webnovel

Mahaguru, Jangan Fokus Makan Sahaja

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kediaman Raja Yu di tengah-tengah astaka di sebelah kolam.

Raja Yu begitu tenang sambil dia berjalan perlahan di laluan pejalan kaki dengan tangannya yang disilang ke belakang. Dia memakai jubah panjang dengan mantel bulu yang digantung pada bahunya.

Di belakangnya, pegawai tertinggi yang pergi mendapatkan putera ketiga nampak ketakutan sambil dia mengikut Raja Yu tanpa berkata apa-apa.

"Kamu katakan yang adinda ketiga Beta menolak permintaan Beta dan Putera Mahkota?" Suara acuh tak acuh Raja Yu kedengaran dan mengejutkan pegawai tertinggi itu. Pegawai itu segera mengangguk.

Raja Yu tiba-tiba tergelak kecil dan kedengaran nada terhibur. Dia tersenyum sambil memandang salji putih suci yang menyelimuti halaman itu.

"Apa maksudnya ni? Mentang-mentang adinda dah melebarkan sayap, adinda nak turut serta dalam keadaan kucar-kacir ni? Situasi dalam bandar diraja sudah cukup huru-hara… Adinda tak rasa begitu ke?" Raja Yu menggumam sendiri. Dia nampaknya sedang mempersoalkan sesuatu dan air mukanya penuh menghina.

"Adida hanyalah seorang putera yang hampir dibuang… Apa hak adinda untuk bersaing dengan Kekanda?"

...

Di sebelah Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan, dalam istana Putera Mahkota.

Dua kelibat sedang berdiri tegak dan memandang dari jauh ke arah istana Putera Mahkota. Mereka boleh nampak keseluruhan plaza Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan dari tempat mereka berdiri.

"Berkenaan kepulangan adinda ketiga Beta, Tok Zhao ada apa-apa soalan atau cadangan?" Putera Mahkota itu memandang ke arah orang tua yang berdiri di sebelahnya. Sebenarnya kurang tepat untuk memanggil dia orang tua. Walaupun rambut Zhao Musheng sudah putih, wajahnya masih nampak muda.

Renungan Zhao Musheng kabur dan berubah-ubah, seolah-olah dia boleh melihat betapa mudahnya hati berubah dalam dunia ini. Dia berkata dengan acuh tak acuh, "Tak perlulah Putera Mahkota risau. Walaupun putera ketiga tu seorang yang mulia, dia tak diiktiraf oleh maharaja sebelum ini. Selepas menghabiskan masa yang lama dalam ekspedisi di luar sempadan, dia pasti sudah biasa menjadi seorang askar. Takdirnya memang bukan untuk takhta itu."

Putera Mahkota terus berasa senang hati mendengar kata-kata itu. Walaupun dia tak begitu risau tentang adinda ketiganya, campur tangan seorang putera—sementara bandar diraja itu masih dalam keadaan huru-hara—sudah cukup untuk menyebabkan kekacauan.

Zhao Musheng memandang sekilas ke arah Putera Mahkota dan tersenyum kecil. "Dengan sokongan keluarga Ouyang, keluarga Yang, dan juga keluarga Zhao, apa lagi yang boleh merisaukan Putera Mahkota? Walaupun wasiat Baginda belum diumumkan, dengan sokongan rakyat, Tuan Putera hanya perlu menunggu upacara pertabalan itu."

Nampaknya, kata-kata Zhao Musheng ada kuasa ajaib. Kerisauan dalam minda Putera Mahkota terus hilang dan menyebabkan dia rasa lebih senang hati. Walaupun Putera Mahkota asyik merasakan ada sesuatu yang tak kena, dia tak dapat mengenalpasti apa puncanya.

"Tuan Putera, Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan ini dibina oleh maharaja pengasas Empayar Bayu. Menurut legenda, susunan semangat telah terukir di tempat ini. Benarkah?" Zhao Musheng bertanya sambil dia menunjuk ke arah plaza Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan yang luas di kejauhan.

Putera Mahkota terperanjat seketika. Dia memandang plaza Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan yang dilitupi salji putih suci itu.

"Memang ada disebut dalam catatan nenek moyang kita tentang keganjilan Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu. Namun, catatan terawal direkodkan beratus-ratus tahun dahulu. Kita tak ada cara untuk membuktikan kebenarannya. Ayahanda sendiri pun tak pernah sebut tentang susunan semangat Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan. Mungkin… ia memang satu legenda." Putera Mahkota berkata.

Zhao Musheng memandang Putera Mahkota dengan teliti. Bila dia nampak yang Putera Mahkota tak menipu, dia mengerutkan keningnya.

"Ia hanya satu legenda?"

...

"Ini Shumai Keemasan kamu. Selamat menjamu selera."

Bu Fang berkata sambil meletakkan pengukus buluh yang berisi Shumai Keemasan panas di hadapan Ni Yan. Bila dia memandang ke arah pinggan porselin di atas meja, dia baru sedar yang wanita ini memesan kesemua hidangan dalam restoran itu.

Mata cantik Ni Yan terus bersinar bila dia nampak Shumai Keemasan yang berkilauan itu. Dia segera mengangguk dan menelan kepingan terakhir Daging Masak Merah.

"Burppp… Sudah lama saya tak rasa makanan sedap sebegini!"

Selepas sendawa, Ni Yan meregangkan lidah merahnya dan menjilat bibir merahnya yang lembut seperti kelopak. Kelihatan sedikit giginya yang putih bak mutiara itu. Ekspresi terpegunnya begitu menarik perhatian.

Bu Fang tersenyum memandang aksinya. Dia mengelap tangannya sebelum menarik kerusi dan duduk berdepan dengan Ni Yan.

