webnovel

Zaman Kegemilangan Maharaja Sudah Berlalu

Redakteur: EndlessFantasy Translation

"Misi mendadak?"

Bu Fang terkejut mendengar apa yang dikatakan sistem. Misi mendadak kali ini datang lebih cepat daripada yang dia jangkakan. Dia sudah diberikan misi walaupun tahapnya baru saja meningkat.

"Teruskan dengan penangkapan bahan pertama… Hanya satu hari diberikan untuk membuat persiapan." Bu Fang mengerutkan keningnya. 'Bukankah sehari tu terlalu singkat?'

"Sistem, kalau saya pergi tangkap bahan-bahan di Tanah Belantara, apa akan jadi dengan restoran ni? Adakah kita akan tutup kedai?" Bu Fang bertanya kehairanan.

"Tuan hanya diberikan masa dua hari untuk menangkap bahan. Kalau bahan yang sesuai tak ditangkap dalam masa dua hari ni, Tuan akan gagal misi mendadak ini dan sepuluh peratus daripada nisbah pertukaran kristal akan ditolak sebagai denda. Dalam masa dua hari ni, kedai akan ditutup sementara." Sistem berkata dengan nada biasanya yang tak mesra itu.

Bu Fang mengangguk. Dia lebih memahami misi mendadak ini. Tapi, dia juga rasa gementar kerana sepuluh peratus nisbah pertukaran itu akan ditolak kalau dia gagal… Rasanya sama macam hatinya dirobek.

Nisbah pertukaran tenaga itu penting untuk peningkatan tahap Bu Fang. Bukannya mudah untuk dia capai nilai lima puluh peratus. Kalau sepuluh peratus ditolak kerana dia gagal, menangis air mata darahlah dia.

Selepas menguap panjang, Bu Fang kembali ke biliknya dan berbaring di atas katil. Selepas seketika, bilik itu pun sunyi sepi.

...

Istana putera mahkota.

Ekspresi Putera Mahkota suram sambil dia menggenggam penumbuknya dan kukunya terbenam ke dalam tapak tangan. Putera Mahkota nampak sangat berang.

"Ji Chengyu… Berani adinda berkomplot dengan sekta dari luar sempadan! Adinda memang menempah maut!" Wajah Ji Chengan pucat sambil dia merenung mayat Xushi dengan penuh kesedihan.

Xushi merupakan orang bawahannya yang paling handal dan sudah bertahun-tahun lamanya mengikut Putera Mahkota. Namun, dia kini sudah mati akibat rancangan jahat Ji Chengyu. Walaupun Putera Mahkota tak ada bukti yang Raja Yu berkomplot dengan sekta-sekta itu, sesiapa yang tajam akal boleh meneka yang Raja Yu dalangnya.

'Ji Chengyu… Walaupun adinda kata yang adinda tak pernah buat silap, kali ini adinda sudah buat silap besar. Kalau kekanda pun boleh teka yang adinda berkomplot dengan sekta, adinda tak fikir ke orang bijak seperti ayahanda akan dapat tahu? Adinda ingat ayahanda tu sudah nyanyuk?'

Tiba-tiba wajah suram Putera Mahkota berubah sedikit seperti mengejek. Kegembiraan dalam matanya menjadi semakin jelas.

"Seperti yang Kekanda katakan… Adinda memang menempah maut!"

Gelak tawa Putera Mahkota yang bercampur dengan rasa marah dan niat membunuh itu kedengaran di seluruh istana.

...

Kediaman Raja Yu.

Raja Yu sedang bersandar di tempat letak tangan kerusi cendananya sementara satu kakinya dinaikkan ke atas sebelah lagi tempat letak tangan. Sambil itu, dia menepuk-nepuk lututnya dengan tangan. Matanya tenang seperti air sambil dia termenung jauh.

Ekspresinya tenang dan emosinya tak dapat dibaca. Namun, gayanya yang tenang ini membuatkan dia nampak lebih menakutkan.

