Topeng Iblis mampu menyembunyikan identiti pengguna. Di Kawasan Tuhan, tentu bermasalah jika Shi Feng mendedahkan dirinya dalam pelbagai hal. Namun, dengan Topeng Iblis, dia akan dapat membawa identiti lain untuk bergerak dalam kegelapan, melaksanakan pelbagai tugas yang dirinya sendiri tidak dapat jalankan.
Dan sekarang merupakan salah satu masa yang sesuai.
Setelah berjalan keluar dari Hotel, Shi Feng memerhatikan kawasan sekelilingnya. Dia mendapati beberapa pemain berkelakuan aneh. Mata-mata mereka terlekat pada pintu masuk Hotel seolah-olah mereka menunggu sesuatu. Namun, akibat kesan-kesan Topeng Iblis, pemain-pemain ini tidak mempedulikan Shi Feng langsung.
"Kenapa budak itu tak keluar lagi? Ingat nak duduk situ lama-lama sampai Nama Merahnya tukar balik?" kata seorang Pembunuh Hendap di luar pintu masuk Hotel dengan tidak sabar.
"Kau kenapa kelam-kabut? Budak tu mesti mati. Berani dia serang hendap Bos Pedang Besi. Ramai pula adik-adik kita yang dia bunuh. Permusuhannya dengan Kesatuan Pertahanan sudah sampai tahap yang tidak dapat didamaikan. Aku cuma nak tengok berapa lama dia boleh sembunyi. Kalau dia bodoh-bodoh tunggu sini dan bukan membunuh makhluk untuk membersihkan namanya, dia kena tunggu lebih tiga puluh jam sebelum Nama Merahnya lenyap. Biar dia kuat mana sekalipun, selepas tiga puluh jam sudah berlalu, peralatan dan tahap kita pasti jauh melepasinya. Pada saat itu, mesti senang untuk bunuh dia kembali ke Tahap 0," kata seorang Pembunuh Hendap yang lain sambil menyeringai.
Sementara mereka semua mengutuk Shi Feng, mereka tidak menyedari sasaran mereka sedang berdiri sebelah mereka, dan dia mendengar setiap butiran perbualan mereka.
Kesatuan Pertahanan memang cepat ambil tindakan. Mereka betul-betul memandang aku tinggi kalau mereka menghantar sekumpulan Pembunuh Hendap untuk mencariku. Malangnya, aku tiada masa untuk main-main dengan mereka. Aku akan tunggu sehingga langit menjadi cerah.
Shi Feng telah lama meneka Singa Pedang Besi tidak akan melepaskannya. Manakan tidak, Shi Feng telah bertembung dengan Singa Pedang Besi banyak kali dalam hayat lampaunya. Dia mempunyai kefahaman yang sangat mendalam tentang perangai Singa Pedang Besi; dia pasti mahu membalas dendam. Walaupun dia harus menanggung kesan yang parah, selagi dia membalas dendam, dia pasti akan melakukannya. Lebih-lebih lagi, dia akan membalasnya balik beribu kali ganda.
Kalau hendak digambarkan dengan cara baik, Singa Pedang Besi seorang lelaki yang mudah. Kalau digambarkan dengan buruk pula, Singa Pedang Besi merupakan seorang yang berfikiran sempit. Orang lain mudah mengenal pasti fikirannya.
Berikutan itu, Shi Feng beredar dari Hotel dengan perasaan santai. Sementara itu, kumpulan Pembunuh Hendap itu masih bodoh-bodoh menunggu di depan pintu masuk Hotel. Mereka mengejek sifat pengecut kerana dia hanya berani bersembunyi dalam Hotel. Akhirnya, maut masih menunggunya.
Di Kawasan Perdagangan, lautan pemain berkerumun di hadapan Rumah Lelong. Shi Feng tidak dapat menghimpit ke dalam sekalipun untuk membeli bahan-bahan. Tanpa pilihan yang lebih baik, Shi Feng hanya boleh menyerah buat masa sekarang dan melawat Persatuan Chef untuk melihat perkembangan Awan Ungu terlebih dahulu.
Berbanding Kesatuan Penempaan yang kini popular, Persatuan Chef kosong sepenuhnya. Hanya ada segelintir pemain Gaya Hidup yang sedang keluar masuk Persatuan tersebut.
