webnovel

Penonton yang Tak Tahu Apa-apa Sambil Makan Penkek Tiram

Editor: EndlessFantasy Translation

Beras yang digunakan untuk membuat susu beras itu disediakan oleh sistem. Setiap butiran beras itu bulat dan berisi seperti mutiara dan kaya dengan tenaga semangat.

Dia mencedok sesenduk beras dan menuangnya ke dalam batu kisar. Selepas menambah sesenduk kacang tanah dan air, Bu Fang mula memusingkan batu kisar. Alat yang digunakan itu agak primitif dan permukaannya agak berkilat.

Selepas mengisar untuk beberapa ketika, susu beras pekat mula mengalir masuk ke dalam mangkuk porselin berwarna biru putih yang diletakkan di bawah batu kisar itu.

Selepas mendapat susu beras yang diperlukan, Bu Fang membersihkan batu kisar dan mengambil kuali. Dia mengisi separuh kuali itu dengan minyak berkualiti tinggi. Dia menghidupkan api dan menunggu minyak panas.

Sudip yang dgunakan untuk menggoreng Penkek Tiram itu mempunyai bentuk yang istimewa. Ia bukan berbentuk separuh bulatan seperti sudip biasa tapi ia agak leper.

Selepas menuang selapis susu beras di atas permukaan leper sudip, dia menabur lobak putih dan bawang cincang di atasnya. Selepas menuang dua lapis susu beras dan daging cincang, dia meletakkan tiram yang berisi itu. Akhir sekali, dia menuang satu lagi lapisan susu beras untuk menyatukan semua bahan. Bentuknya kini menjadi seperti hemisfera.

Bila minyak sudah cukup panas, dia mencelup sudip berisi Penkek Tiram itu ke dalam minyak. Minyak terus merecik dan gelembung kekuningan terbentuk di sekeliling susu beras itu.

Disebabkan Penkek Tiram itu tak boleh dibalik-balikkan semasa menggoreng, ia menguji kebolehan cef mengawal haba dan masa. Kalau penkek itu tak cukup atau terlebih masak, rasanya terjejas.

Selepas bahagian luar Penkek Tiram itu bertukar keemasan, Bu Fang mengeluarkannya dari kuali dan meletakkannya di atas dawai mata punai yang sudah disediakan untuk mengetus minyak.

Penkek Tiram berbentuk hemisfera itu siap sejurus minyak habis dituskan.

Disebabkan susu beras tak terlalu pekat, ramuan di dalam kerak keemasan itu masih jelas kelihatan. Bau harum daripada Penkek Tiram itu sangat unik.

Disebabkan kacang tanah ditambah semasa proses mengisar, susu beras itu berbau harum bila digoreng. Haba daripada minyak dan kerak susu beras menyebabkan ramuan di dalam penkek itu masak dengan semulajadi dan haruman setiap bahan melengkapi antara satu sama lain. Lebih penting lagi, aroma tiram itu mengandungi rasa lautan yang bermain-main di hidung.

Bu Fang rasa kebulur bila melihat Penkek Tiram itu. Sementara Penkek Tiram lain digoreng, dia menggigit sedikit penkek yang sudah masak.

Kruk…

Tekstur rangup, rasa yang kaya dan jus daripada lobak putih terus memenuhi mulutnya. Dia rasa seolah-olah keenakan penkek itu terus masuk ke dalam otaknya dan membuatkan bulu romanya meremang.

Rangup, harum, sedap! Hanya tiga perkataan ni saja yang mampu menggambarkan rasa Penkek Tiram ini. Bila sudah rasa sekali pasti nak lagi. Bila Bu Fang menggigitnya kali kedua, dia dapat rasa daging cincang itu yang meletus dan masuk ke lubuk hatinya.

Bu Fang dapat merasa tiram pada gigitan ketiganya. Tiram itu tak terlalu garing kerana bersalut susu beras jadi rasa segar makanan laut itu masih kekal. Ditambah pula lobak putih dan daging cincang, rasanya begitu enak sampai dia rasa nak telan lidahnya sendiri.

Tak sangka, rasa Penkek Tiram itu… begitu enak!

Bu Fang menahan diri daripada menghabiskan keseluruhan penkek itu dan siap menggoreng penkek seterusnya.

Bu Fang berhenti selepas menggoreng tiga keping Penkek Tiram.

Penkek itu perlu dimakan segera. Kalau dibiarkan terlalu lama, jus lobak putih dan wap akan menjadikan kerak itu lemau dan rasanya terjejas.

Selepas menghabiskan ketiga-tiga Penkek Tiram, Bu Fang masih ingin makan lagi. Mulutnya dipenuhi rasa hidangan itu yang menyebabkan dia teringin lagi.

Dia mengemaskan dapur dan masuk ke biliknya untuk tidur. Dia sememangnya akan mengekalkan waktu tidurnya.

Keesokan harinya, cuaca terang dan matahari bersinar hangat.

Bu Fang terlewat bangun pada hari itu. Tapi, ia tak menjadi masalah.

Selepas membersihkan diri, Bu Fang membuka restorannya. Ramai orang sudah beratur dan Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya sudah menunggu agak lama .

