu Xie.

Fan Jin terus faham dan cepat-cepat mengiringkan badan Fan Zhuo ke tepi katil.

Fan Zhuo masih muntah berterusan tetapi sentakan badannya mula berkurangan. Jumlah cecair kotor yang dia muntahkan juga semakin sedikit. Setelah Fan Zhuo habis memuntahkan semuanya, Jun Wu Xie memberikan isyarat menggunakan tangannya dan berkata, "Biar dia baring betul-betul."

Fan Jin cepat-cepat menurut dan dia mendapati wajah Fan Zhuo kelihatan lebih sihat berbanding sebelumnya. Mukanya tidak lagi kelihatan lebam-lebam.