22 Hadiah Mengejutkan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dari perspektif Bulu Lembut:

Sewaktu roh hantu jahat bergegas menuju ke arah Shuhang, dia dengan tenang membongkok dengan perlahan untuk mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh sebelum memetik Tumbuhan Naga Berbisa.

Tenang betul ahli pertapa lama ini! Seolah-olah dua roh hantu jahat yang menerkam dia itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada dirinya!

Tumbuhan Naga Berbisa bukanlah satu ramuan ubat yang berharga, tetapi tumbuhan seperti ini pasti tidak akan tumbuh di kawasan ini begitu sahaja. Sebaliknya, pasti seseorang sengaja menanamnya semula pada masa itu untuk menjadi pendinding di kawasan itu.

Apabila tumbuhan itu dipetik, dinding pelindung yang tidak kelihatan mula muncul.

Kedua-dua roh hantu yang berniat untuk menyerang Song Shuhang terlanggar tembok pendinding seperti lalat yang melanggar rangkaian elektrik dan kemudian terhasillah dua bunyi "Bang" sebelum jatuh ke tanah. Lalat yang disambar elektrik itu kemudian tidak lagi dapat terbang. Bagi dua roh jahat itu pula, mereka telah kehilangan kekuatan untuk melawan.

'Sangat...sangat kuat!' Bulu Lembut mengagumi kejadian yang disaksikannya itu di dalam hati.

Dia kagum dengan penglihatan Tuan Song yang dapat melihat pendinding itu!

Dia telah bersedia di sini selama setengah hari dan tidak sedar bahawa ada pendinding tersembunyi di sini! Bilakah Tuan Song menemuinya?

Batang Tumbuhan Naga Berbisa ialah pusat pendinding dan berbeza daripada bahagian lain yang memberikan kekuasaan. Pusat pendinding itu bagaikan satu suis, pendinding akan diaktifkan selepas bahagian batang itu dipetik!

Ini mungkin ditanam oleh ayahnya sejak enam puluh tahun lalu.

Nampaknya ayahnya telah membuat dua lapisan pengukuh pendinding dalam Tokong Lampu Berhantu itu. Lapisan pertama ialah pendinding penangkapan mudah dan hanya menghalang ruang pergerakan hantu dan terletak di dalam tokong sahaja. Bagaimanapun, apabila Tokong Lampu Berhantu dirobohkan, kesannya sudah hilang.

Satu lapisan lagi ialah pendinding yang lebih berkuasa dan tersembunyi daripada pandangan kasar. Ia akan diaktifkan apabila batang dari Tumbuhan Naga Berbisa dipetik. Pendinding ini lebih besar serta digunakan untuk menundukkan roh hantu dan apabila ia diaktifkan, semua roh hantu dalam Tokong Lampu Berhantu akan ditundukkan dan dikunci!

Atau mungkinkah Song Shuhang telah menemui pendinding kedua sewaktu kami tiba di situ? Dia kelihatan seolah-olah dia telah memilih secara rawak untuk duduk di tempat itu. Tetapi mungkinkah sebenarnya dia telah memilih untuk duduk di sebelah pusat pendinding sebagai persediaan menghadapi apa-apa kemungkinan yang akan berlaku.

'Sebab itulah dia layak dipanggil Tuan. Masih banyak lagi yang saya perlu belajar dari dia!'

Semasa berfikir, pada masa yang sama tiba-tiba Bulu Lembut mengambil langkah besar dan mara ke hadapan dan memijak dua roh hantu yang lemah itu.

Selepas itu, dia mengambil dua biji manik yang diseduh dengan udara sejuk dari beg besarnya.

'Manik ais pengikat roh' ialah barang yang digunakan untuk mengunci roh hantu ke dalamnya. Selepas menyediakan kontrak pendinding yang sesuai, seseorang boleh membuat pendinding dengan roh hantu!

Sekiranya dia menghadapi masalah untuk mengunci roh hantu, Bulu Lembut akan membawa beberapa biji 'manik ais pengikat hantu'.

Dia meletakkan dua biji manik ais itu di antara jari-jemarinya dan membentuk banyak pengikat.

"Kunci!" Satu suara lembut berbunyi.

Kedua-dua roh hantu yang cedera itu tidak mempunyai kuasa untuk melawan dan kemudian diikat secara berasingan dalam dua biji manik ais!