Tiba di Dapur, Shi Feng mendapati perhatian Awan Ungu kini tertumpu pada membancuh Jus Oren. Pergerakan tangannya pantas yang luar biasa dan berpengalaman. Dia kini juga Tahap 3, melepasi ramai pemain Gaya Hidup yang lain.
Walaupun Shi Feng telah menyaksikan ramai Pakar Chef membancuh minuman sejuk sebelum ini, tiada satu pun langkah mereka yang licin dan semula jadi seperti Awan Ungu. Benar-benar sukar untuk percaya mengapa Awan Ungu berkata kelajuan pengeluarannya sangat lembap. Kelajuannya amat menakjubkan. Apakah Awan Ungu telah menipunya dengan sengaja?
Shi Feng menggeleng kepalanya. Dia merasa Awan Ungu tiada sebab untuk berkata demikian. Justeru, dia menghampirinya dan bertanya dengan tiba-tiba, "Ungu, awak apa khabar?"
Namun, soalannya seolah-olah tidak memasuki telinga Awan Ungu; dia masih memberi sepenuh perhatian pada pembancuhan Jus Orennya. Tiada perkara lain yang wujud dalam hatinya.
Melihat betapa fokusnya Awan Ungu, Shi Feng sedikit terkejut. Dia tidak lagi cuba mengganggu Awan Ungu dan sebaliknya, memilih untuk berdiri di sisinya dan memerhatinya.
Setelah lebih sepuluh minit berlalu, Awan Ungu masih belum menyedari kehadiran Shi Feng. Sementara itu, dia telah pun membancuh lebih sepuluh cawan Jus Buah-Buahan. Jus Buah-Buahan ini kelihatan sangat menyegarkan dan mengeluarkan bau wangi yang memerangkap hati.
Setelah menghabiskan bahan-bahan dalam tangannya, sebaik sahaja Awan Ungu berniat untuk pergi mendapatkan lagi…
"Ah!"
Awan Ungu melompat kerana terkejut sebaik sahaja menyedari bosnya, Shi Feng, sedang berdiri di belakangnya. Dia kelihatan seperti sudah menunggu lama.
Hati Awan Ungu menjadi cemas sambil risau kerana telah membiarkan bosnya menunggu begitu lama. Dia berkata dengan nada cemas sambil menundukkan kepalanya, "Tuan."
"Sudah siap ke sembilan ratus cawan Jus Buah-Buahan itu?" tanya Shi Feng sambil tersenyum. Penilaian Shi Feng terhadap Awan Ungu mendadak pada saat itu.
Namun, Awan Ungu memiliki fokus yang luar biasa. Apabila menjalankan sesuatu tugas, keberkesanannya pasti meningkat berkali ganda, melakukan setengah kerja untuk kesan dua kali ganda. Tidak hairanlah mengapa dia mampu menjadi seorang Tuhan Paderi akhirnya. Biarpun dia bukan seorang Paderi sekalipun dan memegang Pekerjaan yang lain, pencapaian-pencapaiannya tentu masih hebat.
"Em, semua sudah siap. Namun, saya mendapat satu kesedaran ketika membancuh sebelum ini. Selepas menghabiskan banyak bahan, saya telah mencipta sejenis Jus Buah-Buahan baru. Tuan tak akan salahkan saya ya, Tuan?" tanya Awan Ungu, sedikit takut. Lagipun, dia tidak menjalankan tugasnya berdasarkan syarat-syarat Shi Feng. Setelah selesai membancuh sembilan ratus cawan Jus Buah-Buahan, dia meneruskan dengan resepi-resepi lain.
Shi Feng ketawa dengan tidak sengaja. Melihat ratusan cawan Jus Buah-Buahan pada meja, dia berkata dengan bersemangat, "Kenapa saya akan menyalahkan awak? Lebih daripada itu, saya mahu memberi ganjaran. Dengan Jus Buahan-Buahan, saya akan lebih berkeyakinan apabila melakukan tugas saya ini. Sini ada 3 Syiling Perak sebagai ganjaran. Saya berharap awak boleh membawa lebih banyak ciptaan baru kelak. Bagi saham awak dalam jualan Jus-Jus Buah-Buahan ini, saya beri selepas saya jual.
"Bagi Jus-Jus Buah-Buahan pula, awak tidak perlu membancuh lagi buat masa sekarang. Lepas ini, fokus pada membikin Hidangan Daging Serigala. Saya masih mempunyai keperluan untuknya."
