webnovel

Ajakan Salji Lembut membuatkan kedua-dua Zhao Yueru dan Xiao Yue'er memberikan sepenuh perhatian.

Kekuatan Shi Feng sememangnya hebat. Namun, mereka tidak pernah melihat aksi Shi Feng depan mata, oleh itu mereka sangat teruja untuk mengetahui kebolehannya yang sebenar. Mereka mahu melihat sendiri kekuatan yang telah diperkatakan tentang Ketua Penempa dalam Kerajaan Bintang-Bulan.

"Baiklah! Selamat menyertai kumpulan kami, Abang Long Api Hitam! Ahli kumpulan kami semuanya hebat belaka, jadi kecekapan menaikkan tahap pasti lebih lancar," Xiao Yue'er berkata dari sisi.

Zhao Yueru merenung Xiao Yue'er. Gadis ini telah membuka mulut sebelum sempat dia melakukannya.

Xiao Yue'er berselindung di belakang Salji Lembut, dengan comel menjelirkan lidahnya pada Zhao Yueru.

Zhao Yueru menghentakkan kakinya dengan geram, menyebabkan dadanya bergoncang. Jika bukan disebabkan kehadiran Api Hitam, dia sudah tentu mengajar budak kecil ini sekarang juga.

Walaupun gadis-gadis cantik meminati kekuatan Shi Feng, lagi dua orang pemain lelaki juga berkobar-kobar semangat mereka. Apa yang dimiliki Shi Feng sehingga dapat menarik perhatian gadis-gadis jelita ini? Tiba-tiba, satu semangat untuk bersaing dengan Shi Feng mula membakar dalam hati mereka. Mereka melihat Shi Feng dengan riak wajah yang mencabar, tidak percaya yang mereka tidak setanding dengan Shi Feng.

Berkenaan jelingan mencabar ini, Shi Feng langsung tidak mempedulikan mereka. Dia berkata dengan nada yang lembut, "Terima kasih kerana niat yang baik itu, Cik Salji. Namun, saya masih mempunyai Misi yang perlu diselesaikan, jadi saya tidak boleh menaikkan tahap dengan kamu semua."

"Misi?" Salji Lembut sedikit terkejut. Tempat ini merupakan kawasan Raksasa Tahap 8, oleh itu dia sangat tertanya-tanya tentang Misi yang sedang dijalankan oleh Shi Feng. Walau bagaimanapun, mengorek rahsia orang sangat tidak bermaruah, oleh itu dia berkata dengan formal, "Baiklah, kami tidak akan mengganggu kamu lagi. Jika kamu memerlukan sebarang bantuan, panggil sahaja kami. Walaupun kami tidak tahu seberapa besar pertolongan yang boleh kami hulurkan, tetapi kami masih akan cuba membantu kamu sehabis baik."

Shi Feng tersenyum lembut sewaktu mendengar tawaran Salji Lembut itu. Memang bagus ada orang yang sanggup memberikan pertolongan. Bukan satu tugas yang mudah untuk masuk ke dalam Kubu Keluli Barrutia. Akan ada raksasa yang mengawal di sana dan Shi Feng akan mengambil masa yang lama untuk menguruskan semua raksasa itu bersendirian. Jika ada kumpulan yang kuat membantunya, dia pasti dapat menjimatkan banyak masa.

"Baguslah! Saya perlu pergi ke suatu tempat. Namun, banyak raksasa di sana, oleh itu agak sukar untuk saya masuk seorang diri. Bolehkah kamu membantu saya membersihkan kawasan tersebut?" Shi Feng memohon.

Sudah tentu, Salji Lembut sekarang ini sedang memikirkan jalan untuk merapatkan lagi hubungan antara mereka. Tidak terlintas di benak fikiran Salji Lembut yang Shi Feng akan meminta pertolongan mereka. Salji Lembut dengan cepat membalas, "Baik, saya akan masukkan kamu dalam kumpulan. Kamu pimpinlah jalan."

Shi Feng menerima ajakan tersebut lalu masuk ke dalam kumpulan Salji Lembut.

Di bawah pimpinan Shi Feng, sekumpulan pemain itu dengan pantas tiba di tengah-tengah kawasan Gaung Physis.

