webnovel

Membayar Harganya (2)

Traductor: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kucing hitam kecil itu… mampu… menelan roh berkontrak!

Macam mana ini boleh berlaku!?

Sesuatu yang mengejutkan dan tidak pernah mereka dengar sedang berlaku di depan mata mereka! Dalam mimpi ngeri sekalipun mereka tidak pernah terbayang bahawa sesuatu yang menggerunkan seperti ini boleh berlaku!

Mereka memerhatikan rakan mereka menggeliang-geliut dalam kesakitan dan menyaksikan roh berkontraknya dibaham perlahan-lahan. Kaki mereka berasa longlai dan mereka mula menggigil dengan tidak terkawal.

Kemunculan Binatang Roh Gred Penjaga itu sudah pun membuatkan mereka putus harapan. Tindakan tanpa belas pemuda itu serta kebolehan aneh kucing hitam kecilnya itu pula hampir menjadikan mereka gila. Mereka bersungguh-sungguh berdoa di dalam hati agar tidak berkongsi nasib yang sama.

Roh berkontrak dipisahkan secara paksa. Memikirkan hal ini sahaja cukup untuk membuatkan mereka berasa seram sejuk!

Selepas membaham roh senjata itu, Hitam Kecil masih lagi belum puas. Matanya merenung roh-roh berkontrak yang berada dalam cengkaman ekor Tuan Embek Embek. Hitam Kecil menjilat-jilat bibirnya.

"Kamu masih boleh makan lagi?" Jun Wu Xie menyedari pandangan mata Hitam Kecil lalu bertanya dengan tenang.

"Meow!"

[Kalau perut saya meletup pun, saya akan telan penjahat-penjahat ni semua!]

[Suka sangat roh-roh ni semua kejar saya tadi, bukan? Roda nasib sudah berputar dan kini masanya untuk membalas dendam!]

Jun Wu Xie mengangguk. Dia memberikan isyarat kepada Tuan Embek Embek untuk melepaskan satu lagi roh berkontrak.

Roh berkontrak itu sudah pun teruk dibelasah oleh Tuan Embek Embek dan kini dalam keadaan amat lemah. Sewaktu Tuan Embek Embek mencampakkannya ke tanah, roh itu terbaring tanpa bergerak-gerak. Tiada langsung tanda-tanda keganasan yang ditunjukkannya sewaktu mengejar Mu Qian Fan dan Hitam Kecil tadi.

Hitam Kecil melompat turun dari bahu Jun Wu Xie dan bertukar menjadi binatang hitam yang besar. Ia berjalan perlahan-lahan menuju ke sisi roh berkontrak binatang itu lalu membuka rahangnya dengan luas. Seolah-olah sedang melepaskan geram, binatang hitam ini menggigit seketul besar roh berkontrak binatang itu!

Serentak dengan bunyi derap rahang binatang hitam itu, satu jeritan yang kuat kedengaran dalam kalangan kumpulan lelaki yang sedang berhimpit-himpit itu!

Pemilik roh berkontrak itu menghela nafas dan menggenggam bajunya di bahagian dada. Dia tiba-tiba rebah ke tanah. Kakinya ditendang-tendang akibat menanggung kesakitan.

Jun Wu Xie memandangnya dengan dingin. Tidak ada sedikit pun perasaan simpati di matanya.

Kalau dia terlewat sedetik sahaja tadi, Mu Qian Fan pasti sudah mati!

Selepas membaham dua lagi roh berkontrak, binatang hitam itu tidak mampu makan apa-apa lagi. Ia berjalan kembali ke belakang Jun Wu Xie dengan perasaan puas hati, mengisyaratkan yang ia sudah pun kenyang.

"Bunuh mereka." Jun Wu Xie memberikan arahan dengan nada yang menggerunkan. Lelaki-lelaki yang ketakutan itu merenungnya dengan perasaan tidak percaya.

Sesiapa yang berani membuli pesakit Jun Wu Xie mesti bersedia membayar harganya!

Menyedari ancaman kematian bakal menimpa mereka, kumpulan lelaki ini berjaya mengumpul kekuatan untuk merangkak lari sambil menjerit dengan perasaan putus asa. Mereka sedar yang cubaan melarikan diri daripada maut ini akhirnya sia-sia!

Ekor-ekor besar Tuan Embek Embek melibas ke bawah, menghentam "serangga-serangga" yang sedang bertempiaran lari ini lalu terus menghancurkan mereka. Kali ini setelah mendapat arahan Jun Wu Xie untuk memusnahkan mereka, Tuan Embek Embek tidak "berlembut" atau menahan kekuatannya.

'Cuk cak cuk cak'

Bunyi lecak-lecuk bergema di seluruh hutan itu. Semua lelaki itu sudah dihempas ke ke dalam tanah oleh Tuan Embek Embek. Tualng-tulang mereka habis hancur. Di bawah daya kuasa yang kuat itu, badan mereka semuanya menjadi lumat sehingga menjadi tompokan merah yang tersebar merata-rata di atas tanah. Kini mereka menjadi baja yang bagus untuk pokok-pokok di dalam kawasan hutan itu.

"Embek?" Tuan Embek Embek memandang beberapa tompokan merah pekat di atas tanah itu sebelum berpaling memandang Jun Wu Xie dan mengembek pendek. Seolah-olah meminta pengiktirafan Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangguk.

Tuan Embek Embek mengeluh lega dan bertukar kembali menjadi bentuk kambing biri-biri yang gebu. Dengan gembiranya Tuan Embek Embek melompat-lompat ke sisi Jun Wu Xie. Kakinya tak henti-henti menapak dalam bulatan di sekeliling Jun Wu Xie, dengan tidak malunya meminta-minta pujian.

Namun begitu, Jun Wu Xie terus menghulurkan tangan dan menggoyang-goyangkan peta berlumuran darah itu di hadapan mata Tuan Embek Embek. Tuan Embek Embek yang sebelum ini tersengih bangga, cepat-cepat berhenti menggoyangkan ekornya dengan penuh teruja dan hanya mampu tunduk kerana berasa malu.