84 Memasak Daging Masak Merah dengan Kulinari Daya Tulen

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Bu Fang tak menyangka kali ini dia mendapat sajian Daging Masak Merah. Dia masih ingat rasa Daging Babi Semangat Masak Merah di Restoran Phoenix Abadi. Walaupun Bu Fang kesan banyak kelemahan pada hidangan itu, dia akui yang rasanya agak hebat.

Sebagai seorang cef, sememangnya Bu Fang pernah rasa hidangan Daging Masak Merah sebelum ini. Dia juga agak biasa dengan cara memasaknya. Namun, dia tak terus mula memasak kerana sistem mungkin ada kaedah lain.

Bu Fang memanggil sistem untuk menerangkan Daging Masak Merahnya.

"Cara Memasak Daging Masak Merah: Penggunaan daya tulen diperlukan semasa proses memasak. Ia menguji kawalan Tuan terhadap daya tulen dan juga pengendalian ramuan. Daging yang digunakan ialah daripada binatang semangat kelas kelima, Rusa Hukuman Syurgawi dari Tanah Belantara. Dagingnya ada aroma yang kaya, tapi ia mudah busuk dan rosak kalau Tuan buat silap semasa mengendalikannya."

Kaedah memasak yang diberikan sistem sememangnya berbeza daripada cara biasa. Bu Fang agak terkejut yang kulinari daya tulen perlu digunakan semasa proses memasak. Adakah semua hidangan yang akan diterima pada masa akan datang memerlukan kulinari daya tulen?

Tambahan pula, daging yang digunakan untuk hidangan ini ialah daging rusa dan bukannya ramuan tradisional iaitu daging babi. Itu juga bukan sesuatu yang dijangka oleh Bu Fang.

Bu Fang berhenti di hadapan almari dan membukanya. Seketul daging rusa kemerah-merahan ada di dalamnya. Mungkin kerana daging rusa ini dari dunia lain, tapi subkutus lemaknya (iaitu lemak di bawah kulitnya) lebih tebal daripada daging rusa lain yang Bu Fang pernah lihat sebelum ini. Lemaknya hampir serupa dengan daging babi. Namun, sudah pastinya ada perbezaan dari segi kelembutan kedua-dua daging ini.

Satu bau harum yang pelik datang dari daging rusa itu. Haruman itu bukannya jenis yang membuka selera, tapi ia membuatkan orang ingin menghidu baunya.

Bu Fang membawa keluar daging rusa itu dan meletakkannya di atas papan pemotong dengan berhati-hati. Sambil dia hendak mulakan aksi, Pisau Dapur Tulang Naga Emas yang berwarna hitam legam menjelma di tangannya.

Pisau itu berpusing di tangannya seketika. Kemudian, Bu Fang mengikis permukaan daging itu dan membuang lapisan lemaknya yang lain. Kemudian, dia mengambil mata air dan merendamkan daging itu untuk beberapa ketika.

Selepas menghentak daging itu dengan belakang pisaunya, Bu Fang mengangkat pisau itu tanpa ekspresi.

Hanya ada satu perkara yang perlu diberi perhatian semasa mengendalikan Rusa Hukuman Syurgawi; hirisan yang pantas tapi licin. Ini membantu mengekalkan keharuman dan tenaga semangat dalam daging itu dan ia juga mengelakkan daging menjadi tegang.

Ini kali pertama Bu Fang menggunakan Pisau Dapur Tulang Naga Emas, tapi dia langsung tak nampak kekok. Tangannya begitu pantas menghiris daging itu. Dengan Teknik Pemotongan Meteor tahap satunya hampir sampai ke kemuncak, menghiris dengan pantas tak sukar baginya.

Ton ton ton ton!

Bunyi jelas Pisau Dapur Tulang Naga Emas yang berlanggar dengan papan pemotong itu kedengaran dalam dapur. Dalam sekelip mata, ketulan daging rusa itu dihiris menjadi kepingan. Setiap keping daging dihiris dengan licin dan dikendalikan dengan baik.

Bu Fang menuang mata air yang mendidih ke dalam mangkuk berisi daging. Setiap kepingan daging itu terbenam dalam air panas.

Kemudian, Bu Fang memulakan persediaan untuk perkara-perkara lain. Kali ini, dia tak mengisi kuali dengan minyak kerana dia hanya mahu menggunakan lemak daging rusa itu. Kalau dia menambah minyak, baunya akan menjejaskan rasa hidangan.

Bu Fang membiarkan kuali panas dan menunggu sehingga suhunya cukup tinggi. Dia kemudiannya mengeluarkan daging yang dicelur dalam air panas itu. Sebelum daging itu dimasukkan ke dalam kuali, Bu Fang mengeringkan kelembapan setiap keping daging menggunakan daya tulen.

Bila setiap keping daging masuk ke dalam kuali, bunyi berdesir kedengaran dan bau harum meresap keluar dari daging itu.

Bu Fang tidak tertawan dengan aroma itu. Dia mengambil sebuku gula perang yang disediakan sistem. Dia mengancurkannya menjadi serbuk dan kembali memberi perhatian kepada kuali.

Bila minyak sudah terbit dari daging rusa, Bu Fang menuang gula perang ke dalam kuali dan mula menggoreng kilas dengan sudip.

Gaya Bu Fang menggoreng seperti ada irama. Itu hasil pengalamannya sebagai seorang cef.

