Di kawasan teras Padang Kuruk, boleh dilihat segerombolan Anak Singa Grassland yang berada di jarak sekitar setiap seratus meter. Jika posisi suatu kumpulan lari sedikit, mereka bakal mengambil perhatian Anak Singa Grassland. Tambahan pula, pada pokok yang rimbun yang berada di tengah-tengah padang itu, seekor Singa Grassland Elit Tahap 6 sedang berkeliaran. Tempat itu boleh dikatakan kawasan larangan bagi pemain Tahap 6.
Namun, di dalam kawasan larangan ini, kumpulan Salji Lembut sedang menyapu bersih Anak Singa Grassland Tahap 6 yang berada di sekitar kawasan. Mereka membunuhnya bertujuan untuk memudahkan tujuan mereka yang utama iaitu membunuh Singa Grassland Elit. Jika pemain biasa melihat perbuatan mereka yang berani itu, mereka sudah tentu memuji kumpulan Salji Lembut dengan penuh rasa kagum.
Satu kumpulan berani mencari nahas berlawan dengan lebih sepuluh ekor Anak Singa Grassland.
Sambil memakai baju perisai, Salji Lembut bertarung dengan gagah sekali. Dia seperti seorang Dewi Perang, yang berhadapan dengan sepuluh ribu musuh berseorangan. Satu tetakan yang ringan daripadanya telah melayangkan tiga Anak Singa Grassland. Pada masa yang sama, dia mengelak cakaran daripada lagi dua Anak Singa yang masih hidup. Jika seorang pakar melihat pertarungan Salji Lembut, boleh terkeluar biji mata mereka. Walaupun tetakannya itu nampak biasa sahaja, dia telah menyasarkan titik kelemahan ketiga-tiga Anak Singa Grassland itu tadi. Cara dia mengelak juga sangat kemas. Dia seolah-olah mempunyai sepasang mata di belakang kepala. Tanpa menoleh ke belakang, dia boleh mengelak cakaran yang datang dari arah belakangnya.
Di kawasan lain, Ahli sihir Api, Zhao Yueru, menyerang seperti meriam artileri. Satu Letupan Frostflame telah meragut sepertiga HP Anak Singa Grassland. Sewaktu Anak Singa Grassland menukar Kebenciannya dan baru sahaja ingin meluru ke arah Zhao Yueru, perempuan itu menampakkan satu senyuman yang kejam. Sambil mulutnya membaca baris terakhir mantera, tangannya yang seputih pokok lily siap menulis ayat-ayat jampian. Berikutan dengan itu, satu naga api muncul. Naga itu meludahkan api yang marak dan terus membakar Anak Singa Grassland yang sedang menuju ke arah Zhao Yueru.
Kawalan magis Zhao Yueru sangat sempurna, mencapai kemuncak kuasanya. Jampian dan teknik menyasarnya sangat menakjubkan. Kebiasaannya, pemain memerlukan 3 saat untuk melakukan kedua-dua perbuatan itu, tetapi Zhao Yueru hanya memerlukan 1.6 saat. Kadar Penyempurnaan juga pada 86%, menambahkan kemusnahan Ngauman Naga Api sebanyak 120%. Pergerakan solo ini dengan sekelip mata dapat mengurangkan dua pertiga daripada HP Anak Singa Grassland.
Beberapa saat kemudian, lebih daripada sepuluh Anak Singa Grassland gugur di atas tanah.
"Berehat sebentar dan bersiap sedia untuk mengumpan dua ekor Singa Grassland Elit di sana. Pahlawan Perisai, kau akan menahan satu, manakala aku akan uruskan satu lagi," selepas mengutip semua harta rampasan, Salji Lembut memerintahkan kumpulannya sambil melihat ke arah dua Singa Grassland Elit yang sedang berada jauh di hadapan mereka.
Semasa semua ahli kumpulannya sedang berehat, Salji Lembut menerima satu mesej yang ditanda dengan nama 'Api Hitam'.
