webnovel

"Jadi itulah perkara yang sebenar." Salah seorang kawan Puan Li mengangguk tanda faham. "Nenek Mengying sudah uzur sekarang. Dia hanya ingin menjadi seorang budak baik yang tidak mengecewakan neneknya.

Tang Mengying menundukkan wajahnya, menunjukkan rasa bersalah dan kemudian tunduk kepada semua orang secara ikhlas. "Saya minta maaf kerana tidak menjelaskan perkara sebenar terlebih dahulu. Tetapi saya tidak bermaksud seperti itu. Saya memang bercadang untuk menjelaskan kembali nanti. Saya tidak tahu bahawa Su Qianci akan menjadi teramat… amat serius tentang perkara ini…"

"Betul. Memberi perhatian tentang perkara itu dengan terperinci, memang menjengkelkan," Puan Tang mencelah dan menyambung, "Keluarga Su tidak mengajar kamu dengan baik. Anak haram sememangnya begitu. Entah apa yang difikirkan oleh Kapten Li." Di matanya, Tang Mengying ialah orang yang sepatutnya berkahwin dengan Li Sicheng. 

Puan Li kelihatan tidak begitu gembira. Su Qianci tetap menantunya. Walaupun dia tidak menyukai gadis itu, Puan Tang turut menjatuhkan air mukanya dengan memarahi Su Qianci.

"Nampaknya kau ingin tahu apa yang aku fikirkan," satu suara penuh semangat tiba-tiba mencelah.

Semua orang terkejut dan melihat ke belakang.

"Encik Li."

"Kapten Li."

"Ayah..."

Seorang lelaki tua berjalan ke arah mereka semua. Dia berusia dalam lingkungan 60-an, tetapi badannya masih tegak dan pergerakan badannya kelihatan terlatih, seperti seorang askar yang ditugaskan di sempadan negara.

Dia adalah antara orang yang paling Su Qianci hormati, tuan besar di dalam rumah tersebut, iaitu kapten Li Xun.

Sebaik melihatnya, Su Qianci segera menegakkan badan. Ia sudah menjadi tabiat kebiasaannya. Su Qianci tidak mengetahui pergerakannya itu membuatkan renungan Li Sicheng kepadanya menjadi semakin tajam. 

Mendengar suara kapten Li, wajah Puan Tang yang montel berubah pucat. Merasakan suasana menjadi janggal, dia terus menjelaskan, "Tidak, Tuan Li. Saya berkata sedemikian tadi tanpa bermaksudkan apa-apa. Tolong jangan ambil serius. Bagaimana harus saya tahu apa yang Tuan fikirkan?

Su Qianci ketawa sinis dalam hatinya. Ketika berhadapan dengan Su Qianci, Puan Tang bersikap sungguh angkuh tanpa dapat mengawal dirinya. Tetapi apabila berhadapan dengan atuk, Puan Tang menjadi seorang yang pengecut. Sungguh berbeza!

"Tidak bermaksudkan apa-apa? Kau menghina cucu menantu yang merupakan pilihan aku sendiri. Kalau aku tidak kenal siapa kau, aku akan menyangka kau memang sengaja mahu mencari gaduh dengan aku." Nada suaranya sederhana, tetapi perkataannya sangat mendalam.

Kata-katanya itu serta-merta menakutkan Puan Tang. Apabila dia baru hendak memberi penjelasan, sepasang tangan telah menahannya. Tang Mengying menggenggam tangan ibunya dan berkata kepada Kapten Li, "Atuk Li, sudah lama kita tidak berjumpa."

Kapten Li melihat sekilas ke arahnya dan hanya mengangguk sebelum pandangannya jatuh kepada Su Qianci. Wajah tuanya tiba-tiba kelihatan gembira, lalu dia melambai ke arah Su Qianci, "Qianqian, datang sini dekat atuk."

Qianqian…

Sudah lama dia tidak mendengar panggilan itu. Semenjak dia diperangkap oleh Tang Mengying dan dituduh melakukan kebakaran, dia tidak pernah mendengar atuk memanggilnya sebegitu lagi.

Ia telah berlaku selama sekurang-kurangnya dua tahun!

Mata Su Qianci menjadi basah ketika dia pergi ke arahnya dan memanggil, "Atuk."

"Budak baik." Kapten Li tersenyum, menampakkan kedutan di wajahnya. Sikapnya saat itu sangat baik sehingga sukar untuk membayangkan dirinya sebenar ialah seorang kapten yang menggerunkan. "Kamu dapat tidur lena semalam? Kamu selesa tidur di rumah lama itu?"

Su Qianci menganggukkan kepala dengan patuh seperti seekor anak kucing.