webnovel

Membayar Harganya (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Boleh dikatakan yang Negara Yan ini telah menjadi kuasa paling kuat di Alam Bawahan. Negara Yan gemar berperang dan telah menjalankan beberapa siri peperangan dengan jayanya sebelum ini. Pada peperangan besar yang berlaku seabad yang lalu, Negara Yan dapat mengukuhkan kedudukan mereka. Hanya selepas itu barulah Negara Yan perlahan-lahan mengekang nafsu berperang mereka.

Usaha Negara Yan kini tertumpu kepada membangunkan ekonomi mereka serta memastikan rakyat mereka tetapi memiliki kemahiran bertempur. Semua ini demi mengekalkan pemmerintahan yang utuh.

Jun Wu Xie memikirkan semua fakta-faktanya. Peta harta karun yang menunjukkan lokasi makam Maharaja Kegelapan itu terdiri daripada lapan bahagian berbeza. Kewujudan salah satu bahagian tersebut tidak diketahui oleh Dua Belas Istana kerana telah disembunyikan daripada mereka dan kini berada di tangan Fan Zhuo. Baki tujuh bahagian lagi dipegang oleh tujuh daripada kalangan Dua Belas Istana itu sebagai tanda tentangan terhadap kekuatan Maharaja Kegelapan yang amat dihormati serta kekuasaan yang dipegang oleh Rejimen Kegelapan.

Dua Belas Istana itu amat takut untuk menjalankan jenayah yang tidak boleh dimaafkan iaitu mengganggu makam Maharaja Kegelapan. Sebab itulah mereka telah menghantar wakil-wakil mereka untuk bekerjasama dengan pelbagai kuasa besar di Alam Bawahan. Mereka menyerahkan bahagian peta yang berharga itu kepada orang-orang dari kuasa tersebut. Ini dilakukan supaya mereka ini dapat membantu Dua Belas Istana itu secara rahsia untuk mencari lokasi makam Maharaja Kegelapan.

Sehingga saat itu, Jun Wu Xie hanya tahu tentang kewujudan tiga bahagian peta tersebut. Selain bahagian yang dipegang oleh Fan Zhuo, satu berada pada tangan kumpulan terbesar di dunia ini, Kumpulan Qing Yun. Satu lagi berada di dalam salah satu daripada tiga akademi terbaik di dunia iaitu Akademi Zephyr yang amat terkenal. Setelah menganalisa dengan pantas berkenaan dua contoh terdahulu, tak sukar untuk membuat kesimpulan bahawa kambing-kambing hitam yang dipilih oleh Dua Belas Istana itu merupakan kuasa-kuasa yang kuat dan berpengaruh di Alam Bawahan. Lagipun, kuasa yang lebih lemah tidak akan memiliki sumber yang cukup untuk menghadapi cabaran di Cenuram Penghujung Syurga.

Ada tujuh buah istana yang terlibat, Jun Wu Xie tidak tahu tindakan apa yang telah diambil oleh baki lima istana lagi. Apa yang dia tahu, setiap istana yang terlibat mempunyai kepentingan dalam pelbagai kuasa Alam Bawahan yang bekerjasama dengan mereka.

Kemungkinan besar Negara Yan adalah salah satu kuasa yang dipilih oleh salah satu daripada tujuh istana tersebut.

"Putera Mahkota Negara Yan." Jun Wu Xie memandang sekilas pada pemanah yang sedang meniarap dengan longlai di hadapannya. Dia tahu yang pemanah itu telah mendedahkan segala maklumat yang dia tahu.

Tidak ada maklumat lain lagi yang dia mahukan daripada lelaki ini.

"Adakah… adakah kamu… akan lepas… lepaskan kami sekarang…" Pemanah itu merayu-rayu sambil menggigil.

Jun Wu Xie merenung busur pada tangan pemanah itu. Busur itu merupakan roh berkontraknya yang telah berubah bentuk.

"Beri."

Pemanah itu bingung seketika sebelum menyedari yang Jun Wu Xie sedang memandang roh berkontraknya. Dia langsung tidak teragak-agak dan terus menyerahkan busur itu.

Jun Wu Xie membelek-belek busur itu seketika sebelum berkata pada Hitam Kecil yang berada di atas bahunya, "Cubalah."

Hitam Kecil mengiau dengan patuh.

Pemanah itu memandang Jun Wu Xie dengan bingung. Langsung tidak faham dengan apa yang Jun Wu Xie sedang lakukan.

Namun seketika kemudian, dia terus tergamam melihat apa yang berlaku di depan matanya!

Hitam Kecil mengangkat kaki hadapannya dan memegang salah satu hujung busur itu. Kemudian busur itu perlahan-lahan ditolak masuk ke dalam mulutnya yang kecil.

Busur yang kelihatan teguh itu digigit dan dikunyah oleh gigi tajam Hitam Kecil sebelum cepat-cepat ditelan!

Sebelum pemanah itu dapat pulih daripada berasa terkejut, dia merasakan seksaan akibat roh berkontraknya ditarik keluar secara paksa. Tiba-tiba pemanah itu rebah di atas tanah dan menggeliang-geliut dengan kuat!

Kesakitan menyeksa tubuhnya tanpa henti, membuatkan mukanya pucat dan mulutnya berbuih-buih.

"Meow?"

[Bolehlah dimakan… tapi teksturnya berbeza dengan roh berkontrak jenis binatang.]

Ketulan yang digigit tadi bertukar menjadi roh yang tidak berbentuk di dalam mulut Hitam Kecil. Tanpa perlu mengunyahnya, Hitam Kecil menelan sahaja ketulan ini masuk ke dalam perutnya.

Sebelum ini Hitam Kecil telah membaham Singa Emas milik Mo Xuan Fei. Inilah kali pertama Hitam Kecil membaham roh berkontrak jenis senjata. Jun Wu Xie hanya mahu mengujinya dan tidak fikir cubaan ini akan berjaya!

Hitam Kecil membaham roh senjata itu sedikit demi sedikit. Pemanah yang sudah pun tergelimpang itu terus tersentak-sentak tanpa henti. Anak matanya langsung tidak dapat dilihat dan nafasnya menjadi pendek.

Rakan-rakan pemanah itu berhimpit-himpit dengan satu sama lain. Mereka tidak mampu berkata apa-apa selain memerhatikan apa yang berlaku itu dengan mata yang terbeliak. Hati mereka dicengkam ketakutan!