54 Kacau Bilau Akibat Penkek Tiram

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Di luar istana diraja, berhadapan pintu masuk ke menara mahkamah diraja.

Ada sekumpulan besar orang beratur panjang yang terdiri daripada orang-orang ternama di bandar diraja itu. Mereka sedang menunggu bersama pengikut mereka untuk masuk ke Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan dalam istana diraja itu.

Pengawal berperisai yang menunggu di situ tak terkira ramainya. Setiap orang yang masuk perlu diperiksa secara terperinci terlebih dahulu.

Kali ini, arahan daripada mahajara ialah untuk menghukum mati banduan dari Istana Jiwa Maut. Ia menarik perhatian ramai orang dan menyebabkan seluruh bandar diraja kecoh. Bukan saja pegawai kerajaan, malah pakar dari sekta-sekta di luar sempadan pun tak menjangkakannya.

Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya tiba dengan megah. Namun, disebabkan mereka bukan pegawai kerajaan, mereka tak ada kuasa untuk masuk mengikut pintu belakang dan terpaksa beratur.

Namun, mereka bernasib baik. Sejurus saja mereka tiba, kumpulan penonton pertama telah dibenarkan masuk. Dengan itu, mereka mengikut kumpulan itu dan Si Gemuk Jin membawa Penkek Tiram masuk ke Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan.

Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu dibina khas oleh istana diraja. Kawasannya besar dan luas, dan begitu banyak majlis dan upacara, seperti pengorbanan diraja, yang telah diadakan di situ.

Pada hari itu, keadaan dalam Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu sangat sejuk. Satu platform untuk menjalankan hukuman mati disediakan di tengah-tengah dan dikelilingi pengawal untuk memastikan tiada kekecohan.

Di atas platform itu, ada meja kehakiman yang diperbuat daripada kayu cendana dan terdapat juga dua kerusi tinggi. Xiao Meng, yang lengkap berperisai, duduk tegak di salah satu kerusi itu. Jubah merahnya berkibar ditiup angin dan nampak seperti lautan darah.

Ouyang Zongheng juga memakai perisai. Rambutnya yang panjang diikat dengan tali bulu berwarna hitam. Dua gumpal rambut di dahinya melambai ditiup angin. Pandangannya serius dan ekspresinya dingin.

Kedua-dua mereka duduk tegak di kerusi tinggi itu dan kelihatan seperti arca. Ekspresi mereka lebih dingin daripada angin musim luruh yang sejuk itu.

Tiba-tiba, Ouyang Zongheng mengangkat kepalanya dan memandang ke arah langit. Awan bergerak perlahan disebabkan angin musim luruh, tapi ia tak mampu melindungi sinaran matahari yang panas itu.

"Sudah tiba masa. Bawa banduan-banduan itu ke platform hukuman mati."

Dengan wajah serius, suara acuh tak acuh Ouyang Zongheng kedengaran di segenap Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan, dan menyebabkan penonton yang bising terus senyap sambil mereka memandang ke arah platform itu.

Kedengaran bunyi rantai berlanggaran. Dari jauh, pengawal-pengawal kelihatan mengiringi enam lelaki dengan rambut kusut masai dan berpakaian tahanan sambil mereka hampir tiba. Tangan dan kaki mereka terikat dengan gari yang sejuk.

Sambil Si Gemuk Jin mengoyakkan pembalut daun buluh, Penkek Tiram yang keemasan dan sedikit hangat itu pun kelihatan. Bau harum meresap keluar dan tersebar ke kawasan sekeliling, menyebabkan penonton lain mula menghidu udara.

Satu senyuman kelihatan di wajah Si Gemuk Jin sambil dia menghidu bau harum itu. Wajahnya menggeletar sedikit kerana rasa gembira.

'Hidangan Tauke Bu memang terbaik. Dengan bau harum yang manis, rasanya sangatlah enak.' Fikir Si Gemuk Jin sambil membuka mulutnya dan menggigit penkek itu.

Kruk! Kedengaran satu bunyi jelas. Tekstur rangup itu menyebabkan mata Si Gemuk Jin terbuka luas kerana terkejut. Kerangupan penkek itu diikuti dengan rasa lembut dengan jus daripada lobak putih yang mengalir dalam mulutnya. Satu aroma yang tak dapat digambarkan memenuhi mulutnya dan turut keluar dari hidungnya.

'Oh, Tuhan! Sedap sungguh!' Si Gemuk Jin terpersona dan menyuapnya lagi. Dengan gigitan kedua, dia dapat merasai daging dan aromanya menambahkan lagi rasa penkek itu.

Gulp!

Si Gemuk Jin tak menyangka yang dengan dua gigitan, haruman Penkek Tiram itu akan tersebar. Bau harum itu bagaikan sutera yang membelai kulit sambil ia terbang di udara ditiup angin musim luruh.

Lelaki-lelaki gemuk lain sudah tak sabar dan membuka bekalan Penkek Tiram mereka. Sambil masing-masing menyuap penkek itu, bunyi rangup kedengaran satu persatu di sudut Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan.

Disebabkan bau harum terhasil daripada penkek yang dimakan lelaki-lelaki gemuk secara beramai-ramai, ia ditiup angin musim luruh dan menjadi satu gelombang yang besar.