❄️❄️❄️

Di hadapan mata Song Shuhang yang terbuka luas, kedua-dua lampu hijau yang menari dengan Bulu Lembut diserap masuk ke dalam dua biji manik ais.

Pemandangan ini... sememangnya kelihatan menakjubkan!

Tiada pengetahuan saintifik yang dapat menjelaskan segala yang berlaku di hadapannya.

Song Shuhang menelan air liurnya dengan perlahan. Pada masa ini, apa jua yang difikirkan tentang dunia selama lapan belas tahun itu telah musnah. Mungkinkah wujud hantu di dunia ini?

Perkara-perkara ini yang tidak dapat dijelaskan dengan menggunakan sains mungkin hidup di dalam dunia manusia dengan cara yang istimewa. Mungkinkah mereka hidup seperti legenda?

"Tuan, saya sangat berterima kasih atas bantuan Tuan kali ini. Kalau bukan kerana Tuan, mungkin dua roh hantu itu akan terlepas. Sekiranya mereka berjaya melarikan diri, mereka tidak akan kembali ke sini lagi dan pasti akan lebih sukar untuk mencari mereka pada masa akan datang." Bulu Lembut sangat bersyukur dengan bantuan yang dia terima.

"Haha." Song Shuhang tertawa dengan tidak bersungguh-sungguh. Selain daripada ketawa, apa lagi yang boleh dia lakukan untuk bersetuju dengan pendapat Bulu Lembut?

"Tuan, di sini ada dua roh hantu dan saya hanya perlukan satu. Saya akan berikan roh satu lagi ini kepada Tuan! Walaupun Tuan mungkin tidak memerlukannya dengan rutin pertapaan Tuan sekarang ini, Tuan masih boleh berikan kepada waris atau pengikut Tuan. " Bulu Lembut seorang yang berhati mulia kerana dia langsung tidak keberatan untuk memberikan roh hantu yang tidak ternilai itu kepada Shuhang.

'Teman wanita pun aku tak ada, macam mana nak ada keturunan?'

"Barang ini terlalu berharga dan saya tidak boleh terima!" Song Shuhang menjawab dengan serius. 'Dia bergurau ke? Mutiara ais ini ada roh hantu di dalamnya!'

Walaupun dia masih dalam keadaan separuh percaya dengan kata-kata Bulu Lembut, bagaimana sekiranya betul-betul ada hantu di dalamnya?

Dan bagaimana jika hantu itu keluar? Apa yang akan dia lakukan? Dia hanya seorang manusia biasa dan dia tidak tahu cara untuk melawan hantu. Dia pasti akan mati kerana semangatnya yang akan disedut oleh hantu itu!

'Patutkah aku terima hadiah ini?'

"Tuan mesti terima pemberian ini. Tuan telah banyak membantu saya semasa lawatan ke Tokong Lampu Berhantu ini! Sekiranya Tuan tidak menerima roh hantu ini, saya tidak berasa selesa dan ini akan memberi kesan kepada saya pada masa akan datang apabila saya pergi bertapa! " Bulu Lembut memujuk dengan bersungguh-sungguh sambil meletakkan 'manis ais pengikat roh' ke tangan Song Shuhang dengan keras dan tidak memberinya peluang untuk menolak.

Song Shuhang hanya berasa sejuk apabila manik itu menyentuh tangannya. Dalam cuaca panas seperti itu, seluruh tubuhnya terasa sejuk dan segar secara tiba-tiba. Sekiranya dia membawa 'mainan' ini semasa musim panas, ia sama seperti membawa penyaman udara ke mana sahaja dia pergi.

"Mari kita balik." Bulu Lembut tersenyum dan menyimpan barang yang diletakkan di sekitar makam ke dalam begnya dengan cepat. Kemudian dia bergerak untuk berdiri di sebelah Shuhang dengan wajah yang gembira.

Shuhang menyumbat 'manik ais pengikat roh' ke dalam sakunya. Oleh kerana pemberian ini diberikan oleh Bulu Lembut dengan niat yang baik, maka dia akan menerimanya! Lagipun manik ini telah dikunci, jadi ia tidak akan keluar buat masa sekarang, bukan?

Itulah yang dia fikir.

"Mari kita balik dan tidur. Kemudian, kita akan pergi ke stesen untuk menempah tiket bagi perjalanan pulang pada esok pagi dan bersedia untuk balik. " Song Shuhang bercakap.

