86 Objektif Saya Membuka Restoran Itu... Sangat Mudah

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Orang tua yang melangkah masuk ke restoran itu tak lain dan tak bukan ialah adalah Ji Changfeng.

Muka Ji Changfeng agak pucat. Dia kelihatan sangat lemah seperti seorang tua yang dah hampir ajalnya. Keunggulan yang dimiliki oleh maharaja sebelum ini sudah hilang.

"Beta nampak papan tanda yang tergantung di atas pintu masuk tu. Huruf-hurufnya nampak seperti diukir dengan menggunakan templat. Ia kurang bertenaga dan agak tak seronok dibaca. Walaupun ia nampak cantik, ia tak begitu teliti. Ia tak setanding dengan seni pena Beta." Maharaja berkata sambil tertawa lalu menyilangkan kedua-dua tangannya di belakang.

Bu Fang mengerutkan keningnya. Dia tak terkejut apabila Maharaja datang ke restorannya, tapi dia tak sangka yang Maharaja tiba di sana pada awal pagi.

Papan tanda di pintu masuk itu disediakan oleh sistem. Pada masa itu, Bu Fang menolak tawaran daripada

Maharaja yang mahu memberikannya sebuah papan tanda hanya kerana sistem telah berjanji akan menyediakan sebuah papan tanda juga. Sekarang, nampaknya... papan tanda yang disediakan oleh sistem itu tak hebat mana pun.

"Sistem, Maharaja kata huruf-huruf di papan tanda tu tak ditulis dengan cantik." Bu Fang berkata kepada sistem itu.

Keadaan menjadi sunyi-sepi seketika sebelum sistem itu berkata dengan serius, "Huruf-huruf di papan tanda tu merupakan replika tulisan tangan jurukhat nombor satu dalam Empayar Bayu. Ia tak menjadi masalah pun. Kalau nak menjawab kenapa ia kurang bertenaga, sistem tak boleh membalas kenyataan itu."

Bu Fang menganggukkan kepalanya. Kemampuan sistem dalam penyediaan papan tanda itu memang luar biasa. Namun begitu, huruf-hurufnya mungkin kurang bertenaga memandangkan ianya satu replika sahaja.

Bu Fang tak mahu berbual tentang topik itu lagi, jadi dia bertanya dengan tak berperasaan, "Tuanku, adakah Tuanku datang ke sini untuk makan?"

Maharaja duduk di meja, melambai ke arahnya dan berkata, "Tak perlu tergesa-gesa. Beta nak kamu jawab beberapa soalan Beta."

"Hmm? Soalan apa ya?" Bu Fang bertanya.

"Beta takut nanti Beta tak ada peluang untuk bertanya, jadi baik Beta tanya sekarang." Badan Maharaja bergoyang sedikit semasa dia batuk. Kemudian dia mengangkat kepalanya dan memandang Bu Fang dengan serius. "Kamu bukan saja ketua bagi binatang semangat agung, lagi-lagi boneka yang setara dengan Santo Pertempuran Kelas Ketujuh, malah kamu juga mampu masak sajian yang penuh dengan tenaga semangat... Tauke Bu, siapakah kamu sebenarnya?

"Apakah objektif kamu menetap di kota diraja dalam Empayar Bayu ni?"

Dahi Bu Fang berkerut apabila dia memandang ke arah Maharaja. Mereka berdua bertentang mata dengan senyap.

Selepas sekian lama, Bu Fang menjawab dengan tak berperasaan, "Saya tak ada sebarang objektif. Saya hanya mahu uruskan sebuah restoran kecil."

Maharaja tergamam dan dia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum sinis. "Biar betul. Kekuatan restoran kamu ni setanding dengan seluruh Empayar Bayu. Tak mungkin kamu uruskan restoran ni saja. Beta tak paksa kamu beritahu Beta. Tapi, Beta harap kamu akan berikan jawapan yang jujur bagi soalan Beta yang terakhir ni."

"Tanyalah." Bu Fang berkata.

Maharaja batuk sambil memegang dadanya, kemudian dia mengangkat kepalanya dan bertanya, "Kamu bukan dari sekta, betul? Kamu tak akan lakukan apa-apa yang boleh mengancam empayar?"