Keharuman Penkek Tiram itu bagaikan bom aroma. Disebabkan ia meletus pada masa yang sama, seluruh Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu mula kecoh.

"Apakah ini?! Bau ini… Siapa yang melepaskan racun di tapak hukuman mati ni?!"

"Harumnya! Sangat harum! Kenapa bau harum sampai macam ni?!"

"Kamu ni tak berhati perut ke? Kenapa makan sedap-sedap di tempat macam ni? Saya cuma nak cakap… Kongsilah sedikit!"

Terus kacau bilau keadaan di Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu. Semua orang tercari-cari dari mana datangnya bau harum itu. Mereka tak pernah hidu bau seharum itu.

Para pengawal menjadi lebih berwaspada. Namun, bila mereka terhidu bau itu, mereka juga menelan air liur. Bau itu seperti ada kuasa ajaib yang menyusup sehingga ke sumsum tulang.

Kruk… Si Gemuk Jin menyuap Penkek Tiram itu lagi. Dia membuka mulut untuk menarik nafas dan bau harum menyusup keluar.

"Berambus! Jangan makan depan aku…" Satu suara garang kedengaran di sebelah Si Gemuk Jin. Suara itu bagaikan datang dari neraka.

Si Gemuk Jin terkejut. Bila dia menoleh, dia nampak seorang lelaki yang agak hodoh di sebelahnya. Lelaki itu menelan air liur sambil memandangnya dengan geram.

"Kau siapa? Kenapa kau sibuk aku nak makan? Kalau aku teruskan makan, apa kau nak buat?" Si Gemuk Jin berkata sambil dia menyuap lagi Penkek Tiram dan mendengus.

Lelaki hodoh itu menjeling ke arah Si Gemuk Jin dengan garang dan menggenggam penumbuk. Nampak macam dia nak hentam muka Si Gemuk Jin yang menjengkelkan itu.

Namun, bila dia terfikir tentang apa yang telah dirancang sekta, dia menahan marah dan memandang Si Gemuk Jin sambil berkata, "Si gemuk tak guna! Kau tunggulah!" 

"Oh hoh! Kau ugut aku. Aku memang akan tayang depan kau. Lawanlah kalau berani!" Si Gemuk Jin berkata sambil menghabiskan Penkek Tiram itu dengan sekali suap. Dia kemudian mengeluarkan kepingan kedua Penkek Tiram dan menayangnya di depan lelaki itu.

Lelaki itu menarik dalam nafas dan urat biru timbul di penumbuknya.

Pada masa itu, enam banduan sudah pun berlutut di atas platform sambil menundukkan kepala. Di sebelah setiap banduan, ada seorang algojo menunggu dengan kain merah terlilit di kepala. Mereka nampak kasar dan mempunyai aura berkuasa. Setiap seorang daripada mereka adalah Semangat Pertempuran kelas keempat.

Penonton kembali diam. Suhu dalam Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan seakan-akan menjadi lebih sejuk sambil pandangan maut jelas kelihatan di tengah-tengah platform itu.

Xiao Meng melihat matahari yang panas memancar. Dia melambai tangannya dan satu kepingan bulat yang diperbuat daripada besi hitam terus terapung di atas meja kehakiman. Perkataan "pancung" tertulis di atasnya.

Dia baru saja hendak mencampak kepingan bulat itu tetapi dia dapat merasakan sesuatu dan memandang ke arah penonton dengan rasa hairan.

"Jahanam kau si gemuk! Ahh! Aku akan bunuh kau!"

Satu ngauman penuh rasa marah dan hiba kedengaran sambil daya tulen menakutkan meletus dari arah itu.

"Hmm? Daya tulen penghalusan jiwa dari Sekta Jiwa?" Xiao Meng bergumam sambil matanya mengecil dan bercahaya seketika.

Disebabkan ledakan itu, satu per satu daya tulen mula muncul di kalangan penonton yang berkumpul di Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan dan ia diikuti bunyi teriak yang menakutkan.

Tak syak lagi. Pakar daripada sekta sudah memulakan serangan.

Namun, Xiao Meng dan Ouyang Zongheng sedikit terkejut kerana pemilihan waktu untuk menyerang agak pelik…

Bang bang bang!

Satu per satu, Pengawal Harimau keluarga Xiao yang berdiri berhampiran platform hukuman mati menyerang ke arah sumber aura tadi.

Wajah Si Gemuk Jin pucat lesi sementara seluruh badannya yang gempal itu menggeletar sambil dia memandang lelaki hodoh itu yang dalam sekelip mata nampak seperti dia bertukar sebesar gunung.

"Saudara… Saya tak akan cari pasal lagi… Makanlah Penkek Tiram ni…"

"Makan? Aku akan makan adik perempuan kau, si gemuk tak guna!"

Lelaki hodoh itu rasa sangat sengsara. Sejurus dia melepaskan daya tulennya, dia tahu yang rancangan mereka… habis terganggu!

Rancangan terperinci sepuluh sekta besar untuk memporak-perandakan perlaksanaan hukuman maut itu rosak hanya kerana… Penkek Tiram!

Bahlul mana yang masak Penkek Tiram tak guna ni?!

avataravatar
Next chapter