webnovel

Pekerjaan Apa yang Boleh Beri Wang Pantas?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili menjeling Li De sebelum mengikut pegawai polis itu. Apabila tiba di balai polis dan melihat rakaman, Yu Lili melihat sebuah trak yang besar telah diparkir di hadapan CCTV itu dan hanya atap kereta Li De yang dapat dilihat.

Titik buta. Bermakna tiada bukti yang kukuh untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Yu Lili terkaku. Dia menonton rakaman itu dengan mata yang semakin kemerahan. Kemudian dia memandang pegawai polis yang duduk berhadapannya sebelum tiba-tiba berdiri dan berkata, "Bagaimana dengan satu lagi CCTV? Ia pagar yang besar, mustahil ada satu sahaja CCTV, bukan?"

"Ada di sebelah kanan bahagian bawah. Nampak?"

Satu lagi sudut lain hanya menunjukkan bahagian belakang kereta. Wajah Yu Lili semakin pucat. Dia terduduk di kerusi dan merasakan seluruh tubuhnya menjadi sejuk.

*****

"Encik Ou, ada berita dari ibu kota tentan Cik Yu."

Ou Ming sedang bekerja di sebalik timbunan dokumen. Mendenar kata-kata itu, tangannya terhenti tetapi dia tidak mengangkat wajahnya. "Cakaplah."

Setiausaha itu teragak-agak seketika sebelum menceritakan segala yang diketahuinya.

Selesai menceritakannya, dia berasa simpati terhadap Yu Lili lalu bertanya, "Tuan nak bantu dia?"

"Kamu rapat dengan dia?" Ou Ming tidak mengangkat kepalanya. Dia melemparkan satu dokumen ke tepi dan memandang setiausahanya itu sekilas. "Kalau kamu rapat dengan dia, kamu boleh bantu dia. Bukan urusan saya."

Setiausaha itu terdiam lalu menundukkan kepalanya. Bukan urusan dia? Itu wanita yang pernah tidur bersamanya. Kamu sungguh kejam, Encik Ou! Walau bagaimanapun, disebabkan bosnya berkata begitu, dia tiada sebab yang kukuh untuk memikirkannya.

Selepas mengambil dokumen yang telah selesai ditandatangani, dia memandang Ou Ming dan berkata, "Jadi, saya keluar dulu ya."

Mata Ou Ming tidak lari daripada dokumennya ketika dia mengangguk. Selepas setiausahanya itu keluar, Ou Ming mengangkat mukanya. Yu Lili, adakah perempuan itu sedang terdesak sekarang? Matanya tertancap ke arah telefon bimbitnya di atas meja. Dia tidak pernah menukar nombornya selama bertahun-tahun. Perempuan itu… pasti ingat, bukan?

*****

Yu Lili tidak tahu bagaimana dia pulang ke rumah. Fikirannya masih kosong ketika dia merebahkan dirinya ke atas katil. Dia memandang ke hadapan dan melihat dinding biliknya yang dipenuhi gambar. Gambar Ou Ming duduk, berdiri, ketawa, memeluknya, menciumnya. Dia telah merindui lelaki itu sejak empat tahun lalu. Tetapi dia tidak berani untuk berpaling lagi ke belakang atau mencari Ou Ming kembali. Dia lebih kenal Ou Ming daripada sesiapa sahaja. Lelaki itu tidak mungkin akan memaafkannya.

[Berambus! Jangan biar aku nampak kau di Kingstown lagi, atau aku akan upah orang untuk bunuh kau! Perempuan tak guna!]

Yu Lili berasa sebak dan melepaskan keluhan berat. Air matanya terus jatuh.

Seperti kata orang, apabila seseorang berada dalam keadaan yang sangat terdesak, perkara pertama yang ada dalam fikiran mereka adalah orang yang paling mereka bergantung kepadanya. Kata-kata itu ada benarnya. Walau bagaimanapun, pergantungan itu tidak boleh dikekalkan.

Yu Lili tidak tahu jam berapa dia tertidur. Apabila terjaga, dia melihat jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Sebaik melihat waktu di telefonnya, Yu Lili bergegas bangun kerana menyangka dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja. Namun seketika kemudian dia teringat yang dia sudah menjadi penganggur.

Dengan perasaan tidak berdaya, Yu Lili turun dari katilnya lalu mandi sebelum keluar mencari kerja. Kini dia mempunyai hutang yang sangat banyak dan amat memerlukan wang. Apa jenis pekerjaan yang boleh memberikannya wang secepat mungkin?