Melihat pada tanda ini, kening Salji Lembut dikedutkan sedikit. Sebelum ini, dia pernah mengatakan yang dia mahu berbincang dengan penempa Api Hitam untuk bekerjasama. Tidak lama selepas itu dia terus mendapat mesej. Pada mulanya dia berasa gembira dengan mesej yang diterima itu. Namun, selepas beberapa ketika, dia menerima satu lagi mesej-mesej yang sama. Semuanya mengaku yang mereka ialah Penempa Api Hitam. namun, selepas bertanyakan sedikit soalan dan pengenalpastian, dia mendapat tahu yang kesemua pemain itu adalah palsu. Setiap daripada mereka ingin mengikis hartanya.
"Salji, adakah itu satu lagi mesej gangguan? Apa kata kamu membuat tetapan hanya menerima mesej daripada kawan-kawan sahaja. Dengan cara itu, mesej-mesej ini tidak akan mengganggu kamu lagi." Zhao Yueru mencadangkan selepas melihat kelakuan Salji Lembut yang tidak keruan itu.
Salji Lembut menganggukkan kepalanya, berkata dengan nada yang serius, "Aku masih tidak berkawan dengan Penempa Api Hitam. Jika Penempa Api Hitam yang asli ingin menghubungi kita dan kita tidak dapat menerima mesej daripadanya, tidakkah menjadi suatu kerugian menghantar bebenang tersebut? Saya akan terus melihatnya. Walau apa pun, senang sahaja untuk mengenalpasti yang mana satu Penempa Api Hitam yang sebenarnya."
Walau bagaimanapun, Salji Lembut tiba-tiba terpaku sewaktu membaca mesej tersebut.
Hal ini disebabkan mesej yang baru diterimanya ini dengan jelas membuktikan keaslian Api Hitam. Dia mahukan Salji Lembut pergi ke Pusat Dagangan Maya dan menggunakan kata laluan yang diberikan untuk masuk ke dalam Bilik Dagangan yang telah ditentukan, dengan tujuan berbincang mengenai Reka Bentuk Plat Dada Berkerdip.
"Nampaknya aku berjaya mendapatkan hasil setelah lama menunggu." Salji Lembut tersenyum lebar. Daripada isi mesej tersebut, dia dapat merasakan yang Api Hitam ini bukanlah palsu. Jika tidak, dia tidak akan suruh pergi ke Pusat Dagangan Maya untuk membincangkan jual beli Reka Bentuk Plat Dada Berkerdip. Lagipun, Api Hitam yang palsu tidak mempunyai sebarang Reka Bentuk Menempa.
"Apa dia? Adakah Api Hitam yang asli menghubungi kamu?" melihat pada anggukan Salji Lembut itu atas soalan yang diajukan itu, Zhao Yueru berasa teruja. Dengan hasrat ingin berjumpa dengan Penempa misteri itu, dia bertanya, "Bila kita boleh berjumpa dengannya?"
Pada waktu ini, Penempa Api Hitam sudah dikenali ramai. Malah dia juga mempunyai Reka Bentuk Menempa yang mampu meningkatkan pengaruh suatu Persatuan. Selepas melakukan perbuatan yang menjadi tanda tanya semua pihak satu persatu, baru sekarang mereka mendapat tahu motif sebenar Penempa misteri ini. Zhao Yueru tidak tahan lagi untuk mengakui kebijaksanaan cara Penempa Api Misteri.
Dia membayar harga yang tinggi semata-mata untuk mengawal permainan yang dimainkan oleh berbagai-bagai Persatuan. Sekarang, setiap Persatuan dalam kawasan Bandaraya Sungai Putih sudah terperangkap dalam kitaran pengaruh kuasanya; jika tidak, mereka akan dihapuskan oleh Persatuan lain. Tindakannya yang sukar diramal membuatkan Zhao Yueru berasa sangat kagum.
Dia tidak seperti sesetengah orang yang hanya bergantung pada nasib sahaja, namun, masih berlagak seperti seorang pakar. Hanya berfikir mengenai orang tersebut sudah membuatkan darah Zhao Yueru menggelegak dengan api kemarahan. Jika dibandingkan dengan Penempa Api Hitam, jurang antara mereka adalah sejauh beribu-ribu batu.