Tang Yin dan Lu Xiaoxiao juga memesan beberapa hidangan tapi mereka sudah kekenyangan. Wanita cantik ini pula makan tanpa menghiraukan orang lain. Gayanya semasa makan nampak seperti seorang pelahap veteran.

Bila dia mengambil Shumai Keemasan dengan penyepitnya, minyak dalam shumai itu hampir tumpah. Ni Yan menadah tangannya di bawah penyepit sambil dia makan shumai itu dengan sekali suap. Dia nampak comel bila pipinya kembung kerana penuh dengan makanan.

"Senior… saya tak sangka yang kamu memang seorang cef sebenar." Tang Yin berkata sambil memandang Bu Fang. Dia selalu fikir yang Bu Fang hanya berkata begitu sebagai alasan untuk menyembunyikan identiti sebenar.

"Betul tu. Saya seorang cef profesional, cef restoran kecil di bandar diraja." Bu Fang berkata sambil mengangguk.

Mata galak Lu Xiaoxiao berkedip sambil dia memandang Bu Fang. Dia rasa sedikit curiga kenapa perlakuan Bu Fang sekarang berbeza dengan apa yang berlaku semasa dia di Tanah Belantara...

Namun, bila dia nampak mahagurunya sendiri melahap makanan dengan gaya tak sopan, rasa curiganya terhadap Bu Fang terus hilang… Berbanding mahagurunya yang pelahap itu, senior ini lebih bersopan.

"Senior, boleh saya tanya, kamu ada simpan ke Herba Darah Phoenix dari Lembah Phoenix Rebah?" Lu Xiaoxiao bertanya dengan serius.

Bu Fang agak terperanjat mendengar soalan itu. Dia memandang Lu Xiaoxiao tanpa perasaan dan mengangguk tanpa menyembunyikan kebenaran.

Pada masa itu, kedua-dua mereka mungkin kembali semula ke Lembah Phoenix Rebah selepas menyelamatkan diri. Bila mereka dapati yang Herba Darah Phoenix sudah dituai, mereka sudah pasti mengesyaki Bu Fang...

Disebabkan Bu Fang tak menafikan, wajah Lu Xiaoxiao nampak gembira. Dia terus memandang mahagurunya dan mendapati yang Ni Yan telah mengambil dua lagi Shumai Keemasan dan menyuapnya dengan wajah yang penuh keseronokan.

'Mahaguru… jangan lupa tujuan kita datang ke bandar diraja!' Lu Xiaoxiao berkata dalam hati. Dia keliru sama ada dia patut ketawa atau menangis. Mahagurunya yang pelahap ini terus melupakan semua perkara bila dia jumpa makanan yang sedap.

"Junior perempuan, tak perlu tergesa-gesa. Senior ada di sini. Kita boleh bincang tentang Herba Darah Phoenix selepas mahaguru selesai makan." Tang Yin mengerutkan muka sambil memandang sekilas ke arah Lu Xiaoxiao.

Bu Fang bersandar di kerusi sambil memandang mereka bertiga. Dia termenung sambil berkata dalam hati, 'Jadi, mereka bertiga datang ke restoran ini untuk Herba Darah Phoenix…'

"Haha! Tauke Bu, lama kita tak jumpa."

Sedang dia berfikir-fikir, satu gelak tawa yang kuat kedengaran dari luar. Bunyi itu seperti biasa didengari dan lamunan Bu Fang pun terhenti.

Bu Fang memandang ke arah pintu masuk dengan penuh rasa hairan sambil dua kelibat masuk ke dalam restoran.

Orang yang sedang tertawa itu, bukankah itu Ji Chengxue, putera ketiga yang baru pulang dari ekspedisi di luar sempadan?

Ada juga seorang lelaki yang memakai topi buluh bervel yang sedang berdiri di sebelah Ji Chengxue. Susuk tubuhnya juga nampak seperti biasa dilihat.

"Hmm? Tuan Putera ke tu? Baru balik dari lawatan kerja?" Bu Fang bertanya dengan senyuman.

Ji Chengxue agak terperanjat. Dia kurang faham apa yang Bu Fang katakan. Tapi, itu tak penting. Sambil tersenyum, dia mengambil tempat duduk dan berkata dengan segera, "Tauke Bu, sudah lama saya tak minum Wain Jed Penyejuk Hati. Saya teringin nak minum sebalang. Cepat hidangkan untuk saya."

Bu Fang mengangguk. Sambil dia bangun, dia memandang lelaki yang memakai topi buluh bervel dan bertanya, "Kamu pula?"

"Saya pun sama." Suara garau kedengaran sambil lelaki itu membuka topi buluhnya, lalu mendedahkan wajah kacak yang dikenali oleh Bu Fang. Xiao Yue tergelak kecil sambil dia mengangguk ke arah Bu Fang.

Memang betullah seperti yang dijangka Bu Fang. Tapi dia masih rasa keliru. Kenapa mereka berdua datang bersama?

"Tuan Putera tak nak pesan apa-apa hidangan sampingan untuk wain itu?" Bu Fang bertanya sebelum dia masuk ke dapur.

"Tak, Beta nak minum wain saja. Beta nak penuhi keinginan dulu." Ji Chengxue berkata dengan senyuman sambil menggelengkan kepalanya. Xiao Yue juga memberi balasan yang sama. Bu Fang terus rasa kecewa sambil dia masuk ke dapur.

Xiao Yue duduk di hadapan Ji Chengxue. Bila pandangannya teralih ke wajah cantik yang sedang makan dengan gelojoh itu, dia merenung kosong ke arahnya.

Tak lama kemudian, anak mata Xiao Yue mengecil sambil dia menarik nafas terperanjat.

"Perempuan ni… Kenapa dia ada di sini?"