Soalan itulah tujuan sebenar dia melawat ke restoran itu. Sebagai seorang maharaja, walaupun ajalnya dah hampir, dia perlu mengetahui faktor yang wujud tapi tak diketahui dalam empayarnya itu.

Walau bagaimanapun, dengan adanya binatang semangat agung itu, Maharaja memang tak yakin langsung yang dia boleh memusnahkan restoran itu. Dia hanya boleh menyelesaikan perkara itu dengan cara yang paling rasional. Dia mahu berasa selesa, jadi dia perlu mengetahui tujuan sebenar restoran itu.

Sebenarnya, tujuan Bu Fang membuka sebuah restoran di bandar diraja dalam Empayar Bayu itu ialah mendapatkan kristal dengan senyap dan meningkatkan tahap pertapanya. Semua itu penting untuk menjadi Tuhan Masakan di bahagian rantai makanan yang paling atas di dalam dunia fantasi. Objektifnya... memang mudah sebegitu.

"Jangan risau, itu tak akan berlaku." Senyuman terukir di wajah Bu Fang apabila dia menjawab pertanyaan maharaja dengan serius.

Maharaja terkejut seketika. Senyuman tiba-tiba muncul di wajahnya yang berkedut itu dan kemudian dia tertawa berdekah-dekah.

"Tauke Bu, Beta rasa lebih lega selepas mendengar kata-kata kamu tadi. Beta rasa gembira, jadi Beta akan makan semua sajian kamu hari ini. Ini mungkin kali terakhir Beta dapat menikmati sajian kamu di sini."

Maharaja berkata selepas dia habis ketawa. Dia menarik nafas yang panjang dan menepuk tangannya.

Lian Fu yang sedang menunggu di luar restoran berjalan masuk ke dalam sambil memicit ibu jari dan jari tengahnya bersama. Dia berdiri di belakang maharaja dengan penuh hormat dan matanya penuh dengan rasa bimbang.

Bu Fang mengangguk dan masuk ke dapur.

Selepas beberapa ketika, bau yang sungguh lazat datang dari arah dapur. Maharaja mengecilkan matanya dan menjadi agak terpesona apabila dia menghidu bau itu.

"Selepas hidup bertahun-tahun dan makan banyak makanan lazat, sajian Tauke Bu memang paling sedap yang Beta pernah rasa. Malangnya... Beta hanya dapat bertemu dengan Tauke Bu apabila ajal Beta dah hampir. Beta tertanya-tanya sama ada ini ganjaran atau azab dari syurga." Mahajara menggumam pada dirinya sendiri.

Xiaoyi membawa sajian maharaja dengan berhati-hati dan meletakkannya di hadapan Maharaja. Maharaja tertawa dan mengusap kepala Xiaoyi dengan penuh manja.

Selepas makan dan minum sehingga kenyang, Maharaja beredar dari restoran itu dengan Lian Fu di belakangnya. Di pintu masuk, Bu Fang menghembus nafasnya dengan perlahan ketika dia melihat Maharaja beredar dari restorannya.

...

"Xiaoyi, kamu tak perlu datang hari esok dan lusa. Saya ada urusan di tempat lain, jadi restoran ni akan ditutup selama dua hari." Bu Fang berkata tanpa ekspresi sambil mengusap kepala Ouyang Xiaoyi sebaik saja waktu perniagaan tamat untuk hari itu.

"Ah? Tauke busuk, adakah kamu akan pergi ke Restoran Phoenix Abadi untuk buat kacau lagi?" Ouyang Xiaoyi mengangkat kepalanya dengan gembira dan melihat Bu Fang. Matanya penuh dengan rasa teruja.

Wajah Bu Fang menjadi muram. "Siapa kata saya nak buat kacau? Mentang-mentang restoran nak tutup selama dua hari... Saya ada urusan penting."

"Haih... Baiklah, kalau Tauke Busuk masih nak pergi ke Restoran Phoenix Abadi, jemputlah saya juga! Tauke nampak sungguh tampan semasa menegur pemilik restoran tu!" Ouyang Xiaoyi berkata sambil mengecilkan matanya apabila dia melambai-lambaikan tangannya yang kecil itu.

"Saya hanya bercakap benar. Saya tak ada niat lain pun. Kamu patut tingkatkan tahap pertapa kamu dalam masa dua hari ni. Saya harap tahap pertapa kamu akan bertambah baik bila saya pulang nanti. Pada masa yang akan datang, syarat untuk makan sajian saya akan jadi lebih tinggi." Bu Fang berkata.

