webnovel

Kacukan, Orang Asing!

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci turut senyum kembali ke arahnya dengan sopan. Tidak lama selepas itu, Cik Tang bangun dan Su Qianci melihat tubuhnya yang amat menarik. Kakinya panjang dan badannya berbentuk S. Dia masuk ke dalam restoran bersama jusnya. Su Qianci semakin yakin perempuan itu bukan Tang Mengying. Tang Mengying tidak begitu cantik semulajadi seperti itu. Mungkin mereka hanya mempunyai nama keluarga yang sama.

Apabila sudah menghabiskan jus masing-masing, budak-budak itu kembali berlari-lari di pantai. Su Qianci turut duduk bermain pasir bersama mereka dan membantu mereka membina istana pasir. Pada jam lima petang, mereka kembali ke hotel untuk makan. Makanan mereka dihidangkan dalam bentuk buffet. Ketiga-tiga kanak-kanak itu duduk di kerusi sambil menggoyang-goyangkan kaki dan menanti Mama serta Shuang Yu membawakan makanan.

Cheng dan De duduk di tepi sambil mengawasi mereka. Tiba-tiba mereka dapat merasakan seseorang sedang merenung ke arah kanak-kanak bertiga itu. Mereka duduk di meja bersebelahan sambil berjaga-jaga secara diam-diam. Seorang perempuan cantik datang ke arah meja tempat kanak-kanak itu duduk. Perempuan itu tersenyum cantik dan kelihatan baik.

Cheng dan De memandang satu sama lain lalu terus berdiri serentak dan pergi ke meja itu. Perempuan itu kelihatan tidak menjangkakan kehadiran pengawal peribadi di belakangnya. Dia duduk di sebelah Li Jianyue dan bertanya, "Adik kecil, apa nama kamu?"

Walau bagaimanapun, Li Jianyue telah menjadi semakin bijak di bawah ajaran Li Sicheng. Dia bertanya kembali, "Mak Cik perlukan apa-apa?"

"Mak Cik, tempat duduk itu dah ada orang," sampuk Li Jianqian. "Di belakang sana ada meja kosong. Sila pergi ke sana."

"Ya! Nanti Mama tak ada tempat untuk duduk kalau Mak Cik duduk di situ." Li Mosen turut mencelah.

Perempuan itu kelihatan agak malu apabila dihalau oleh ketiga-tiga mereka. Namun dia kelihatan terkejut apabila mendengar bahasa Cina yang fasih dari mulut Li Mosen. "Kamu semua ada ibu yang sama? Adik ini nampak macam kacukan. Mama atau Papa kamu orang asing?"

Kacukan! Orang asing! Sejak kecil lagi perkataan itu sering didengarinya dan seakan barah kepada Li Mosen. Sebaik mendengar perkataan itu, Li Mosen sudah tidak menjadi ramah lagi. Dia berkata dengan nada tegang, "Mak Cik, Mama saya mahu duduk nanti. Sila pergi."

Perempuan itu mendengus dan mahu berkata sesuatu, tetapi tiba-tiba satu tangan menepuk bahunya. Seorang lelaki yang tinggi dan sasa berada di belakangnya sambil memandangnya dengan pandangan merendahkan. Lelaki itu menariknya bangun dan menolaknya ke tepi.

Cheng membuat beberapa isyarat dengan tangannya. Perempuan itu tidak faham bahasa isyarat. Li Jianqian menjelaskan kepadanya, "Pak Cik Cheng cakap, mereka tak benarkan orang asing bercakap dengan kami. Harap maklum."

Tiada sesiapa sanggup dihalau sebegitu. Semakin ramai orang memandang mereka dan wajah perempuan itu bertukar pucat. Akhirnya dia pergi sambil menghentakkan kakinya. Apabila Su Qianci tiba, dia hanya melihat belakang perempuan itu. Bukankah itu Cik Tang tadi?

Su Qianci menjadi semakin berwaspada dan mengingatkan anak-anaknya, "Jangan bercakap dengan orang yang tak dikenali. Kalau ada orang tak dikenali dekati kamu semua, terus jerit kuat-kuat dan panggil Pak Cik Cheng, Pak Cik De dan Mak Cik Shuang Yu. Faham?"

Kanak-kanak bertiga itu mengangguk. Kejadian itu seperti angin yang berlalu. Kanak-kanak itu tidak begitu peduli tentangnya. Mereka mengambil sepotong ayam seorang dan mula makan.