"Kita akan tiba selepas melalui hutan ini. Namun, bilangan Orang Burung di sini sangat banyak. Mereka tinggal di atas pokok dan sukar untuk dikesan, oleh itu kamu perlu peka dengan Orang Burung yang terbang menjunam ke arah kita pada bila-bila masa. Jika mereka berjaya menangkap kamu dengan kuku kakinya, mereka akan bawa kamu tinggi ke atas kemudian mencampak kamu sampai mati," Shi Feng memberi maklumat sambil berjalan.

"Itu cuma beberapa Orang Burung. Apa yang perlu ditakutkan? Lihat sahaja bagaimana kami uruskan Orang Burung ini," Pahlawan Perisai dari kumpulan itu menepuk dada, bercakap dengan nada yang megah.

Shi Feng tidak berkata apa-apa, hanya mengalihkan dedaun pokok yang mengganggu laluannya.

Namun, Salji Lembut tidak cuai. Sebaliknya, dia mengarahkan, "Semua orang, tumpukan perhatian kepada kawasan udara. Lindungi penyembuh."

"Baik!"

Dua orang pemain lelaki tadi terus bertukar serius, tidak berani lagi untuk bersikap cuai. Mereka mengawal ketat Xiao Yue'er. Selagi Xiao Yue'er selamat, dia mampu menghidupkan mereka semula selepas lari dari medan pertempuran. Dengan cara itu, EXP dan kehilangan kecekapan kemahiran dapat dikurangkan.

Seperti yang dijangka, tidak lama kemudian, empat Orang Burung berbulu pelepah putih turun dari puncak pokok. Kuku kakinya yang tajam di kedua-dua belah kakinya dihalakan pada mereka dengan kelajuan yang tinggi, seakan-akan sang helang yang sedang memburu mangsanya, lalu menangkap Renjer lelaki dengan pantas. Ahli kumpulan yang tinggal itu segera bertindak, ada yang menggunakan senjata mereka untuk menahan kuku kaki itu dan ada yang terus mengelak sewaktu diserang.

"Hapuskan mereka! Yueru, serang Orang Burung yang tangkap Lagu Kecil! Yue'er, tunggu di belakang!" Salji Lembut berteriak memberikan arahan. Dia menggunakan Belahan Taufan kepada dua Orang Burung; namun, kedua-dua Orang Burung tersebut bertindak dengan pantas, mengelak serangan itu dengan terbang ke atas. Berikutan itu, Salji Lembut menggunakan Rempuh, berlari untuk menyelamatkan Renjer yang bernama Lagu Kecil itu.

Walaupun pisau belati berkembar yang ada dalam genggaman Lagu Kecil terus dihayunkan, namun kuku kaki Orang Burung itu terlalu keras. Tidak kira apa yang dilakukannya, dia tidak mampu meleraikan cengkaman kuku kaki yang menggenggam erat bahunya. Walaupun dia mahu menyerang Orang Burung itu secara terus, akan tetapi posisi badannya menjadi penghalang untuk dia mendaratkan sebarang serangan pada badan Orang Burung itu. Dia hanya mampu menggeletar sewaktu diangkat jauh ke atas.

Zhao Yueru menggunakan Letupan Api pada sayap Orang Burung Tahap 9 itu, memberikan kemusnahan sebanyak -53 mata. Api itu terus membakar beberapa helai bulu pelepah Orang Burung itu, membuatkannya jatuh dari langit. Salji Lembut sudah pun menunggu di bawah sewaktu Orang Burung itu mendarat. Dia mencekik dengan kuat leher Orang Burung itu, lalu mencampakkan Orang Burung tersebut dengan mangsanya sekali dan mengakibatkan -61 kemusnahan.

Sewaktu berhadapan dengan Orang Burung Tahap 9, Salji Lembut dan Zhao Yueru masih dapat memberikan kemusnahan yang besar walaupun terdapat perbezaan 4 Tahap antara mereka dengan Orang Burung.

Orang Burung yang cedera itu kelihatan menyedihkan. Namun, Orang Burung mempunyai 1,000 HP. Dengan kemusnahan sebanyak ini langsung tidak mencukupi. Dia akan kembali sembuh selepas menyapu ludah pada lukanya.