Bila gula perang itu sudah cair menjadi sirap dan menyaluti setiap kepingan daging, warna daging itu bertukar dari putih menjadi merah terang. Daging itu berbau harum dan menyelubungi seluruh dapur.

Selepas menuang mata air ke dalam kuali, Bu Fang menutup kuali itu. Pada masa itu, dia berubah serius kerana perlu menggunakan kulinari daya tulen untuk proses masak seterusnya.

Dia mengalirkan pusaran daya tulen yang terletak dalam pusat dayanya. Dia mengarahkan daya tulennya ke kuali itu untuk menyaluti setiap keping daging rusa.

Sos yang sedang membuak-buak di dalam kuali menyebabkan kepingan daging itu berbalik-balik. Subkultus lemak daging rusa itu bersinar seperti jed. Daging itu pula terus menerus menghasilkan aroma daging dengan bau wangi yang kaya.

Bila sos di dalam kuali itu sudah memekat, Bu Fang menghentikan daya tulennya. Dia membuka penutup kuali dan mula menggoreng kilas. Sos yang kini lebih pekat itu telah menyaluti setiap keping daging.

Selepas menambah garam dan kicap, aroma daging itu akhirnya stabil. Aromanya pekat dan ditambah dengan bau harum yang kaya dan manis... Hanya dengan menghidu aroma ini, Bu Fang sudah berasa lapar dan meleleh air liur.

Bu Fang membawa keluar pinggan porselin berwarna biru putih dan menuang Daging Masak Merah ke atasnya. Sajian baru ini sudah berjaya disiapkan.

Walaupun daya tulen diperlukan semasa proses memasak, Bu Fang lebih handal berbanding semasa dia memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej. Ia mungkin ada kena mengena dengan penemuan barunya.

Bila Bu Fang membawa keluar pinggan Daging Masak Merah itu ke ruang makan, dia terperanjat.

Ini kerana Si Hitam sudah pun duduk di salah satu meja sambil matanya berkelip-kelip memandang Bu Fang… Lebih tepat lagi, dia memandang pinggan di tangan Bu Fang sambil lidahnya terjelir keluar.

Hujung mulut Bu Fang tersentap. 'Anjing malas ni, dah tak sabar-sabar nak makan sebab terhidu bau daging. Tapi, bau wangi Daging Masak Merah ni memang mengancam. Ia lebih hebat berbanding Tulang Rusuk Masam Manis.'

Bu Fang mengambil satu lagi pinggan dan meletakkannya di depan Si Hitam sebelum dia meneliti Daging Masak Merah itu. Mungkin ia lebih sesuai dipanggil Daging Rusa Masak Merah.

Daging Masak Merah itu menghasilkan wap putih. Kulit daging rusa itu kemerah-merahan. Lapisan lemak di bawahnya pula putih dan tak berminyak. Lapisan terakhir iaitu dagingnya jernih dan cantik.

Selepas memberi sekeping daging kepada Si Hitam, Bu Fang menyuap sekeping Daging Rusa Masak Merah ke dalam mulutnya.

Rasa sajian ini sangat unik. Bila daging itu disuap, rasa manis sos itu tersebar di dalam mulutnya. Dia terus menggigit kulit daging rusa itu dengan separa sedar. Perisa daging itu meletus seperti bom dalam mulutnya dan menyaluti deria rasanya. Dengan sekali telan, seluruh kepingan daging habis dimakan. Namun, keinginannya membuak-buak untuk makan satu keping lagi.

Bu Fang akhirnya menghabiskan separuh pinggan daging itu tapi dia masih tak puas dan tak boleh berhenti. Dia bagaikan belum dapat rasa perisa daging itu setiap kali ia disuap jadi dia hendak makan lagi.

Si Hitam juga makan daging itu dengan gelojoh sambil matanya sepet kerana rasa puas. Dengan itu, kedua-dua manusia dan anjing itu menghabiskan sepinggan hidangan.

Bu Fang berlingkar dengan puas hati di atas kerusi, sambil menghembus nafas panas.

Si Hitam kembali ke tempatnya di pintu masuk dan menyambung tidur dengan penuh rasa selesa. Tidur sejurus selepas tidur… Itu memang gaya Si Hitam.

'Selepas menggunakan kulinari daya tulen, rasa daging rusa itu sedap tak terkata! Bau Rusa Hukuman Syurgawi dan aroma dagingnya sudah terseduh sepenuhnya! Perisa ini menghasilkan perasaan yang tak mampu dikawal dan dihentikan!' Bila Bu Fang teringat rasa Daging Masak Merah itu, dia tak dapat menahan diri daripada menjilat bibirnya.

Selepas berehat seketika, Bu Fang meletakkan pinggan ke dalam mesin basuh pinggan mangkuk automatik dan masuk ke biliknya dengan rasa puas.

Memang tak dinafikan yang tidur selepas makan itu ialah sejenis kegembiraan.

Namun, baru saja Bu Fang sampai di pintu biliknya, suara sistem kedengaran dalam mindanya sekali lagi.

Misi Mendadak: Tuan diminta bersedia untuk menangkap bahan pertama kamu esok. Teleportasi penangkapan bahan akan diadakan lusa.

(Bagaimana nak melihat pelangi kalau tak ada ribut petir? Anak muda, gunakan pisau dapur kamu untuk menakluk semua bahan-bahan.)

Ganjaran sistem: Teknik Memasak Mi Beras Gulung1

avataravatar
Next chapter