Kini, pemain-pemain tidak menganggap Daging Serigala sebagai bernilai. Namun, setelah ia ditukarkan kepada Hidangan Daging Serigala, harganya boleh dinaikkan sebanyak sepuluh kali ganda. Peningkatan sebegini disebabkan setiap Pekerjaan akan menaikkan Atribut utama sebanyak 5 mata selepas memakan Hidangan Daging Serigala dan bertahan selama satu jam.
Peningkatan sebegini sangat menarik buat kebanyakan pemain. Peningkatan bersamaan meningkat tahap, dan dengannya, mereka mampu membunuh makhluk dengan lebih pantas. Cuma, setelah menilai kos pembikinan, kebanyakan pemain Chef tidak terlalu mempedulikan hidangan yang kosnya tinggi sebegitu. Namun, sebaik sahaja mereka memberikannya perhatian, mereka telah pun rugi satu peluang keemasan.
"Terima kasih, Tuan. Saya pasti akan selesaikan tugas saya." Keterujaan dan perasaan berterima kasih mengisi air muka Awan Ungu setelah dia menerima 3 Syiling Perak tersebut. Dia merasakan dia benar-benar bertuah kerana dapat berjumpa dengan Shi Feng. Jika tidak, dia masih perlu menjalankan jualan di jalanan, hanya untuk berakhir dengan menjual beberapa biji cawan. Jika dia bertitik peluh selama seminggu penuh, dia tidak akan dapat memperoleh 3 Syiling Perak. Akan tetapi, dia sudahpun meraih hasil sebanyak itu dengan hanya usaha sehari.
Berikutan itu, Shi Feng menyimpan kesemua Jus Buah-Buahan tersebut dalam begnya. Terdapat lebih 1,700 cawan dan jika sebiji cawan dijual pada 1 Syiling Tembaga, hasilnya akan sampai 17 Syiling Perak. Pada seorang pemain sederhana, jumlah tersebut pasti merupakan bilangan wang yang banyak. Pada Shi Feng pula, bilangan tersebut merupakan saki-baki semata-mata. Namun, Shi Feng tidak berniat untuk menjual kerana dia mempunyai kegunaan yang lain bagi produk-produknya.
Sistem: Rekaan Penempaan Plat Dada Berkerdip yang telah anda letak untuk lelongan telah pun dijual. Selepas menolak yuran pemprosesan, jumlah 2 Emas 76 Perak telah ditambahkan kepada ruang beg anda.
"Perikatan Pembunuh Hendap sudah menang?" Shi Feng menaikkan forum rasmi. Seperti yang dijangka, Perikatan Pembunuh Hendap memaparkan sebuah thread yang mengiklankan Rekaan Penempaan pembelian mereka dengan luas dan mengambil peluang untuk memperluas kemasyhuran dan pengaruh mereka.
Lagipun, kemampuan membeli Rekaan Penempaan menunjukkan latar belakang Kesatuan tersebut. Hal ini bakal menyebabkan ramai pemain biasa untuk memikirkan semula anggaran mereka tentang kekuatan Perikatan Pembunuh Hendap.
"Ungu, kalau awak mahu menukar Syiling awak dengan Kredit, tunggu lagi sejam dua sebelum mendaftarkannya pada Pusat Perdagangan Maya. Begitu, awak boleh memperoleh harga yang lebih tinggi," Shi Feng mengingati Awan Ungu selepas berfikir sejenak.
"Mmhmm." Awan Ungu mengangguk patuh. Walaupun dia tidak memahami niat Shi Feng, dia masih memilih untuk mempercayainya. Lagipun, Shi Feng kini merupakan penyelamatnya.
Selepas itu, Shi Feng memberi Awan Ungu lagi 5 Syiling Perak untuk membeli bahan-bahan keperluan untuk Hidangan Daging Serigala. Dia kemudian beredar dari Persatuan Chef, penampilannya berubah menjadi seorang lelaki warga emas.
"Sudah sampai masa aku panggil dia," Shi Feng telah pun melakukan kesemua persediaan yang diperlukan. Lebih-lebih lagi, Perikatan Pembunuh Hendap telah menyebabkan Kesatuan-Kesatuan yang lain mula cemas. Jadi, sekarang merupakan masa yang terbaik untuk menghubungi orang itu.
Shi Feng memanggil Tingkap Rakannya dan mencari Dewi Salji, senyuman licik muncul pada mukanya.