Di pintu masuk, satu kelibat membongkok masuk dengan terhuyung hayang. Nampak gayanya, kalau ditiup angin pun dia boleh tumbang.

Aura Hun Qianyun tersangat lemah dan hampir jatuh ke tahap Raja Pertempuran. Jelas sekali, teknik rahsia yang dia gunakan untuk melarikan diri telah memberi kesan buruk kepada badannya.

"Orang tua tak guna ni… menyembah Raja Yu." Hun Qianyun kelihatan semakin kurus. Badannya hanya tinggal kulit dan tulang. Api semangat dalam lesung matanya pun semakin malap.

"Ish, ish, ish. Nampaknya kecederaan ketua Sekta Jiwa ni agak teruk. Nampak gayanya Beta boleh hancurkan kamu dengan satu jari." Hujung mulut Raja Yu ternaik sedikit sambil dia mengejek Hun Qianyun dan menuding jarinya.

Api semangat dalam mata Hun Qianyun bergetar seketika dan badannya rasa tegang. Ada sedikit tenaga hitam yang mengelilingi badannya.

"Raja Yu, apa maksudnya ni? Walaupun orang tua tak berguna ni cedera teruk, sekurang-kurangnya misi berjaya dilaksanakan. Perlu ke Raja Yu berpatah arang, berkerat rotan?"

Raja Yu memandangnya sekilas dan membalas acuh tak acuh, "Memang betul kamu berjaya laksanakan misi. Tapi, kamu juga sudah cipta satu masalah besar bagi Beta. Takkan kamu tak sedar?"

"Beta hanya mahu kamu rosakkan Sup Ayam Phoenix Herba Sej tu saja. Selepas kamu bunuh orang bawahan kekanda Beta, kamu hanya perlu musnahkan mayat dan hapuskan semua bukti. Tapi… kenapa kamu cari gaduh dengan kedai misteri tu?" Nada Raja Yu berubah dingin. Sambil dia bangun dari kerusinya, badannya yang tegak itu mengeluarkan aura yang menakutkan.

Aura milik orang atasan itu menekan Hun Qianyun.

Hun Qianyun mengeluh dalam hatinya. Seperti dijangka, Raja Yu anak kepada Maharaja Changfeng ini memang mengagumkan. Walaupun dia tidak begitu kuat, auranya setanding Hun Qianyun...

Namun, Hun Qianyun tidak begitu risau. Pada masa ini, Raja Yu tak berani bersengketa dengan Sekta Jiwa. Jadi, tak mungkin Raja Yu bercadang membunuhnya.

Memang tepat pun jangkaannya kerana aura Raja Yu terus hilang sambil dia memandang sekilas ke arah Hun Qianyun dengan acuh tak acuh.

"Beta akan beri muka kali ini. Tapi, kamu harus tahu yang kesabaran Beta ada batasnya. Kalau kamu gagal lagi misi seterusnya, kamu bukan sekadar dihalau." Raja Yu berkata acuh tak acuh sambil menyilangkan tangannya di belakang. Daya tulennya yang hampir membelah udara mengelilingi badannya.

Hun Qianyun menghela nafas panjang. Raja Yu sudah berada di puncak Raja Pertempuran kelas kelima. Hanya tinggal selangkah lagi untuk dia menjadi Maharaja Pertempuran kelas keenam.

Selepas Hun Qianyun beredar, Raja Yu tinggal keseorangan dalam istana itu.

Dia mengangkat tangannya dan segumpal daya tulen terkumpul di tapak tangannya. Dia kemudian menghancurkannya...

'Kekandaku, kau pasti berasa seronok kerana sudah menemui kelemahan adinda. Tapi, apa kekanda boleh buat? Kalau ayahanda betul nak menghukum bunuh anakandanya ini, adinda tak ada pilihan lain melainkan untuk… memberontak.'

...

Xiao Meng melepasi Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan. Bila dia memusingkan badan dan memandang Dewan Besar yang tinggi itu, dia mengeluh dengan tak bermaya.

