webnovel

Sebaik sahaja Pengumuman Sistem tamat, setiap pemain mula mencari lokasi selamat untuk log keluar daripada permainan.

Walaupun ramai pemain menyimpan rasa kebencian terhadap penaik tarafan Sistem tersebut, Kawasan Tuhan semakin menghampiri waktu malam. Meskipun mereka sambung bermain, mereka tidak mampu berbuat banyak perkara. Mereka hanya mampu mengumpul hasil harian mereka ataupun berbual bersama rakan-rakan mereka.

Shi Feng mengambil peluang ini untuk serta-merta berlari menuju Rumah Lelong Bandar Daun Merah untuk membeli peralatan-peralatan seperti bijih, herba dan pelbagai peralatan yang lain; selagi ia bahan jarang, Shi Feng membelinya semua. Setelah membeli kesemua peralatan dan mengisi begnya sehingga penuh, Shi Feng berlari ke arah Bank dengan hajat untuk pulang ke Rumah Lelong sekali lagi untuk membeli-belah.

Malangnya, sistem memberitahunya dia perlu log keluar dalam masa tiga minit. Dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan perjalanan ulang-alik ke Bank.

"Hah… Aku cuma mampu beli banyak ini sahaja…" Shi Feng melihat jam dan mengeluh dengan tidak berdaya.

Mujurnya, dia telah memperoleh bilangan Syiling Emas yang agak banyak daripada urus niaga tadi, membolehkannya membeli peralatan-peralatan yang nilainya melebihi sedozen Syiling Emas.

Tidak lama kemudian, Shi Feng ke Hotel dan mempersiapkan diri untuk log keluar.

Dalam perjalanan, dia menemui ramai pemain yang tidak sabar-sabar dengan penaik tarafan Sistem yang bakal datang. Mereka semua memulakan perbincangan dalam kalangan mereka, mengharapkan faedah-faedah yang bakal datang bersama dengan penaik tarafan Sistem tersebut.

Shi Feng hanya mampi ketawa melihat gelagat mereka.

Tidak boleh disangkal lagi bahawa memang akan ada faedah-faedah daripada evolusi Kawasan Tuhan. Namun, ada banyak juga perkara yang tidak dijangka akan keluar.

Setelah tiba di Hotel, Shi Feng membayar yuran 10 Tembaga untuk berehat seharian.

Sementara itu, para pemain yang lain menyedari Shi Feng berbelanja 10 Syiling Tembaga dengan boros untuk menyewa bilik. Mereka hanya mampu memperoleh wang sebanyak itu setelah meletakkan kesemua usaha mereka dalam membunuh makhluk-makhluk selama lima atau enam jam. Perbelanjaan sebegitu terlalu boros. Namun, apabila mereka melihat Shi Feng sudah pun mencapai Tahap 7, tiada sesiapapun yang berani mengulas tindakan-tindakannya. Seorang pemain Tahap 7 sudah pasti merupakan seorang watak yang berada di kemuncak Bandar Daun Merah. Jika mereka mencetuskan kemarahan Shi Feng, tidak mustahil mereka akan mati sehingga kembali ke Tahap 0. Lagipun, peristiwa-peristiwa sebegini sering berlaku di Bandar Daun Merah. Pemain-pemain ini hanya mampu memerhatikan Shi Feng dengan iri hati.

Seseorang mempunyai kebebasan kalau sudah kaya!

Shi Feng hanya mempedulikan dirinya sendiri sebaik sahaja dia memasuki sebuah bilik tetamu tanpa menghiraukan pemain-pemain lain. Dia tidak perlu menjelaskan dirinya kepada mereka tentang mengapa dia memilih untuk menyewa bilik dan bukannya log keluar daripada permainan dari sesebuah lokasi rambang.

Terbitnya matahari, Shi Feng bangkit dari katilnya sambil menanggalkan topi keledar permainan tahap maju dari kepalanya. Sekarang pukul 8 pagi, sempat untuknya melakukan senaman paginya seperti biasa.

Pada saat itu, telefon Shi Feng berdering, maklumat pemanggil menunjukkan Si Hitam yang memanggilnya.

"Si Hitam, ada masalah ke?" tanya Shi Feng dengan perasaan ingin tahu setelah menyambut panggilan tersebut.

Biasanya, Si Hitam tidak akan mengambil inisiatif untuk menghubunginya melainkan ia hal-hal penting.

"Abang Feng, sesuatu yang besar sedang berlaku! Cepat, buka TV! Sekarang, ia sedang ditayangkan di saluran berita sekarang. Hampir setiap saluran TV sedang menayangkannya!" kata Si Hitam dengan nafas putus-putus, nadanya cukup teruja. Jika Shi Feng tidak kenal akan Si Hitam, dia mungkin telah menyangka Si Hitam baru sahaja melakukan senaman berat.

