webnovel

Penyakit atau Racun (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Badan Fan Zhuo terlalu lemah dan tak akan dapat bertahan dengan sebarang rawatan yang terlalu intensif. Namun begitu, penyakit di dalam badannya itu sedang mengganas dan jika ubat-ubatan yang kuat tidak digunakan, tak lama lagi nafas Fan Zhuo akan terhenti. Jun Wu Xie menggunakan teknik Jarum Hati Syaitan yang diciptanya sendiri untuk membantu Fan Zhuo terus bernafas.

Teknik ini Jun Wu Xie cipta sendiri sewaktu dia hidup terasing dari dunia luar selama lebih satu dekad. Penggunaan kaedah rawatan ini amat invasif tetapi kesannya juga amat menakjubkan. Melalui teknik ini, jarum-jarum Jun Wu Xie akan memaksa kuasa kehidupan seseorang membara buat seketika. Walaupun teknik ini mampu menyelamatkan nyawa, ia hanya boleh digunakan sebanyak tiga kali sahaja sepanjang hayat seseorang. Setiap kali digunakan, jangka hayat seseorang itu akan berkurangan sebanyak satu dekad. Kalau digunakan lebih daripada tiga kali, dewa yang turun dari langit sekalipun tidak akan dapat menyelamatkan nyawa orang itu.

Teknik ini berisiko merosakkan tubuh badan dan Jun Wu Xie seboleh mungkin akan mengelak daripada menggunakannya. Tetapi saat dia berdepan dengan keadaan Fan Zhuo, dia tidak dapat memikirkan jalan lain selain menggunakan Jarum Hati Syaitan untuk mendapatkan sedikit masa berharga yang dia perlukan.

Tujuh belas batang jarum itu membantu Fan Zhuo bertahan dan membolehkan Jun Wu Xie mendapat masa berharga yang diperlukannya bagi melaksanakan kaedah rawatan dan penyingkiran racun demi menarik Fan Zhuo dari ambang kematian.

Hempedu ular yang sudah direndam di dalam racun ditolak masuk ke dalam mulut Fan Zhuo. Hempedu itu mengandungi racun yang membawa maut. Kalau tak kerana perlindungan yang diberikan melalui Jarum Hati Syaitan, badan Fan Zhuo akan mengalami sawan dan dia akan mati serta-merta selepas menelan hempedu ular itu. Tetapi di dalam situasi ini, racun dari hempedu ular itu mendatangkan kesan lain pula. Penyakit Fan Zhuo yang sudah lama berakar umbi mula mengganas. Badan Fan Zhuo menggigil-gigil dan titisan darah mula terbentuk melalui pori-pori kulitnya. Dalam sekelip mata, Fan Zhuo berlumuran darah! Badannya mengerekot dan kejang seperti busur panah yang diregangkan, seolah-olah bila-bila masa saja akan patah.

Ah Jing gerun melihatkan apa yang Fan Zhuo sedang lalui dan hatinya menjadi perit. Dia tak lagi peduli tentang halangan binatang hitam itu lalu dia bergelut sambil menjerit, "Jun Xie! Saya sumpah kamu mati beribu-ribu kali! Tuan Muda saya begitu percayakan kamu! Ini balasan kamu padanya! Kalau apa-apa jadi pada Tuan Muda, saya akan kembali menghantui kamu selepas saya mati!"

Mata Ah Jing kelihatan merah dan dia memberikan renungan berbisa pada Jun Wu Xie. Dia seolah-olah mahu menyiat-nyiat Jun Wu Xie pada ketika itu juga.

Taring binatang hitam itu mencalarkan leher Ah Jing sedikit dan darah mula mengalir. Namun begitu, Ah Jing tidak menyedarinya dan masih menjerit-jerit.

"Diamlah," kata Jun Wu Xie dengan dingin. Dia tidak boleh terganggu sekarang ini kerana situasi Fan Zhuo yang agak rumit ini memerlukan perhatian sepenuhnya.

Binatang hitam itu dapat mengesan kebingungan Jun Wu Xie lalu mengangkat kaki depannya dan memukul kepala Ah Jing.

Seketika kemudian, Ah Jing yang sedang menjerit itu terus jatuh pengsan.

Kesunyian sekali lagi menyelubungi bilik itu.

Binatang hitam itu bertukar bentuk menjadi kucing kecil lalu melompat naik ke atas katil, dalam diam memerhatikan Jun Wu Xie yang sedang merawat Fan Zhuo. Wajah Jun Wu Xie penuh konsentrasi.

Penyakit yang paling sukar dirawat dan disingkirkan sepenuhnya ialah jenis penyakit yang sudah melanda seseorang itu sejak lahir lagi. Tak ada banyak cara yang dapat merawat penyakit seperti ini sepenuhnya. Fan Zhuo dilahirkan dengan keadaan badan yang lemah. Badannya bertahan dengan ubat-ubatan serta eliksir untuk jangka masa yang lama dan hasilnya ialah kesan sampingan yang sudah meresap sehingga ke tulang. Sawan yang berlaku secara tiba-tiba itu menunjukkan tanda-tanda Fan Zhuo telah diracun dan kesan sampingan yang telah berkumpul sepanjang tempoh masa dia mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan ini telah meletus serentak. Setelah berkali-kali tubuh seseorang itu mengalami trauma, orang biasa juga mungkin tidak akan dapat bertahan di bawah seksaan sebegitu. Keadaan Fan Zhuo bertambah tenat.

"Jun Xie! Kamu buat apa ni!?" Setelah menyudahkan latihannya, Fan Jin datang ke situ untuk mengecek makanan adiknya. Sebaik dia melangkah masuk ke halaman kecil di dalam hutan buluh itu, dia terhidu sedikit bau darah. Disebabkan dia berasa risau dengan keadaan adiknya, Fan Jin meluru masuk ke dalam bilik itu. Sewaktu pintu bilik dibuka, dia terlihat Ah Jing terbaring tidak bergerak di atas lantai, lehernya luka berdarah. Adik kesayangan Fan Jin pula terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah. Badan Fan Zhuo mengerekot dan tersentak-sentak. Jun Xie pula hanya berdiri di sisi Fan Zhuo sambil merenung dingin.

Pada ketika itu Fan Jin dalam keadaan amat terkejut!