"Saya baru sahaja menghubungi dia. Akan tetapi, dia tidak mahu menambah kita menjadi rakannya. Dia hanya menyatakan yang dia mahu berjumpa dengan kita di peta Tahap 8, Gaung Physis, dalam masa empat jam. Gaung Physis tidak jauh daripada tempat mereka berada sekarang. Saya akan beli dahulu Reka Bentuk Menempa; selepas itu kita akan membunuh semua Singa Grassland Elit dengan pantas. Jika kita bertindak pantas, kita mampu melakukannya." Salji Lembut turut berasa teruja ketika ini. Dalam banyak-banyak Persatuan kelas-pertama di Kerajaan Bintang-Bulan, dia langsung tidak terfikir yang Penempa Api Hitam sanggup memberi kerjasama dengan mereka. Dia mengaku yang mereka sangat bertuah ataupun Penempa Api Hitam mempunyai tujuan lain. Walau apa pun, dia tidak mampu membaca gerak-geri Api Hitam.
"Bagus! Mari cepat! Kalau kita buat dia tertunggu-tunggu, nanti menjadi satu masalah jika dia tidak mahu berjumpa dengan kita lagi," Zhao Yueru bangun dengan laju, berkata dengan nada yang teruja.
"Kamu nampak tergesa-gesa... Kita masih ada masa." Salji Lembut membuat gaya menyampah kepada Zhao Yueru. Dia tidak terbayang yang Zhao Yueru sangat meminati Api Hitam. Kebiasaannya, dia langsung tidak ambil kisah dengan orang yang dia jumpa.
Sementara itu, Shi Feng, orang yang sedang diperkatakan dalam perbualan Salji Lembut dan Zhao Yueru, sudah bertolak dari Bandar Daun Merah. Dia sedang berlari menuju ke Runtuhan Pasir Putih.
Runtuhan Pasir Putih merupakan kawasan raksasa Tahap 10. Ia merupakan salah satu kawasan menaikkan tahap yang perlu dilawati oleh pemain Bandar Daun Merah dan beberapa Bandar lain yang berdekatan. Hal ini disebabkan Misi yang terdapat di sini sangat banyak. Antaranya, terdapat Misi untuk Persatuan dan Misi Reputasi. Terdapat juga dua Misi Unik di sini. Ganjaran untuk dua Misi Unik ini sangat lumayan dan mereka akan memberikan faedah yang besar untuk Shi Feng selepas dia berjaya menjejakkan kaki ke dalam Bandaraya Sungai Putih satu masa nanti. Itulah sebabnya Shi Feng berlari ke arah Runtuhan Pasir Putih.
Baru sahaja Shi Feng tiba di lautan pasir putih, sebuah mesej daripada Salji Lembut tiba. Mesej tersebut menyatakan yang mereka terpaksa menganjak sedikit waktu pertemuan selama satu jam secara tiba-tiba dan sebagai pampasannya, selain membeli Reka Bentuk Menempa pada harga 24,000 Kredit, mereka akan memberikan Shi Feng tambahan 20,000 Kredit. Kekayaan mereka sangat melimpah-ruah.
Shi Feng langsung tidak kisah dengan anjakan masa tersebut. Lagipun, dia juga memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan Misi di sini.
Sementara itu, 20,000 Kredit sama seperti gaji selama dua bulan bagi pekerja kolar emas1. Salji Lembut menggunakannya sebagai pampasan kerana datang lambat.....
Tambahan pula, ini baru permulaan perniagaan antara mereka. Namun, dia sudah menerima lebih 40,000 Kredit. Dia mengaku yang dia akan mendapat banyak kelebihan bekerjasama dengan orang seperti Salji Lembut, lebih-lebih lagi apabila dirinya tidak kedekut duit. Sedangkan orang kaya daripada permainan maya yang lain tidak mampu menandinginya.
Berikutan itu, berdasarkan ingatannya, Shi Feng pernah mencari laluan rahsia di Runtuhan Pasir Putih. Selepas berjalan sepanjang laluan ini selama setengah jam, dia ternampak satu kubu pertahanan yang hampir terkubur dengan pasir berwarna putih. Dua Orang Kerdil Keluli Hitam Elit Tahap 10 sedang mengawal ketat pintu masuk kubu pertahanan.
Salah satu daripada dua Misi Unik, "Kubu Keluli Barrutia," boleh ditemui di sini.