Shi Feng memasang TV kecilnya yang usang dalam pangsapurinya yang juga usang. Dia kemudian menukar saluran, menyedari setiap saluran TV sedang menayangkan laporan berita yang sama.

"Hari ini pada jam 5 pagi, 1,000 syarikat antarabangsa yang terbesar telah mengumumkan keputusan mereka untuk melabur ke dalam Kawasan Tuhan. Mereka ingin menambah baik lagi pembangunan ekonomi maya. Dalam pada itu, setiap syarikat tersebut akan semua menubuhkan Persatuan Kawasan Tuhan masing-masing.

"Bagi laporan terkini berkenaan Kawasan Tuhan, berdasarkan statistik rasmi, kesemua penjual yang menjual topi keledar permainan maya dibanjiri pelanggan dalam masa tiga jam sejak dari pengumuman tersebut. Hal ini kerana syarikat-syarikat di serata dunia telah melabur ke dalam permainan tersebut. Hasilnya, bilangan pemain Kawasan Tuhan tiba-tiba melonjak sebanyak 800 juta pengguna. Pada masa yang sama, bilangan pemain yang sedia ada naik ke 1.8 bilion pengguna, lantas memecahkan rekod bagi pemain yang terbanyak dalam mana-mana permainan realiti maya."

…..

Pelbagai berita ditayangkan di televisyen secara berterusan. Laporan-laporan berita sedang mengiklankan idea untuk menjadikan Kawasan Tuhan sebagai dunia kedua buat manusia, menggalakkan semua orang untuk mengalami sendiri permainan tersebut. Selain itu, demi mempercepatkan pengumpulan data oleh Sistem Tuhan Utama untuk menambah baik Kawasan Tuhan, harga Topi Keledar Realiti Maya menurun daripada 8,000 Kredit kepada 4,000 Kredit. Harga topi keledar realiti maya maju dan kabin permainan maya pula dikekalkan.

"Cepatnya," Shi Feng mendedahkan senyuman halus setelah mendengar laporan-laporan tersebut. Namun, dia tidak terkejut.

Akan tetapi… laporan tersebut tiba sedikit lebih awal dari yang Shi Feng sangkakan.

Dalam hayat lampau Shi Feng, laporan-laporan tersebut hanya muncul setelah sepuluh hari Kawasan Tuhan beroperasi. Oleh sebab syarikat-syarikat besar ini melabur dalam Kawasan Tuhan, permainan-permainan realiti maya mula menerima perhatian yang hangat. Seluruh dunia permainan realiti maya menjadi semakin rancak dan pakar-pakar permainan yang sebelum ini telah bersara semuanya menyertai Kawasan Tuhan. Lebih-lebih lagi, segelintir permainan-permainan realiti maya yang tinggal terpaksa gulung tikar akibat populariti Kawasan Tuhan. Sebagai hasil, kesemua pemain yang terjejas semuanya berpindah kepada Kawasan Tuhan, menyebabkan populasi pemain permainan tersebut meletup dengan serta-merta. Persaingan dalam permainan tersebut menjadi lebih hangat.

Kesemua permainan realiti maya mempunyai persamaan yang nyata antara satu sama lain iaitu sumber-sumber yang terhad. Jika populasi asal sesebuah Bandar tiba-tiba meningkat daripada beberapa ribu hingga lebih sepuluh ribu, bilangan pemain yang bersaing untuk sumber yang sedia ada pun akan meningkat. Sudah tentu harga-harga peralatan akan menaik

"Patutlah…" Shi Feng menyedari apa yang berlaku.

Patutlah bilangan pemain yang membeli Rekaan-Rekaan Penempaan Plat Dada Berkerdip telah meningkat. Rupa-rupanya semuanya disebabkan syarikat-syarikat besar ini yang sedang melabur ke dalam permainan tersebut dan 800 juta pemain tambahan yang akan menyertai permainan tersebut. Mereka semuanya akan mula dari tahap 0. Jadi sudah tentu, mereka perlu membeli peralatan. Mereka tidak akan berfikir dua kali untuk membeli Rekaan Penempaan Plat Dada Berkerdip, menempa sebilangan besar Plat Dada Berkerdip dan memperoleh wang yang banyak.

"Sayang. Pemain-pemain baru ini datang pada masa yang kurang sesuai." Shi Feng kasihan akan para pemain yang baru sahaja menyertai Kawasan Tuhan. Mereka memilih waktu yang paling tidak sesuai untuk mula bermain dalam Kawasan Tuhan iaitu selepas Kawasan Tuhan menambah baik sistem untuk pertama kali. Ini bermakna, mereka telah kalah sejak dari mula.