Apabila Bu Fang berkata tentang tahap pertapa, mata Ouyang Xiaoyi bersinar. Dia menghulurkan tangannya seperti dia menunjuk-nunjuk dan berkata, "Tauke Busuk, tengok ni! Tahap pertapa saya dah sampai ke tahap pertengahan Maniak Pertempuran Kelas Ketiga!"

Bu Fang melihat ekspresi Ouyang Xiaoyi yang bangga itu dan berkata tanpa sebarang perasaan, "Laju ke pergerakannya? Walaupun kamu makan begitu banyak sajian yang penuh dengan tenaga semangat di restoran ni, pergerakan tahap pertapa kamu masih agak perlahan. Ini bukti yang kamu semakin teruk. Tengok saya, saya dah jadi Semangat Pertempuran Kelas Keempat."

"Tauke busuk ni sengaja menyakitkan hati saya... Lupakan sajalah, cik muda ni nak pulang ke rumah! Hmph!" Ouyang Xiaoyi mendengus dengan geram. Dia pusing ke belakang lalu beredar dari restoran itu sambil mengembungkan pipinya.

Selepas Ouyang Xiaoyi pergi, Bu Fang berjongkok di hadapan Si Hitam. Dia mengusap bulu Si Hitam yang lembut dan bersih sambil berkata, "Anjing malas, saya akan berada di tempat lain selama dua hari. Kamu perlu cari makanan sendiri."

Si Hitam membuka matanya dengan malas. Ketika ia mendengar kata-kata Bu Fang, ia segera mendengus dan menggulingkan matanya.

Bu Fang kembali masuk ke restoran dan mengeluarkan sepapan kayu yang ditulis dengan ayat: Restoran akan ditutup buat sementara waktu. Selepas menggantung papan kayu itu, dia pun menutup restorannya dan kembali masuk ke dapur.

"Sistem, memandangkan saya perlu cari bahan-bahan saya sendiri di Tanah Belantara, adakah kamu akan sediakan perasa?" Bu Fang bertanya.

"Perasa tak akan disediakan." Sistem itu menjawab dengan serius.

Bu Fang seolah-olah dah meramalkan jawapan sistem itu. Dia menjawab dengan lembut, "Oh." Kemudian dia mengeluarkan sebentang kain yang besar dan meletakkan garam, kicap, lada sulah dan perasa-perasa lain di atas kain itu. Seterusnya dia mengambil sebiji kuali besar yang dipenuhi dengan pisau dapur, sudip dan peralatan dapur yang lain. Dia akan membawa kesemua peralatan itu juga...

"...Tujuan Tuan pergi ke Tanah Belantara untuk menangkap bahan-bahan dan bukannya untuk pergi berkelah. Mohon Tuan memahami tujuan utama misi tersebut. Perasa boleh dibawa tetapi peralatan memasak tak dibenarkan dibawa kecuali peralatan daripada set Tuhan Masakan." Sistem itu berkata dengan serius.

Bu Fang tiba-tiba terhenti semasa dia sedang mengemas, kemudian dia mengeluh dengan tak berperasaan. "Bukan ke saya perlu masak bahan-bahan itu selepas saya menangkapnya? Bagaimana saya nak keluarkan rasa bahan-bahan yang lazat itu semaksimum yang boleh tanpa alat memasak saya?"

Kali ini, sistem malas untuk menjawab pertanyaan Bu Fang itu...

Akhirnya, Bu Fang hanya membungkus beberapa perasa di dalam kain itu lalu masuk ke dalam biliknya untuk mendapatkan tidur yang secukupnya.

Keesokan harinya, apabila cahaya matahari menerangi ufuk, Bu Fang pun bangun daripada tidurnya apabila dia mendengar bunyi bip sistem.

"Mohon Tuan beri tumpuan. Susunan teleportasi akan diaktifkan dalam masa lima minit. Sila bersedia untuk teleportasi."

Bu Fang terkejut seketika. Semasa dia mengangkat kepalanya, dia ternampak satu tompok cahaya muncul di atas kepalanya. Cahaya itu melakukan susunan magik yang penuh misteri dengan pantas sekali.

avataravatar
Next chapter