webnovel

Terbongkar di Khalayak Ramai (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Suara Puan Li kedengaran dingin. Tetapi sukar untuk tahu sama ada kata-katanya ditujukan kepada Su Qianci atau Puan Tang. Liu Sao mengangguk dan beredar untuk memanggil Li Sicheng.

Apabila Sicheng keluar, dia hanya memakai sesuatu yang ringkas. Baju T-shirt kelabu yang berleher V dan seluar putih membuatkan dia kelihatan lebih tinggi dan segak. Di dalam matanya umpama ada sebuah galaksi. Dia mengetap bibirnya dan berjalan ke hadapan.

Melihat semua orang terdiam, dia mengangkat keningnya dan memandang ke arah Tang Mengying tanpa sedar, dan berkata, "Apa yang sedang terjadi?"

Tabiat lamanya sukar dibuang. Dia tidak pernah memandang Su Qianci terlebih dahulu, tetapi Tang Mengying. Su Qianci merasa semangatnya menghilang, tetapi dia terus menyedarkan dirinya semula.

Tang Mengying kelihatan kecewa dan cuba untuk berkata sesuatu. Namun sebelum dia membuka mulut, Puan Li memanggil Li Sicheng dan berkata, "Li Sicheng, datang sini dan lihat sulaman ini. Apa maksudnya?"

Li Sicheng menarik semula pandangannya dan terus berjalan ke hadapan, menjeling ke arah Su Qianci tanpa sedar. Melihatkan wajah yang sedang muram dan kecewa itu, dia merasakan Su Qianci amat cantik, walaupun tidaklah secantik Tang Mengying. Jelingannya hanya sementara sebelum matanya difokuskan pada kolar qipao itu.

"Bagitahu ibu, adakah ini bahasa Arab?"

Dia mengangguk dan berkata, "Ya, ini adalah bahasa Arab. Ia bermaksud kebahagiaan."

Sebaik sahaja dia berkata demikian, Su Qianci terus menangis dengan hiba. Pada masa yang sama, wajah Puan Tang berubah menjadi pucat.

Wanita-wanita tersebut berpandangan antara satu sama lain dan merasa kasihan terhadap Su Qianci. Tetapi pandangan yang mereka lemparkan kepada Puan Tang dan Tang Mengying lebih rumit untuk difahami.

"Apa yang sedang berlaku?" Li Sicheng masih lagi tidak tahu apa yang telah terjadi. Apabila dia melihat wajah Su Qianci dibasahi air mata, dia mengerutkan bibirnya sedikit.

Su Qianci menyedari pandangan mata Li Sicheng dan mendongak. Secara tiba-tiba, mata mereka saling bertentangan. Mata lelaki itu sentiasa dingin dan dalam. Dia tidak pernah melihat mata sesiapa yang dingin dan tenang seperti itu. Seolah-olah jika sebuah gunung runtuh di hadapannya sekalipun, dia tidak akan bergerak. Walau apapun yang Su Qianci lakukan, Li Sicheng tetap bersikap tenang dan penuh misteri.

Mata itulah antara yang membuatkannya jatuh cinta dan akhirnya menderita pada kehidupannya yang lalu. Tetapi, dia tidak mungkin akan mengulanginya semula. Dia tidak akan mencintai lelaki itu lagi pada kehidupan ini. Sambil mengelakkan renungan tajamnya, Su Qianci bertanya kepada Puan Tang, "Puan Tang, puan tidak rasa yang puan perlu minta maaf?" 

Puan Tang kelihatan tidak gembira, tetapi Tang Mengying yang sedang berdiri di belakangnya berjalan ke hadapan dan berkata kepada Puan Tang, "Maafkan saya, ibu. Saya telah berbohong."

Sebaik sahaja anaknya meminta maaf, wanita itu terus berteriak seakan tidak percaya.

Puan Li juga jelas terkejut. Dia tidak percaya bahawa Tang Mengying sanggup melakukan perkara sebegitu.

Rasa bersalah jelas terpancar pada wajah Tang Mengying. Dia berkata, "Nenek ialah seorang tukang jahit yang terkenal sewaktu dia muda. Dia berharap saya dapat menjahit dengan tangan sehelai qipao untuk makcik. Tapi saya telah berada bertahun-tahun di luar negara yang menyebabkan saya terlupa apa yang telah diajar oleh nenek. Apabila pulang ke rumah, saya hanya berpura-pura untuk nenek. Saya tidak sedar perbuatan saya ini akan mengelirukan kamu. Pada mulanya, saya bercadang untuk membiarkan dahulu dan menerangkan kepada kamu dan makcik kemudian. Tetapi Su Qianci..."

Next chapter