Penaik tarafan Kawasan Tuhan bermaksud permainan ini telah menjalani evolusi. Namun, tiada sesiapa yang memahami maksud sebenar hal tersebut. Hanya setelah mereka alami sendiri baru mereka akan faham.

Sebab Shi Feng memilih untuk menggunakan perkataan 'evolusi' dan bukannya 'penaik tarafan' kerana 'evolusi' bermaksud berubah menjadi sesuatu yang baru dan menyesuaikan diri dengan persekitaran. Pendek kata, hanya yang kuat mampu bertahan. Sementara para pemain meneruskan hidup mereka dalam Kawasan Tuhan, Sistem Tuhan Utama mengumpul pelbagai data daripada permainan tersebut secara berterusan. Apabila data tersebut mencapai tahap tertentu, perubahan kuantitatif akan menjadi perubahan kualitatif, yang membawa maksud evolusi.

Realiti maya membolehkan para pemain mengalami dunia fantasi secara realistik. Namun, proses mengubah sesuatu yang 'maya' kepada 'realiti' memang terlalu sukar. Lagipun, Kawasan Tuhan ialah ibarat dunia yang realistik di mana kuasa magis dan manusia luar biasa wujud. Inilah fungsi kewujudan Sistem Tuhan Utama. Tujuan Sistem ini ialah menjadikan Kawasan Tuhan sebuah dunia yang lebih realistik, menyempurnakan dan memajukan Kawasan Tuhan secara berterusan.

Shi Feng merasakan dia penyebab proses evolusi berlaku lebih cepat dari yang sepatutnya.

Sebabnya, dalam hayat lampaunya, Mod Neraka Dungeon Pasukan ditawan betul-betul sebulan selepas pembukaan Kawasan Tuhan, dengan penaik tarafan tersebut tiba tidak lama kemudian. Sekarang, Mod Neraka Dungeon Pasukan telah diselesaikan dan penaik tarafan permainan telah diumumkan hampir serta-merta. Disebabkan ini, mereka telah mempercepatkan proses evolusi.

Shi Feng menyedari yang dia sepatutnya berfikir sebelum bertindak selepas berfikir dalam-dalam.

Disebabkan dia bernasib baik, dia mampu menemui Ros Air dari Gema Senja secara kebetulan. Pertemuan bertuah ini telah membuatkan dia memperoleh lebih daripada sepuluh juta Kredit dengan mudah. Sekarang pun, Shi Feng berasa seolah-olah dia berada dalam mimpi. Namun, setelah evolusi ini, mustahil untuknya memperoleh wang yang begitu banyak dengan begitu mudah.

Jika dia gagal memperoleh bilangan wang yang banyak kali ini, kini dengan penglibatan syarikat-syarikat besar, tambahan pula dengan evolusi Kawasan Tuhan, rancangannya dalam Kawasan Tuhan akan mengalami gangguan yang teruk.

Habis membaca laporan-laporan tersebut, Shi Feng meneruskan latihan badannya. Ini merupakan tugasan yang dia perlu lakukan setiap hari. Kini syarikat-syarikat besar telah memasuki Kawasan Tuhan, mereka sudah tentu memburu ramai pemain veteran dan pendatang baru dengan potensi yang hebat. Ada juga yang merekrut pakar daripada pertandingan tempur. Tahap mereka ini memang berbeza daripada pemain Kawasan Tuhan. Mereka hanya mengambil masa yang singkat untuk menjadi pakar dalam permainan ini. Dengan tunjuk ajar yang betul, pertumbuhan mereka akan meningkat dengan laju.

Ketibaan para pemain ini akan mendatangkan kesan yang mendalam kepada Kawasan Tuhan.

Untuk mendapatkan kedudukan yang selesa, Shi Feng harus bersenam dengan bersungguh-sungguh. Hal ini akan mempercepat proses penyerapan tenaga daripada cecair nutrien, lantas memberikannya lebih banyak nutrien serta meningkatkan aktivit otak. Dengan cara ini, dia akan mampu meningkatkan prestasi pertempurannya dalam Kawasan Tuhan dengan lebih cepat.

Selepas bersenam, Shi Feng bersedia untuk meninggalkan rumahnya untuk mengisi semula cecair nutriennya. Dia juga akan mencari rumah yang lebih elok. Ia akan memberi kesan yang buruk pada badannya jika dia terus tinggal di sini, dikelilingi persekitaran yang tidak sihat. Memandangkan dia telah memperoleh jumlah wang yang agak banyak, sudah tiba masanya untuknya mencari rumah baru.

Next chapter