Seseorang yang berani dan penuh keazaman seperti Maharaja Changfeng pun akhirnya kalah dengan masa. Selepas berkempen melawan sekta selama beratus-ratus tahun, anaknya sendiri berkomplot dengan musuh mereka untuk menghapuskan harapan terakhirnya untuk hidup lama… Ironik sungguh.

"Asalkan kamu tak jadi makhluk agung, kamu masih manusia biasa..." Dengan wajah serius dan kening berkerut, Xiao Meng mengeluh kecil sambil dia beredar.

Dalam Dewan Besar, maharaja yang sudah berumur itu sedang bersemayam di atas takhtanya. Sambil dia batuk terus menerus, auranya menjadi semakin lemah. Kelesuan jelas terpampang di wajahnya.

Wajah Lian Fu penuh dengan rasa risau dan sedih apabila dia melihat Maharaja.

"Tuanku… Perlukah Patik dapatkan tabib diraja untuk memeriksa Tuanku sekali lagi?" Lian Fu bertanya.

Maharaja menidakkannya. Matanya nampak sedikit kabur tapi aura keunggulannya masih kekal seperti sediakala.

"Harapan Beta selama ini untuk menghapuskan sekta dan membawa keamanan kepada empayar ini. Kewujudan sekta akan sentiasa membahayakan kita." Maharaja berkata dengan suara garau dan nada acuh tak acuh. "Sekarang, anakanda Beta berkomplot dengan sekta hanya untuk merampas takhta. Kamu tak rasa situasi ni ironik ke?"

"Tak tahu di mana Beta nak sorokkan muka."

Lian Fu tak berkata apa-apa sambil dia berdiri di satu sudut dengan wajah muram.

Maharaja itu menggeletar sambil dia bangun. Bila dia tergelak kecil, gelak tawanya yang kasar itu kedengaran di seluruh Dewan Besar.

"Beta adalah Maharaja Changfeng yang telah menghapuskan beratus-ratus sekta. Walaupun zaman kegemilangan Beta sudah berlalu, Beta tak boleh biarkan anak sendiri memalukan Beta begini. Anak-anak sepatutnya takut dan hormat kepada ayahnya… Dia akan faham tak lama lagi."

Suaranya yang lemah, bercampur dengan rasa yakin dan angkuh, kedengaran dalam Dewan Besar itu dan hilang perlahan-lahan.

Lian Fu memandang dengan rasa kagum sambil dia tunduk hormat melihat Maharaja beredar.

...

Keesokan harinya, di awal pagi.

Bu Fang membuka restorannya seperti biasa. Namun, dia perlu memberitahu Xiaoyi yang restoran akan ditutup selama dua hari. Kalau tak, dia akan datang seperti biasa dan mendapati kedai tak dibuka.

Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya sampai awal dan restoran yang kosong itu jadi lebih meriah. Dengan mata yang tajam, Si Gemuk Jin mengesan sajian baru, Daging Masak Merah, dan matanya terus bersinar.

"Tauke Bu, sajian baru ni agak mahal… Ia berharga seratus kristal. Memang tak murah." Harga Daging Masak Merah itu membuatkan Si Gemuk Jin rasa kurang seronok. Bukan apa, orang kaya baru pun pasti rasa keperitan membelanjakan beberapa ratus kristal sehari.

"Sajian baru ni tak akan mengecewakan. Percayalah." Bu Fang membalas tanpa perasaan.

Si Gemuk Jin mengecilkan matanya dan merenung lama ke arah Bu Fang sebelum bersetuju memesan hidangan itu. Hujung mulut Bu Fang ternaik sedikit sambil dia berpusing dan masuk ke dapur.

Bila dia berjalan keluar dari dapur dengan sepinggan Daging Masak Merah, Xiaoyi sudah pun tiba di restoran.

Di pintu masuk, satu kelibat yang dikenali dan berumur masuk perlahan-lahan ke dalam restoran.

"Tauke Bu, karakter di papan tanda kamu tak sehebat kemahiran penulisan Beta." Lelaki tua itu berkata sambil tergelak kecil.