"Baiklah." Bulu Lembut berasa gembira kerana dia telah menyelesaikan tugasannya dengan mudah di sini.

Kedua-duanya berjalan berdampingan dan melewati hutan kecil.

"Eh." Bulu Lembut tiba-tiba menjerit dan melihat kaki kirinya. Tanpa dia sedar, tapak kasut sebelah kirinya telah tercabut.

Kasutnya rosak kerana dia terpaksa mengejar dua roh hantu itu.

Song Shuhang berpusing ke belakang dengan perasaan bingung. "Hmm?"

"Kasut saya rosak." Bulu Lembut mengangkat kaki kirinya.

"Motosikal betul-betul berada di hadapan kita, saya akan membawa kamu ke sana. Saya juga masih ingat yang ada kawasan membeli-belah berhampiran hotel tempat kita menginap. Kita boleh pergi ke sana untuk melihat sama ada ada kasut untuk dijual." Song Shuhang ketawa dengan kuat.

Tidak lama selepas itu, motosikal yang mereka naiki itu mengaum dengan kuat sekali lagi semasa ia membawa mereka berdua meninggalkan Tokong Lampu Berhantu.

Bulu Lembut memegang beg besarnya sambil bersandar pada belakang Song Shuhang dengan kedua-dua sudut bibirnya tersenyum lebar kerana gembira.

❄️❄️❄️

Song Shuhang merasakan bahawa wanita pertengahan usia yang menjual kasut di tempat membeli-belah itu seorang yang berperwatakan dingin.

"Makcik, berapa harga sepasang sandal wanita ini?"

Wanita pertengahan usia itu mengerutkan keningnya dan bercakap dengan dingin. "40."

"Mahalnya, bolehkah jual pada harga 20?" Song Shuhang meminta diskaun tanpa berfikir panjang. Di tempat membeli-belah seperti ini, tidak salah sekiranya dia meminta untuk mengurangkan harga walaupun separuh.

"Boleh." Wanita pertengahan usia itu ketawa dengan nada dingin. "Kamu mahu kasut sebelah kiri atau kanan?"

"..." Shuhang

"Hahahahaha." Bulu Lembut yang berdiri di sebelahnya ketawa sehingga dia tidak dapat berdiri tegak.

Akhirnya, Shuhang membeli sepasang sandal untuk Bulu Lembut pada harga 40.

Mereka menaiki motosikal dan menuju ke hotel.

Dalam perjalanan, Song Shuhang bertanya dengan nada ingin tahu. "Saya sudah buat wanita pertengahan usia itu tersinggungkah? Mengapa saya merasakan bahawa dia sentiasa tersenyum dingin? Senyumannya malah membuat badan saya terasa sejuk. "

"Saya tidak tahu apa-apa!" Bulu Lembut tertawa nakal.

'Tuan, pengalaman Tuan dalam masyarakat manusia masih tidak cukup!' Dia berfikir.

Di kawasan membeli-belah itu, wanita pertengahan usia itu mendengus dengan bangga. "Aku hanya berusia 29 tahun 144 bulan. Berani dia panggil aku mak cik? Kau sepatutnya gembira kerana aku tidak menjual sepasang sandal pada harga 250. Hmph!"

❄️❄️❄️

Tokong Lampu Berhantu, makam.

Tidak lama selepas Song Shuhang dan Bulu Lembut berlalu pergi, satu bayang-bayang seorang lelaki berjalan keluar dari hutan itu. Dia menghela nafas dan mengeluarkan rokok, menyalakannya sambil menggeletar dan ketawa sterpaksa. Tawanya membuatkan orang merasakan kepahitan dan kepedihannya walaupun dari jauh.

Bayang-bayang itu tidak lain dan tidak bukan ialah bayang-bayang Mahaguru Altar yang aneh. Dia bersembunyi dalam kegelapan sambil menunggu peluang untuk muncul. Tetapi, peluang yang dia tunggu tidak muncul dan dia tidak dapat bergerak walaupun dia mahu.

Dari awal hingga akhir, dia tersembunyi di luar dan melihat Bulu Lembut dan Song Shuhang membawa roh hantu itu pergi tanpa dapat berbuat apa-apa.

Dia terfikir untuk merampas roh hantu itu tetapi dia tidak berani untuk bergerak.

avataravatar
Next chapter