Tambahan pula, inilah kali pertama Salji Lembut dan yang lain berhadapan dengan corak serangan raksasa terbang. Mereka tidak tahu sebarang corak serangan dan teknik pertempuran yang berkesan.

Walaupun kumpulan Salji Lembut berjaya menyelamatkan Renjer tersebut, mereka masih dalam keadaan bahaya berhadapan dengan empat lagi Orang Burung yang sedang terbang melayang di udara. Selain daripada Salji Lembut dan Zhao Yueru, yang mana dapat memberikan kemusnahan melebihi 50 mata kepada Orang Burung itu, kemusnahan yang dikeluarkan oleh Renjer dan Pahlawan Perisai langsung tidak mencecah angka 20. Namun, bukan disebabkan mereka lemah, tetapi disebabkan Orang Burung memakai Perisai Kulit; Pertahanan yang dimiliki bukannya rendah. Ditambah pula dengan kekangan tahap, dua pemain lelaki itu tidak mampu memberikan kemusnahan yang mencukupi.

"Apa yang budak hingusan ini buat? Dia masih belum melakukan sebarang serangan. Dia hanya melihat dari tepi. Adakah dia ini harimau kertas?" Pahlawan Perisai, tidak mampu lagi berdiri kaku dan melihat sahaja, terus memperlekehkan Shi Feng dengan suara yang perlahan.

Namun, baru sahaja Pahlawan Perisai itu habis berkata-kata, Shi Feng terus memulakan langkah.

Dengan lonjakan yang besar, Shi Feng melompat melepasi tiga batang pokok lalu tiba di puncak pokok. Sekarang Shi Feng telah mempunyai Ketangkasan sebanyak 40 mata, dengan tambahan nilai daripada Kemahiran Tersembunyi, Langkah Terbang, dia mampu melonjak ke atas puncak pokok dengan senang seperti seorang pakar seni mempertahankan diri. Pedangnya menetak pada Orang Burung yang sedang terbang di udara, satu demi satu.

Setiap tetakan daripada pedang Shi Feng memberikan kemusnahan sebanyak -160 mata, sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah yang Salji Lembut dan yang lain hasilkan.

Perkara ini membuatkan Pahlawan Perisai dan Renjer itu terdiam kaku dengan tiba-tiba.

Xiao Yue'er melihat Shi Feng yang melompat dari satu pokok ke pokok yang lain dengan muka yang kagum, kedua-dua biji matanya berkilauan dengan terang sekali.

Zhao Yueru turut terpesona. Api Hitam bukannya seorang yang bergantung pada nasib semata-mata.

Hanya Salji Lembut yang masih bertenang. Namun, cara Shi Feng bertarung memberikannya sedikit pencerahan. Dia merasakan yang cara pertempurannya sebelum ini kurang fleksibel, tidak mampu menyesuaikan dengan keadaan semasa. Akan tetapi, dia tidak patut disalahkan. Permainan maya yang lain tidak mengandungi gaya pertempuran yang fleksibel. Tidak mudah untuk dia berubah dalam jangka masa yang pendek.

Selepas beberapa ketika, empat Orang Burung yang terbang melayang di udara jatuh mati. Badan mereka terjatuh dengan keras sekali di atas tanah, menjatuhkan beberapa Syiling Tembaga dan Bulu Pelepah Ringan.

"Mari bergerak." Shi Feng menyarung kembali pedangnya selepas mendarat. Dia kemudiannya berjalan mengikuti haluan asalnya untuk sampai ke destinasi.

"Abang Long Api Hitam, jangan jalan cepat sangat! Ajarkan saya macam mana mahu berlawan seperti itu, boleh?" Xiao Yue'er mengejar Shi Feng dengan teruja, memeluk lengan Shi Feng sambil menggoyangkannya.

"Budak kecil! Baru sekejap sahaja kau telah cari masalah! Bukankah Abang Api Hitam sudah cakap? Kau tidak sesuai untuk itu!" Zhao Yueru menarik Xiao Yue'er, menghembus api kemarahan. Tanpa sedar, cara dia bercakap mengenai Shi Feng telah berubah, tiba-tiba menjadi makin akrab.

Next chapter