"Oh, Tauke Bu. Lambat sikit ya hari ni." Si Gemuk Jin merungut sedikit tapi wajahnya masih gembira. Dia sudah terbiasa sarapan dia restoran Bu Fang setiap pagi dan menurutnya, "Saya berasa teramat gembira dapat makan hidangan Bu Fang sekali sehari."

"Ya, saya menyediakan hidangan baru. Sebab itu saya lambat sedikit." Bu Fang berkata tanpa segan silu.

"Hidangan baru?" Si Gemuk Jin terus rasa teruja mendengarnya. Dia menoleh ke arah menu di dinding dan nampak menu baru yang tersenarai.

"Penkek Tiram, dua keping dalam satu hidangan, lima kristal (boleh dibeli bawa pulang)."

'Penkek Tiram? Tak pernah dengar pula sebelum ni.' Si Gemuk Jin berfikir sambil tercengang. 'Dengar pun dah rasa hebat.'

"Tauke, saya nak sehidang Penkek Tiram." Si Gemuk Jin bersedia memesan. Dia orang kaya baru jadi dia banyak duit.

"Kamu boleh pesan hidangan lain dulu, kemudian baru pesan Penkek Tiram untuk dibawa pulang. Bolehlah makan sambil berjalan balik." Bu Fang mengingatkannya.

Si Gemuk Jin baru tersedar dan dia mengangguk setuju.

Selepas menghafal pesanan, Bu Fang masuk ke dapur dan mula menyediakan hidangan.

Ouyang Xiaoyi masuk ke dalam restoran. Walaupun dia tak lagi bekerja sebagai pelayan, dia masih datang kerja seperti biasa.

Bu Fang pun tak menolak dan membiarkan dia buat apa dia suka.

"Xiaoyi, bukan ke hari ni hari penting untuk keluarga Ouyang? Kenapa kamu masih datang kerja?" Si Gemuk Jin berborak dengan Ouyang Xiaoyi sambil bosan menunggu makanannya.

"Eh? Ada apa-apa kejadian penting ke?" Ouyang Xiaoyi terkejut.

Si Gemuk Jin meneruskan kata-katanya, "Bukanlah perkara besar. Tapi satu bandar diraja dah tahu yang Tuanku mengarahkan Jeneral Besar Xiao Meng dan Jeneral Ouyang turut serta upacara pelaksanaan hukuman mati. Mereka akan menghukum pakar-pakar sekta di Pintu Gerbang Dataran Misteri Menakjubkan."

"Betul tu. Saya dengar yang ketua-ketua dari Istana Jiwa Maut tu semuanya Maharaja Pertempuran kelas keenam… Tak sangka mereka akan dihukum bunuh bersama. Seluruh empayar terkejut dengan berita itu. Kali ini, Tuanku memang berazam menakutkan sekta-sekta di luar sempadan tu."

"Si Tua Jin, mari saya beritahu. Saya takut yang hukuman mati ni tak akan berjalan lancar. Bukankah ada pertempuran hebat antara Jeneral Besar Xiao dan Raja Pedang Pematah Hati semalam? Kamu tahu apa yang jadi? Raja Pedang Pematah Hati berjaya melarikan diri!"

"Selain Sekta Cakerawala Rahsia, pakar-pakar dari sembilan sekta besar lain sudah berkumpul dalam bandar diraja untuk menghentikan perlaksanaan hukuman mati itu. Saya risau yang satu pertempuran menggegarkan akan berlaku hari ini! Perasan tak pengawal dalam bandar diraja lebih ramai daripada biasa?"

Bila Ouyang Xiaoyi mendengar perbincangan pelanggan-pelanggan itu, fikirannya terus terganggu. Dia berkata dalam hati, 'Kalau ikut apa yang mereka cakap, bukankah itu bermaksud ayah dan abang-abang aku dalam bahaya?'

"Xiaoyi, hidangkan makanan." Suara acuh tak acuh Bu Fang kedengaran dari dapur dan menyedarkan Xiaoyi.

Bila Si Gemuk Jin dan lain-lain menghabiskan hidangan mereka, Bu Fang pun selesai menggoreng Penkek Tiram.

Ada enam orang dalam kumpulan lelaki gemuk ini dan setiap daripada mereka memesan satu hidang Penkek Tiram. Jadi, mereka perlu menunggu agak lama kerana dia perlu menggoreng sedozen penkek.

"Ini ke Penkek Tiram tu? Harum sungguh baunya!" Si Gemuk Jin memandang dua keping Penkek Tiram yang dibalut daun buluh dan terus menelan air liur. Penkek Tiram yang keemasan itu mengeluarkan bau harum yang kaya dan membuka selera.

Mereka pun meninggalkan Restoran Fang Fang dengan Penkek Tiram masing-masing.

"Si Tua Jin, apa kata kita pergi melawat tapak hukuman mati tu? Enam Maharaja Pertempuran akan dihukum. Kita tak boleh lepaskan peluang melihat upacara sebesar ini." Salah seorang daripada mereka mencadangkan dan yang lain-lain terus setuju.

Dengan itu, sekumpulan lelaki gemuk yang membawa Penkek Tiram berjalan dengan megahnya untuk menyaksikan hukuman mati itu. Mereka buat keputusan untuk makan sambil berjalan ke sana dan menjadi penonton yang tak tahu apa-apa sambil makan Penkek Tiram.